Kisah Pembunuhan Kejam Lima Sahabat di Lagos de Moreno


     Kejadian ini bermula pada Jumaat, 11 Ogos 2023 di bandar Lagos de Moreno, negeri Jalisco, Mexico. Lima sekawan yang merupakan sahabat sejak kecil iaitu Roberto Olmeda, Diego Lara, Uriel Galvan, Dante Hernandez dan Jaime Martinez telah keluar bersama untuk menghadiri sebuah pesta tahunan di bandar tersebut. Walau bagaimanapun, kegembiraan itu bertukar menjadi misteri apabila mereka tiba-tiba gagal dihubungi oleh ahli keluarga. 

    Kehilangan serentak lima anak muda yang berusia antara 19 hingga 22 tahun ini segera mencetuskan keresahan dalam kalangan penduduk tempatan memandangkan kawasan Jalisco merupakan kubu kuat aktiviti kartel dadah yang terkenal ganas. Pihak berkuasa pada mulanya dilaporkan agak lambat bertindak hingga menyebabkan keluarga mangsa melakukan protes besar-besaran bagi menuntut keadilan. Siasatan awal membawa kepada penemuan kenderaan milik mangsa di kawasan tumpuan pelancong, Mirador de la Santa Cruz dalam keadaan yang tidak menunjukkan sebarang kesan pecah masuk atau rompakan. Namun beberapa hari kemudian, sebuah kenderaan lain ditemui terbakar di tepi lebuh raya dengan sisa mayat manusia di dalamnya memberikan petanda awal bahawa sesuatu yang ngeri telah berlaku kepada kumpulan sahabat tersebut.

     Kemuncak kepada kejadian ini berlaku apabila sebuah foto dan rakaman video berdurasi 1 minit 35 saat tersebar luas secara tanpa nama di aplikasi pemesejan seperti WhatsApp dan Telegram. Foto tersebut menunjukkan kelima-lima mangsa melutut di atas tanah dengan mulut ditampal pita pelekat dan tangan terikat di belakang. Apa yang membuatkan kes ini begitu ngeri adalah kandungan videonya di mana mangsa tidak hanya dibunuh oleh penculik tetapi mereka dipaksa untuk menyakiti satu sama lain. Jaime Martinez dilihat berada dalam keadaan trauma yang amat sangat apabila dipaksa oleh ahli kartel untuk memukul, merejam dengan batu, dan akhirnya menyembelih rakan baiknya sendiri, Roberto di hadapan kamera.


     Motif di sebalik pembunuhan kejam ini masih menjadi tanda tanyam Pakar keselamatan bagaimanapun percaya ia berkaitan dengan taktik rekrutmen paksa oleh kartel dadah. Ada teori yang menyatakan bahawa pemuda-pemuda ini diculik untuk dijadikan sicarios (pembunuh upahan). Cuma apabila mereka enggan bekerjasama, mereka dipaksa untuk membunuh sesama sendiri sebagai ujian keberanian atau hukuman. Terdapat pertikaian sama ada kumpulan yang bertanggungjawab adalah Kartel Sinaloa atau Kartel Jalisco Nueva Generacion (CJNG) memandangkan terdapat mesej Puro MZ (merujuk kepada Mayo Zambada) dalam video tersebut namun ramai penganalisis percaya ia adalah taktik penyesatan oleh CJNG untuk meletakkan kesalahan kepada musuh mereka.

     Kes ini membongkar realiti pahit di Mexico di mana golongan belia yang mempunyai masa depan cerah seperti Dante yang merupakan pemenang pingat emas lumba basikal dan Roberto yakni pelajar universiti telah menjadi mangsa keadaan dalam perang wilayah kartel. Meskipun pihak polis telah menemui sebuah ladang yang dipercayai menjadi lokasi pembunuhan dan merampas pelbagai senjata serta dadah, keadilan sepenuhnya masih sukar dicapai kerana pengaruh kartel yang terlalu kuat dalam sistem sosial serta politik di rantau tersebut.



Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Lima Sahabat di Lagos de Moreno"