Kisah Shigeharu Shirai : Bagaimana Tatu Tradisional Menumpaskan Pelarian Yakuza

Kes penangkapan Shigeharu Shirai pada tahun 2018 adalah tentang bagaimana identiti seorang pelarian yang sangat dikehendaki oleh pihak berkuasa Jepun selama lebih sedekad akhirnya terbongkar melalui satu hantaran media sosial yang tidak disengajakan.
Shigeharu Shirai merupakan seorang pemimpin kanan dalam kumpulan Yakuza yang paling berpengaruh di Jepun iaitu Yamaguchi-gumi. Kehidupannya berubah secara drastik pada tahun 2003 apabila dia dituduh terlibat dalam satu kes pembunuhan kejam melibatkan ketua kumpulan saingan. Selepas kejadian tersebut, pihak berkuasa Jepun melancarkan gerakan memburu besar-besaran terhadap tujuh orang ahli kumpulan tersebut. Walaupun rakan-rakannya berjaya ditahan, Shirai membuktikan kelicikannya dengan meloloskan diri keluar dari Jepun dan memulakan hidup baharu di Thailand pada tahun 2005 tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Selama hampir 13 tahun, Shirai berjaya hidup di bawah radar pihak berkuasa di sebuah pekan kecil bernama Lopburi yang terletak di utara Bangkok. Di sana, Shirai menjalani kehidupan yang sangat sederhana dan tidak menonjolkan diri. Dia berkahwin dengan seorang wanita tempatan dan menyara hidup dengan melakukan kerja-kerja kampung serta menerima kiriman wang secara berkala daripada kenalannya di Jepun. Penduduk setempat mengenalnya sebagai seorang lelaki tua yang peramah, pendiam dan gemar bermain dam di kawasan awam. Tiada siapa yang menyangka bahawa di sebalik perwatakan tenang itu, tersimpan sejarah hitam seorang ketua samseng yang berbahaya.
Walau bagaimanapun, rahsia besar Shirai mula retak pada pertengahan tahun 2017. Semasa dia sedang lepak bermain dam di tepi jalan, seorang pemuda tempatan yang tertarik dengan seni tatu yang memenuhi badannya telah mengambil beberapa keping gambar Shirai yang sedang tidak berbaju. Pemuda tersebut yang tidak mengetahui latar belakang sebenar Shirai telah memuat naik gambar-gambar itu ke Facebook dengan niat untuk memuji kecantikan seni tatu tradisional Jepun tersebut. Kapsyen hantaran itu berbunyi lebih kurang: "Pakcik ini idola saya! Lihatlah tatu di seluruh badannya, sangat hebat!"

Tanpa disedari, hantaran tersebut telah menjadi tular dan dikongsi lebih daripada 10 000 kali pada masa yang singkat. Gambar-gambar tersebut akhirnya sampai ke pengetahuan unit antarabangsa polis Jepun. Pihak berkuasa Jepun segera mengecam corak tatu Irezumi tersebut yang merupakan identiti eksklusif bagi ahli berpangkat tinggi dalam Yakuza. Selain tatu yang menutupi bahagian belakang dan lengan, terdapat satu lagi bukti forensik visual yang sangat kukuh yakni Shirai kehilangan sebahagian daripada jari kelingking kirinya. Dalam budaya Yakuza, hal ini dikenali sebagai Yubitsume iaitu ritual memotong jari sebagai tanda memohon maaf atau menebus kesalahan terhadap organisasi.
Berpandukan maklumat visual tersebut, polis Jepun segera berhubung dengan pihak berkuasa Thailand untuk melakukan serbuan. Pada Januari 2018, Shigeharu Shirai akhirnya ditahan oleh sepasukan unit khas polis Thailand ketika dia sedang bersiar-siar di sebuah pasar di Lopburi. Penangkapannya menamatkan pelariannya selama 15 tahun. Walaupun dia mengaku sebagai ahli Yakuza, dia kekal dengan pendiriannya menafikan penglibatan langsung dalam kes pembunuhan tahun 2003 tersebut. Akhirnya dia diekstradisi kembali ke Jepun untuk menghadapi perbicaraan atas tuduhan jenayah lampaunya
Catat Ulasan for "Kisah Shigeharu Shirai : Bagaimana Tatu Tradisional Menumpaskan Pelarian Yakuza"