Niat Menghukum Suami Kaki Judi yang Berakhir dengan Kematian

Kisah ini melibatkan seorang anggota polis wanita bernama Fadilatun Nikmah atau lebih mesra dipanggil Dila dan suaminya iaitu Rian Dwi Wicaksono yang juga merupakan seorang anggota polis. Pasangan ini mempunyai sejarah hubungan yang panjang di mana mereka telah mula bercinta sejak zaman sekolah menengah di Jombang. Kedua-duanya berkongsi impian yang sama untuk menyertai pasukan polis dan akhirnya berjaya mencapai cita-cita tersebut. Selepas beberapa tahun bertugas di unit yang berbeza, mereka berkahwin pada tahun 2021 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata termasuk sepasang kembar yang lahir pada awal tahun 2024.
Di sebalik kebahagiaan yang dipaparkan, rumah tangga mereka mula retak akibat ketagihan Rian terhadap judi dalam talian. Masalah ini menyebabkan kewangan keluarga mereka meruncing. Dila yang memikul tanggungjawab menguruskan rumah tangga dan anak-anak sering berasa tertekan kerana gaji suaminya sering habis digunakan untuk berjudi. Keadaan menjadi lebih kritikal selepas kelahiran anak kembar mereka di mana salah seorang bayi tersebut memerlukan rawatan perubatan khas dan pembedahan yang menelan kos yang sangat besar. Selain tekanan kewangan, Dila juga dipercayai mengalami gangguan emosi atau baby blues selepas bersalin yang menjadikannya lebih sensitif dan mudah marah.

Kemuncak konflik berlaku pada 8 Jun 2024 apabila Dila mendapat tahu bahawa baki gaji ke-13 suaminya hanya tinggal Rp800 000 (sekitar RM200) daripada jumlah asal Rp2 800 000 (sekitar RM700). Dek kerana berasa suaminya telah menghabiskan wang tersebut untuk berjudi lagi, Dila yang sedang dalam keadaan emosi yang sangat tidak stabil telah membeli sebotol petrol dengan niat awal hanya untuk mengancam suaminya agar berhenti berjudi.
Sekembalinya Rian ke rumah, Dila mengarahkan pembantu rumah untuk membawa anak sulung mereka keluar agar tidak melihat pertelingkahan tersebut. Dila kemudian menggari tangan kiri Rian pada sebuah tangga lipat di garaj rumah mereka lalu menyiram mangsa dengan petrol. Dalam usaha untuk menakut-nakutkan mangsa, Dila menyalakan sehelai tisu. Namun tanpa diduga api tersebut menyambar tangan Dila dan terus merebak ke badan Rian yang sudah basah dengan petrol. Meskipun Dila cuba memadamkan api dan mendapatkan bantuan jiran, Rian mengalami kecederaan parah dengan kesan melecur sebanyak 96% pada badannya.

Rian Dwi Wicaksono akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada 9 Jun 2024 di Hospital Dr. Wahidin Sudiro Husodo setelah keadaannya menjadi kritikal. Dila segera ditahan dan melalui proses siasatan serta perbicaraan. Di mahkamah, Dila menyatakan kekesalan yang amat mendalam dan memohon maaf kepada ibu mentuanya. Dia menegaskan bahawa dirinya tidak pernah berniat untuk membunuh suaminya tetapi hanya mahu memberikan pengajaran agar berhenti berjudi.
Pada Januari 2025, Mahkamah Negeri Mojokerto menjatuhkan hukuman penjara selama 4 tahun terhadap Dila. Hakim memberikan hukuman yang lebih ringan daripada tuntutan asal kerana beberapa faktor mitigasi seperti keluarga mangsa (ibu mentua) telah memaafkan Dila, Dila mempunyai tiga anak kecil yang masih menyusu, dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau, dan hasil pemeriksaan psikiatri menunjukkan dia mengalami gangguan emosi yang tidak stabil selepas bersalin serta tekanan hidup yang melampau.
Catat Ulasan for "Niat Menghukum Suami Kaki Judi yang Berakhir dengan Kematian "