Kisah Vladimir Nikolayev, Lelaki Kanibal yang Menakutkan


     Kisah ini bermula di Novocheboksarsk, Rusia pada tahun 1996 apabila bandar industri yang tenang itu dikejutkan dengan penemuan aktiviti kanibalisme yang tidak terbayang dek akal manusia. Vladimir Nikolayev, seorang lelaki yang mempunyai sejarah jenayah lampau yang panjang telah mengubah pangsapuri kediamannya menjadi pusat penyembelihan manusia yang terancang.

​     Pembunuhan pertama Nikolayev diakui sebagai satu kemalangan yang berpunca daripada pergaduhan kecil. Semasa dalam keadaan mabuk, dia bertelagah dengan seorang lelaki di luar rumahnya hanya kerana isu remeh berkaitan pemetik api. Nikolayev yang bertubuh sasa telah menumbuk mangsa hingga mati. Maka dalam keadaan panik, dia membawa mayat tersebut ke dalam pangsapuri tingkat empatnya. Namun rasa cemas itu bertukar menjadi perasaan ingin tahu yang jijik apabila dia mula melapah mayat tersebut dan memutuskan untuk memasak sebahagian daripada daging mangsa.

Gambar sekadar hiasan - (Janaan AI)

    Aspek yang paling mengejutkan dalam kes ini bukanlah kerana tindakannya memakan daging manusia tetapi cara dia melupuskan baki daging tersebut. Disebabkan kuantiti daging yang terlalu banyak untuk dihabiskan seorang diri, Nikolayev bertindak menjualnya di pasar terbuka dan memberikannya kepada jiran tetangga. Bagi mengelakkan syak wasangka, dia mencipta helah bahawa daging tersebut adalah daging eksotik seperti kanggaru atau kambing saiga. Berikutan suasana ekonomi Rusia yang sukar pada waktu itu, tawaran daging eksotik yang murah telah menarik perhatian ramai pembeli tanpa mereka menyedari asal-usul sebenar sumber protein tersebut.


     Kekejaman Nikolayev mencapai kemuncaknya apabila dia memberikan sebahagian daging manusia itu kepada seorang rakan baiknya. Isteri rakan tersebut yang menyangka ia adalah daging buruan yang sah telah mencincang daging itu lalu menggunakannya sebagai inti untuk membuat ladu. Ladu tersebut kemudian dihidangkan kepada seluruh keluarga termasuk anak-anak mereka. Rakan Nikolayev malah sempat memuji kelazatan daging tersebut sebelum kebenaran yang menjijikkan akhirnya terbongkar melalui analisis makmal setelah salah seorang pembeli curiga dengan rasa dan tekstur daging yang dibelinya.

​      Apabila pihak berkuasa menyerbu kediaman Nikolayev mereka menemui pemandangan yang menyayat hati. Pangsapuri itu tidak lagi kelihatan seperti tempat tinggal tetapi sebaliknya lebih menyerupai sebuah kedai daging yang kotor dengan bahagian tubuh manusia ditemui di dalam baldi di balkoni, di dalam ketuhar dan di atas dapur yang sedang mendidih. Nikolayev ditangkap tanpa sebarang tentangan dan semasa sesi soal siasat, dia langsung tidak menunjukkan rasa kesal. Nikolayev bahkan digelar sebagai Smiling Cannibal kerana sering tersenyum sinis apabila menceritakan detik-detik dia melapah mangsanya.


     Nikolayev pada asalnya dijatuhi hukuman mati pada tahun 1997. Namun disebabkan moratorium hukuman mati yang dikuatkuasakan di Rusia pada tahun 1999, hukumannya telah diringankan kepada penjara seumur hidup. Dia kemudiannya dipindahkan ke Penjara Black Dolphin yakni sebuah fasiliti keselamatan maksimum yang paling ditakuti di Rusia. Di sana, Nikolayev ditempatkan dalam keadaan pengasingan yang sangat ketat di mana dia sering merayu agar hukuman matinya dilaksanakan semula kerana tidak tahan dengan penderitaan mental akibat rutin penjara yang sangat keras dan tanpa belas kasihan. Bacaan terdahulu tentang penjara Black Dolphin boleh baca di sini: Penjara Black Dolphin, Penjara Paling Berbahaya di Dunia

Catat Ulasan for "Kisah Vladimir Nikolayev, Lelaki Kanibal yang Menakutkan"