Kisah Pembunuhan Kejam Mia Skadhauge Stevn


     Kes pembunuhan Mia Skadhauge Stevn pada Februari 2022 merupakan salah satu kejadian paling ngeri yang pernah berlaku di Denmark iaitu sebuah negara yang secara konsisten diiktiraf sebagai antara lima negara paling selamat di dunia mengikut Global Peace Index. Mempunyai kadar pembunuhan yang sangat rendah yakni sekitar 0.6 hingga 1.0 kes bagi setiap 100 000 penduduk, rakyat Denmark selama ini hidup dalam budaya kepercayaan sosial yang tinggi. Namun kejadian yang menimpa Mia, seorang pelajar kejururawatan berusia 22 tahun telah meruntuhkan perasaan selamat tersebut dan mendedahkan kewujudan pemangsa yang sangat berbahaya di tengah-tengah bandar Aalborg.

     Kejadian ini bermula pada awal pagi 6 Februari 2022 selepas Mia menghabiskan masa berhibur bersama rakan-rakannya di kawasan kelab malam popular, Jomfru Ane Gade. Sekitar jam 6:09 pagi, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di jalan Vesterbro menunjukkan Mia menaiki sebuah kereta Volkswagen Golf hitam. Dalam keadaan cuaca yang membeku dan ketiadaan bas untuk tempoh 90 minit seterusnya, Mia dipercayai terpedaya dengan menyangka kenderaan tersebut adalah perkhidmatan teksi haram yang ingin membantunya pulang ke rumah. Pemandu kenderaan itu ialah Thomas Thomsen, seorang juruelektrik berusia 36 tahun yang telah mematikan sistem GPS kenderaannya semata-mata untuk memburu mangsa secara rawak pada pagi tersebut.


      Mia bukannya dibawa pulang tetapi sebaliknya diculik dan dibawa ke kawasan hutan terpencil di Hammer Bakker. Di lokasi sunyi itu, Thomsen melakukan serangan seksual yang kejam terhadap mangsa sebelum mencekiknya sehingga mati. Pihak pendakwaan kemudiannya mendedahkan bahawa ini bukanlah tindakan spontan kerana bukti forensik digital pada komputer Thomsen menunjukkan dia mempunyai obsesi terhadap video pornografi ganas dan telah melakukan carian internet mengenai cara-cara melupuskan mayat menggunakan asid sebelum kejadian lagi. Selepas membunuh Mia, Thomsen membawa mayat mangsa ke rumahnya di Sulsted untuk melakukan proses pelupusan yang sangat luar biasa kejamnya.

     ​Bagi menghapuskan bukti jenayah, Thomsen menggunakan kemahiran teknikalnya sebagai bekas tentera dan juruelektrik untuk mengerat mayat Mia kepada 231 bahagian menggunakan gergaji elektrik. Dia cuba melarutkan sisa-sisa tersebut menggunakan bahan kimia seperti caustic soda (asid pembersih longkang) di dalam tab mandi rumahnya. Apabila kaedah kimia itu gagal sepenuhnya, Thomsen membungkus bahagian-bahagian mayat tersebut lalu menanamnya di beberapa lokasi berasingan di dalam hutan Dronninglund Storskov. Kehilangan Mia mencetuskan operasi pencarian besar-besaran yang melibatkan ribuan sukarelawan sebelum pihak polis berjaya menjejaki Thomsen melalui analisis beratus jam rakaman CCTV dari premis perniagaan dan stesen minyak.


     Semasa perbicaraan di Mahkamah Hjørring pada tahun 2023, Thomas Thomsen cuba membina naratif bahawa kematian Mia adalah satu kemalangan akibat terjatuh. Walau bagaimanapun, hujah tersebut dipatahkan oleh keterangan pakar perubatan dan bukti perancangan awal yang ditemui. Pakar psikiatri menyifatkan Thomsen sebagai seorang psikopat yang sangat berbahaya, manipulatif dan tidak mempunyai sebarang rasa empati terhadap mangsa mahupun keluarganya. Disebabkan kekejaman luar biasa itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup yang dalam konteks perundangan Denmark bermaksud dia boleh ditahan selama-lamanya jika masih dianggap sebagai ancaman kepada masyarakat.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Mia Skadhauge Stevn"