Kronologi Pilu Kematian Bayi Yosu di Tangan Ibu Kandung

     Kes kematian seorang bayi berusia empat bulan di bandar pelabuhan Yosu, Korea Selatan mula menjadi tular di negara tersebut pada awal tahun 2026. Kejadian yang bermula pada 22 Oktober 2025 ini mendedahkan sisi gelap penderaan kanak-kanak yang berlaku di sebalik pintu rumah yang kelihatan normal. Segalanya bermula apabila pihak paramedik menerima panggilan kecemasan daripada seorang ibu yang mendakwa bayinya tiba-tiba berhenti bernafas. Namun sebaik sahaja pasukan perubatan tiba, mereka mendapati keadaan bayi tersebut sudah pun bertukar menjadi biru yang menandakan kekurangan oksigen yang kritikal dalam tempoh yang lama.

     Pihak hospital yang menerima mangsa segera menyedari sesuatu yang tidak kena apabila pemeriksaan fizikal menunjukkan tubuh bayi kecil itu dipenuhi dengan kesan lebam yang pelbagai warna yakni ada yang sudah lama dan ada yang masih baru. Melalui imbasan CT dan pembedahan kecemasan, doktor menemui fakta yang mengerikan di mana terdapat kira-kira 500cc darah yang membeku di dalam rongga perut akibat kecederaan organ dalaman yang kronik. Lebih menyedihkan, bayi yang baru berusia 129 hari itu mengalami 23 patah tulang rusuk serta kecederaan otak yang serius. Walaupun pasukan doktor pakar berusaha sekuat tenaga selama empat hari, bayi tersebut akhirnya menghembuskan nafas terakhir meninggalkan tanda tanya besar tentang apa yang sebenarnya berlaku di rumahnya.

      ​Siasatan polis mendedahkan plot yang lebih kejam apabila mereka meneliti rakaman kamera keselamatan yang dipasang di dalam rumah pasangan tersebut. Walaupun bapa mangsa cuba menyerahkan rakaman tersebut dengan niat untuk membuktikan bayi itu "terjatuh dari katil," pihak forensik polis berjaya memulihkan data audio yang mendedahkan realiti sebenar. Menerusi rakaman audio yang sangat meruntun jiwa itu, kedengaran bunyi pukulan objek tumpul yang sangat kuat berkali-kali diikuti dengan tangisan bayi yang sangat nyaring sebelum suara tangisan itu perlahan-lahan menjadi lemah dan akhirnya sunyi sepi. Rakaman tersebut membuktikan bahawa bayi itu tidak mati kerana kemalangan tetapi  sebaliknya akibat serangan fizikal yang ganas daripada ibunya sendiri.

     Motif di sebalik pembunuhan ini dipercayai berpunca daripada masalah psikologi dan kebencian melampau si ibu terhadap anak keduanya. Laporan pakar psikiatri mencadangkan suspek menghidap Borderline Personality Disorder (BPD). Dia dikatakan sangat obses dengan anak pertamanya dan mula memandang anak kedua sebagai beban atau pembawa malang kerana tarikh kelahirannya yang berdekatan dengan hari jadi anak sulung telah mengganggu rancangan sambutan yang telah diatur. Kebencian yang tidak rasional ini menyebabkan suspek melepaskan kemarahan fizikal secara berterusan terhadap mangsa sejak bayi itu dilahirkan sehingga membawa kepada kematiannya.

​     Kini pada Mac 2026, kes ini sedang melalui proses perbicaraan yang tegang di mahkamah Korea Selatan. Pihak pendakwa raya telah menuntut hukuman penjara seumur hidup terhadap si ibu atas pertuduhan membunuh manakala si bapa turut berdepan hukuman penjara atas kecuaian dan percubaan untuk menutup jenayah tersebut dengan menakut-nakutkan saksi.


Catat Ulasan for "Kronologi Pilu Kematian Bayi Yosu di Tangan Ibu Kandung"