Kisah Pembunuhan Kejam Nur Atikah


     Kisah ini bermula dengan penemuan mayat seorang wanita dalam keadaan yang sangat menyedihkan di sebuah bilik sewa di Kampung Telagasari, Cikupa, Kabupaten Tangerang pada 13 April 2016. Mangsa dikenal pasti sebagai Nur Atikah atau lebih mesra disapa Nuri iaitu seorang janda berusia 33 tahun yang berasal dari Lebak, Banten. Apa yang lebih memilukan yakni ketika kejadian itu berlaku, mangsa sedang hamil tujuh bulan. 

      Hubungan antara mangsa dan pelaku, Kusmayadi (alias Agus) bermula di sebuah restoran Padang di Cikupa. Di situ, Agus bertugas sebagai pengurus manakala Nuri merupakan bekas juruwang di premis yang sama. Walaupun mereka tidak mempunyai ikatan perkahwinan yang sah, kedua-duanya telah menyewa sebuah bilik dan tinggal bersama. Konflik dalam hubungan mereka mula meruncing apabila Nuri mendapati bahawa Agus sebenarnya sudah mempunyai isteri dan anak di Bogor. Nuri yang sedang hamil tujuh bulan mula mendesak Agus untuk bertanggungjawab dan mengahwininya secara rasmi namun permintaan tersebut sering berakhir dengan pertengkaran.


     Kemuncak kepada ketegangan ini berlaku pada pagi 10 April 2016. Menurut fakta kes, pertengkaran hebat tercetus di bilik sewa mereka apabila Nuri sekali lagi menuntut kepastian status hubungan mereka. Agus yang dalam keadaan marah dan hilang pertimbangan bertindak nekad mencekik Nuri hingga mangsa menghembuskan nafas terakhir. Menyedari mangsa sudah tidak bernyawa, Agus mengalami panik dan mula merancang untuk menghapuskan bukti jenayahnya dengan cara yang sangat kejam di mana dia memotong anggota badan mangsa kepada beberapa bahagian.

     Dalam usaha melenyapkan jejak, Agus telah meminta bantuan seorang rakan setugasnya yang bernama Erik untuk membuang bungkusan plastik yang mengandungi potongan tangan mangsa ke sebuah tempat pembuangan sampah. Bahagian kaki mangsa pula dibuang secara berasingan ke dalam sungai berhampiran. Walau bagaimanapun, bau busuk yang mula keluar dari bilik sewa tersebut akhirnya dihidu oleh jiran-jiran yang kemudiannya membawa kepada penemuan ngeri bahagian tubuh utama mangsa di dalam bilik mandi. Pihak forensik turut menemui bayi yang dikandung mangsa dalam keadaan tidak bernyawa di lokasi yang sama.


     Selepas melakukan pembunuhan tersebut, Agus melarikan diri ke Surabaya untuk bersembunyi. Pihak berkuasa daripada Polda Metro Jaya dan Polres Tangerang bagaimanapun bertindak pantas dengan mengedarkan poster Agus kepada orang awam. Hasil maklumat serta risikan, Agus berjaya dikesan dan ditangkap di sebuah restoran di Surabaya pada 20 April 2016. Semasa ditangkap, pelaku dilaporkan menangis dan mengakui segala perbuatannya kepada pihak polis.

     Proses perundangan berakhir pada 22 November 2016 di Mahkamah Negeri Tangerang. Majlis Hakim memutuskan bahawa Kusmayadi alias Agus bersalah melakukan pembunuhan terancang mengikut Pasal 340 Kanun Hukum Pidana (KUHP). Dia dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun. Sementara itu, rakannya Erik dijatuhi hukuman penjara selama sembilan bulan kerana didapati bersalah membantu menyembunyikan maklumat mengenai jenayah tersebut.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Nur Atikah"