Kisah Pembunuhan Kejam Rosinta di Sragen

     Pada penghujung bulan Mac 2026 bertempat di Kabupaten Sragen, Jawa Tengah, Indonesia, pihak berkuasa tempatan telah menemui mayat seorang wanita muda dalam keadaan menyedihkan di kawasan persawahan terpencil yang kemudiannya membawa kepada pendedahan satu konspirasi hubungan terlarang dan tindakan nekad seorang lelaki yang enggan bertanggungjawab.

     Mangsa yang dikenali sebagai Rosinta, 26 tahun merupakan seorang perantau dari Dusun Jimbar, Desa Ngrandu, Kabupaten Grobogan. Dia bekerja di sektor swasta dan menetap di sebuah bilik sewa di Kelurahan Ngelorok, Sragen. Di sebalik kehidupan perantauannya yang sederhana, Rosinta telah menjalin hubungan cinta sulit selama hampir tiga tahun dengan seorang lelaki bernama Supri, 35 tahun yang telah pun berkeluarga. Walaupun sedar akan status Supri sebagai suami orang, Rosinta tetap meneruskan hubungan tersebut dengan harapan untuk mendapatkan komitmen yang lebih serius terutama ikatan perkahwinan.

     Puncak konflik berlaku pada petang 31 Mac 2026 apabila pasangan tersebut bertemu untuk makan malam bersama. Semasa dalam pertemuan itu, Rosinta melancarkan satu muslihat dengan mengaku bahawa dia sedang hamil lapan minggu bagi menekan Supri agar segera mengahwininya. Pengakuan tersebut mengejutkan Supri yang panik memikirkan status perkahwinannya dan tanggungjawab yang perlu dipikul. Ketegangan memuncak menjadi pertengkaran hebat di sepanjang perjalanan mereka menaiki motosikal jenis Honda Vario milik mangsa.

     Supri yang bekerja sebagai pengendali jentera pertanian bertindak menghalakan motosikal mereka ke kawasan sawah yang sunyi di Dukuh Bulakrejo, Desa Tangkil, Sragen Kota. Di lokasi terpencil tersebut, pertengkaran menjadi lebih agresif sehingga menyebabkan mangsa bertindak membuang barangan peribadi milik Supri ke dalam parit. Tindakan itu memicu kemarahan melampau dalam diri Supri yang kemudiannya bertindak menekup dan menekan leher Rosinta dari arah belakang hingga mangsa lemas dan akhirnya tidak bernyawa.


     Selepas menyedari mangsa tidak lagi bernafas, Supri yang dilanda ketakutan telah melarikan diri dengan mencuri basikal milik warga setempat. Dia sempat kembali ke bilik sewa mangsa untuk melupuskan bukti dengan membakar barangan peribadi milik Rosinta di kawasan persawahan lain iaitu di Desa Pelumpungan sebelum pulang ke rumahnya di Desa Karanganom, Sukodono seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

    Mayat mangsa akhirnya ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan sawah tersebut pada sebelah malam hari yang sama. Siasatan polis yang dijalankan dengan pantas termasuk pemeriksaan bukti digital dan keterangan saksi di tempat kejadian telah membawa kepada penangkapan Supri di kediamannya pada 1 April 2026. Dalam sesi soal siasat, Supri mengaku melakukan pembunuhan tersebut atas dasar panik dan emosi setelah didesak oleh mangsa mengenai isu kehamilan.

     Namun satu fakta mengejutkan telah didedahkan melalui proses bedah siasat yang dijalankan oleh pihak perubatan forensik. Hasil pemeriksaan mendapati bahawa Rosinta sebenarnya tidak hamil seperti yang didakwa. Kebohongan tersebut hanyalah helah yang digunakan mangsa bagi memaksa Supri mengambil keputusan untuk berkahwin dengannya. Supri kimi sedang berhadapan dengan tindakan undang-undang yang tegas dan ditahan di Ibu Pejabat Polis Sragen di mana dia dijangka berdepan hukuman berat mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan dengan jenayah pembunuhan.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Rosinta di Sragen"