Kisah Wu Guilin yang Lumpuh Selama 20 Tahun

     Kisah ini bermula pada tahun 1988 di sebuah perkampungan kecil di Wilayah Hebei, China. Wu Guilin, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun merupakan anak bongsu daripada lapan orang adik-beradik. Sebagai anak bongsu, dia dibesarkan dalam suasana yang sangat memanjaka di mana hampir segala kemahuannya dituruti oleh ahli keluarga yang lain. Namun satu kejadian pertengkaran kecil dengan abang sulungnya telah mengubah dinamika keluarga tersebut buat selama-lamanya. Abangnya yang bertindak sebagai ketua keluarga setelah bapa mereka meninggal dunia telah menampar Guilin kerana sikapnya yang malas dan enggan membantu urusan rumah tangga.

     Sejurus selepas insiden tamparan tersebut, Guilin jatuh ke lantai dan mendakwa bahawa seluruh anggota badannya menjadi kaku serta tidak boleh digerakkan. Panik dengan keadaan tersebut, ahli keluarga Guilin membawanya ke klinik. Namun disebabkan kekurangan peralatan perubatan yang canggih pada waktu itu, doktor gagal mengesan sebarang kecederaan fizikal yang nyata. Walaupun secara klinikalnya tiada masalah saraf, Guilin tetap berkeras bahawa dia lumpuh sepenuhnya. 


     Bermula dari saat itu, Guilin hanya menghabiskan masanya di atas katil manakala abangnya yang dihantui rasa bersalah yang amat sangat bertekad untuk bekerja keras bagi membiayai segala keperluan adik bongsunya itu sebagai tanda penebusan dosa. Selama dua dekad, kehidupan Wu Guilin diuruskan sepenuhnya oleh ahli keluarganya dengan penuh kasih sayang. Ibunya merupakan individu yang paling setia menjaganya dengan menyuap makanan terus ke mulut, memandikan selain menguruskan sisa buangan najisnya setiap hari tanpa rasa jemu. Guilin bagaimanapun langsung tidak menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Dia bahkan kelihatan sangat selesa dengan statusnya sebagai pesakit yang perlu dilayani. Ahli keluarga yang lain pula tidak pernah mengesyaki sebarang penipuan kerana mereka melihat Guilin sentiasa terbaring lemah dan tidak mampu berdiri sendiri setiap kali mereka berada di sisinya.

     Keadaan mula berubah pada tahun 2008 selepas ibu mereka meninggal dunia dan tanggungjawab menjaga Guilin beralih kepada salah seorang kakaknya, Wu Guiling. Kehadiran Guilin di rumah kakaknya mula menimbulkan beberapa kejadian aneh. Anak saudara Guilin sering melaporkan bahawa beliau ternampak lembaga yang menyerupai mak ciknya itu berdiri tegak di dalam bilik pada waktu malam namun laporan itu pada mulanya dianggap sebagai khayalan kanak-kanak. Selain itu, stok makanan di dapur terutamanya kacang tanah dan snek sering berkurangan secara misteri walaupun pintu rumah sentiasa berkunci.




     Curiga dengan rentetan peristiwa pelik tersebut, Wu Guiling dan suaminya memutuskan untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) secara rahsia di dalam bilik Guilin. Hasil rakaman tersebut amat mengejutkan dan meruntuhkan hati mereka. Sebaik sahaja ahli keluarga keluar untuk bekerja di ladang, Guilin yang selama ini dilihat terlantar kaku tiba-tiba membuka matanya dengan segar, bangun dari katil dengan pergerakan yang lincah dan berjalan ke dapur untuk mencari makanan. Rakaman tersebut membuktikan bahawa Guilin bukan sahaja boleh berjalan malah dia berada dalam keadaan fizikal yang sangat cergas meskipun mendakwa telah lumpuh selama 20 tahun.

     Apabila rahsia itu terbongkar, Guilin akhirnya dibawa ke hospital besar untuk pemeriksaan psikiatri. Pakar perubatan mengesahkan bahawa dia tidak menghidap sebarang penyakit fizikal tetapi mengalami sindrom ketergantungan yang melampau. Sifat terlalu memanjakan daripada ibu bapa dan rasa bersalah abangnya telah mewujudkan sebuah zon selesa yang berbahaya. Guilin memilih untuk terus berlakon lumpuh kerana dia menikmati perhatian sepenuhnya dan tidak perlu memikul sebarang tanggungjawab sebagai orang dewasa. Walaupun berasa dikhianati, ahli keluarganya akhirnya memaafkan Guilin dan membantunya menjalani proses rehabilitasi untuk kembali menjalani kehidupan normal sebagai anggota masyarakat.

Catat Ulasan for "Kisah Wu Guilin yang Lumpuh Selama 20 Tahun"