Kisah Pembunuhan Kejam Manar Adel al-Akra

Pada bulan Julai 2019 bertempat di El Bagour, Wilayah Menoufia, Mesir, satu kes pembunuhan kejam telah berlaku yang melibatkan seorang wanita bernama Manar Adel al-Akra. Apa yang sepatutnya menjadi permulaan hidup bahagia sebagai pasangan suami isteri bertukar menjadi mimpi ngeri dalam tempoh kurang 24 jam selepas majlis persandingan yang gilang-gemilang.
Manar merupakan seorang gadis berusia 19 tahun yang berasal dari keluarga sederhana. Bapanya, Adel al-Akra merupakan seorang kakitangan sekolah rendah yang bekerja keras menyara empat orang anak. Manar dikenali sebagai anak yang sangat berbakti kerana selepas memperoleh diploma perdagangan, dia bekerja di sebuah kedai kecil untuk membantu kewangan keluarga. Pada tahun 2016, Manar ditunangkan dengan Muhammad Mahmud Oman iaitu seorang peguam muda berusia 26 tahun yang dilihat mempunyai masa depan cerah. Walaupun tempoh pertunangan mereka berlarutan selama tiga tahun disebabkan isu kewangan dan hantaran, kedua-dua keluarga akhirnya bersetuju untuk melangsungkan perkahwinan pada 29 Julai 2019.

Di sebalik perwatakan Muhammad yang tenang dan berpendidikan, dia menyimpan satu rahsia besar yang tidak diketahui oleh keluarga Manar. Sejak zaman universiti pada tahun 2009, Muhammad telah mengalami masalah kegelisahan yang melampau dan isu fungsi seksual. Dia dilaporkan bergantung kepada ubat penenang selama bertahun-tahun. Malah rekod menunjukkan Muhammad pernah memutuskan dua pertunangan sebelum ini atas alasan peribadi yang tidak didedahkan.
Majlis perkahwinan mereka dihadiri oleh lebih 500 tetamu dan berlangsung dengan penuh keriangan. Namun sebaik sahaja pasangan itu masuk ke apartmen baru mereka di daerah El Mar, suasana bertukar tegang. Muhammad mengalami kegagalan fungsi seksual pada malam tersebut sekali gus menyebabkan dia diselubungi rasa malu dan terhina. Walaupun Manar cuba bersikap tenang, Muhammad mula membina senario buruk dalam mindanya. Dia sangat takut rahsianya terbongkar dan menjadi bahan ejekan penduduk setempat yang amat mementingkan maruah lelaki.

Kemuncak ketegangan berlaku apabila Muhammad terdengar Manar berbual di telefon dengan ibunya, Suad. Dalam perbualan itu, Manar sebenarnya tidak memburukkan suaminya. Dia hanya memberitahu ibunya bahawa Muhammad kurang sihat dan memerlukan bantuan ubat sakit perut. Walau bagaimanapun, Muhammad yang sudah dikuasai perasaan paranoid menyangka isterinya sedang mengadu tentang kegagalannya di ranjang. Tanpa berfikir panjang, dia mengambil sebilah pisau dapur lalu menyerang Manar, mengelar lehernya serta memukul kepala mangsa sehingga menyebabkan pendarahan otak yang maut.
Pada tengah hari 30 Julai, adik lelaki Manar datang ke apartmen tersebut untuk menghantar ubat yang diminta. Alangkah terkejutnya dia apabila pintu dibuka oleh Muhammad yang dalam keadaan berlumuran darah. Muhammad mendakwa isterinya telah melakukan kesalahan dan dia hanya memukulnya. Sebaik sahaja masuk ke bilik tidur, si adik menemui kakaknya terbujur kaku di atas katil yang dipenuhi dengan darah. Muhammad kemudian melarikan diri di mana dia sempat mencederakan perutnya sendiri secara dangkal bagi memberi gambaran kononnya berlaku pergelutan dan dia hanyalah mangsa keadaan.

Siasatan polis dan laporan forensik mematahkan semua dakwaan Muhammad. Bukti paling kukuh adalah rakaman perbualan telefon terakhir Manar yang membuktikan mangsa langsung tidak berniat memalukan suaminya. Pemeriksaan psikatri juga mengesahkan bahawa walaupun Muhammad mengalami kegelisahan, dia tetap sedar akan tindakannya dan tidak mengalami gangguan mental yang boleh membebaskannya daripada tanggungjawab jenayah. Pada 3 November 2020, Mahkamah Jenayah Sheban Elcom menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Muhammad Mahmud Oman. Meskipun hukuman itu telah dijatuhkan, keluarga mangsa masih berasa terkilan dan terus menuntut agar hukuman mati dikenakan sebagai balasan yang setimpal atas nyawa Manar yang diragut dengan kejam pada hari bahagianya sendiri.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Manar Adel al-Akra"