Kisah Pembunuhan Kejam Angela Hindriati Wahyuningsih

     Kes pembunuhan kejam Angela Hindriati Wahyuningsih mendedahkan sisi gelap seorang pemangsa sosial bernama M. Ecky Listiantho. Kes ini merupakan rentetan manipulasi licik yang melibatkan penipuan identiti dan ketamakan harta.

     Ecky Listiantho dikenali oleh orang sekelilingnya sebagai seorang lelaki yang sangat sopan, berwibawa dan tenang. Namun di sebalik perwatakan tersebut, dia adalah seorang penganggur yang hidup sepenuhnya di atas hasil penipuan. Walaupun sudah berkahwin dengan seorang wanita berpendidikan tinggi dan mempunyai seorang anak, Ecky sering menghilangkan diri berminggu-minggu dengan alasan bekerja di projek perlombongan di luar daerah. Hakikatnya, dia tidak pernah mempunyai pekerjaan tetap dalam bidang tersebut.

     Ecky mempunyai kepakaran dalam memanipulasi emosi wanita terutamanya wanita kerjaya yang kesepian atau berstatus janda. Dia menyasarkan mangsa melalui aplikasi cari jodoh untuk menguasai harta mereka. Malah bagi meyakinkan isterinya, Ecky sanggup berhutang dengan pinjaman wang dalam talian dan menjual kereta pemberian mentuanya bagi memberi gambaran kononnya dia mempunyai pendapatan daripada projek bayangan tersebut.

     Hubungan antara Ecky dan Angela bermula pada tahun 2018 selepas mereka berkenalan atas dasar minat yang sama terhadap projek sayuran hidroponik. Angela yang ketika itu merupakan seorang eksekutif editor yang disegani tertarik dengan pengetahuan luas Ecky. Selepas berjaya memenangi hati mangsa dan mengasingkannya daripada keluarga, Ecky mula merancang untuk merampas aset peribadi Angela. Pada 25 Jun 2019, satu pertelingkahan besar berlaku di apartmen milik Angela di Jakarta Selatan apabila Angela mula mendesak hubungan mereka dibawa ke peringkat lebih serius di mana Ecky enggan kerana tidak mahu identiti sebenarnya terbongkar. Ecky bertindak mencekik mangsa sehingga meninggal dunia.

     Tindakan Ecky selepas pembunuhan tersebut amat mengerikan. Dia membiarkan mayat Angela terbaring di dalam apartmen itu selama kira-kira dua minggu sehingga darah mangsa membeku dan dagingnya mula mereput sedikit. Ini dilakukan bagi memudahkan proses pemotongan menggunakan gergaji elektrik tanpa meninggalkan kesan percikan darah yang banyak. Dia kemudiannya mengerat mayat Angela kepada tujuh bahagian dan memuatkan cebisan tersebut ke dalam dua buah kotak plastik. 

     Bagi menyembunyikan bau busuk mayat yang disimpan selama lebih tiga tahun (2019–2022), Ecky menaburkan serbuk kopi dalam jumlah yang banyak di dalam kotak tersebut untuk meneutralkan aroma pereputan. Kotak plastik itu pula dibungkus dengan lapisan plastik pelekat yang sangat tebal. Disebabkan taktik ini, Ecky mampu menjalani kehidupan seharian dengan normal. Dia bahkan membawa wanita-wanita lain ke bilik sewaannya tanpa sebarang kecurigaan walaupun kotak berisi mayat yang telah mencair itu berada di dalam bilik mandi yang sama.

     Sepanjang tempoh Angela "hilang", Ecky mengambil alih identiti mangsa secara digital dengan menghantar e-mel peletakan jawatan palsu sebelum memindahkan wang simpanan mangsa sebanyak 157 juta rupiah ke akaunnya. Kejahatan Ecky bagaimanapun terbongkar pada Disember 2022 selepas isterinya sendiri membuat laporan polis mengenai kehilangan Ecky. Pencarian polis akhirnya membawa mereka ke sebuah rumah sewa di Tambun, Bekasi.

    Apabila pihak polis menyerbu bilik tersebut pada 30 Disember 2022, mereka menemui dua kotak plastik mencurigakan di dalam bilik mandi. Sebaik dibuka, bau busuk yang amat dahsyat menerpa keluar mendedahkan cebisan mayat Angela yang telah lama mencair dan hanya meninggalkan sisa tulang serta cecair hitam akibat disimpan selama 42 bulan. Ecky akhirnya ditangkap ketika sedang bersama seorang wanita muda (sasaran seterusnya) dan kemudiannya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Angela Hindriati Wahyuningsih"