Kisah Pembunuhan Kejam Rika Indriani

Pada bulan Ogos 2023, penduduk di wilayah Jawa Tengah, Indonesia dikejutkan dengan penemuan mayat seorang gadis berusia 20 tahun, Rika Indriani dalam keadaan yang amat mengerikan. Rika iaitu anak bongsu daripada lima beradik yang berasal dari Desa Bulak Pelem, Pekalongan dikenali sebagai seorang pekerja kedai makan yang ceria dan aktif di media sosial seperti TikTok. Kehilangan Rika bermula pada malam Ahad, 20 Ogos 2023 apabila dia keluar rumah secara diam-diam tanpa pengetahuan ibu bapanya dengan menunggang motosikal sendiri. Apabila Rika gagal dihubungi dan tidak pulang ke rumah sehingga keesokan harinya, pihak keluarga mula melakukan pencarian sebelum akhirnya membuat laporan orang hilang di Polsek Seragi pada 21 Ogos 2023.

Dua hari kemudian yakni pada 22 Ogos 2023, penduduk Desa Belendung, Pemalang digemparkan dengan penemuan mayat seorang wanita yang terapung di sungai kawasan tambak. Apa yang merumitkan penyiasatan awal pihak polis adalah penemuan mayat tersebut yang lengkap berpakaian seragam sekolah namun tanpa seluar dalam selain terdapat kesan kecederaan akibat benda tumpul. Walaupun seragam tersebut mempunyai identiti sebuah sekolah menengah di Pemalang, pihak sekolah mengesahkan tiada pelajar mereka yang hilang. Selepas proses bedah siasat dan pengecaman oleh keluarga dilakukan di hospital, identiti sebenar mangsa dikenal pasti sebagai Rika Indriani yang sebenarnya sudah pun bekerja dan bukan lagi seorang pelajar.

Siasatan pihak polis mendapati bahawa jenayah ini bermula daripada perkenalan di media sosial. Suspek, Akrom Muzaki, seorang lelaki berusia 26 tahun yang sudah berkahwin didapati sengaja mencipta beberapa akaun Facebook palsu untuk mencari mangsa secara rawak bagi tujuan merampas harta benda. Pada malam kejadian, Rika telah bersetuju untuk bertemu dengan individu yang dikenali secara maya itu di hadapan sebuah sekolah menengah di Comal. Semasa pertemuan tersebut, suspek memakai pelitup muka untuk menyembunyikan identiti sebenar kerana dia selama ini menggunakan gambar orang lain sebagai profil palsu. Apabila Rika mendesak suspek untuk membuka pelitup muka, suspek yang ketakutan identitinya terbongkar bertindak kejam dengan menekup mulut dan hidung mangsa sehingga mangsa meninggal dunia.
Selepas melakukan pembunuhan tersebut, suspek bertindak licik untuk menghapuskan jejak dan mengelirukan pihak berkuasa. Suspek melucutkan pakaian mangsa sebelum menggantikannya dengan seragam sekolah serta membuang mayat mangsa ke sungai dengan menggunakan batu sebagai pemberat agar tenggelam. Motosikal mangsa kemudiannya dilarikan oleh suspek lalu dijual kepada orang tengah dengan harga 3 juta rupiah manakala plat nombor motosikal tersebut dilipat dan dibuang bagi menyukarkan pengesanan. Pihak Polis Polres Pemalang yang menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk tindakan berani seorang pegawai polis yang menyamar sebagai pekerja bancian akhirnya berjaya menjejaki dan memberkas suspek di rumahnya pada 23 September 2023.

Kes ini menemui noktahnya di mahkamah apabila Akrom Muzaki dibicarakan atas tuduhan pembunuhan terancang, pencurian dengan kekerasan dan menyembunyikan mayat. Pada 27 Februari 2024, Majlis Hakim Mahkamah Negeri Pemalang menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas suspek, satu keputusan yang lebih berat daripada tuntutan pendakwaan.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Rika Indriani"