Dua Tahun Menghilang, Rangka Pemuda Ditemui dalam Batang Pokok

     Pada petang 9 September 2025 bertempat di Keheningan Dusun I, Desa Pematang Ganjang, Kecamatan Sei Rampah, Kabupaten Serdang Bedagai, Sumatera Utara, Indonesia,  dua orang pemuda bernama Aldi (20 tahun) dan Rian (17 tahun) sedang menyusuri kawasan perkebunan kelapa sawit yang agak terpencil untuk melakukan kerja-kerja memetik buah sawit. Laluan mereka terhalang oleh sebatang pohon aren yang telah tumbang akibat dibadai angin kencang kira-kira seminggu sebelum itu. Semasa melintasi batang pokok yang sudah reput dan kering itu, Rian secara tidak sengaja terpijak bahagian batang yang terasa tidak stabil. Didorong oleh rasa ingin tahu, mereka membongkok lalu mengintai ke dalam celah rekahan kayu tersebut. Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati terdapat struktur tulang manusia yang lengkap dengan tengkorak serta susunan gigi yang masih kekal pada kedudukannya. Penemuan ngeri tersebut segera dilaporkan kepada pihak berkuasa.

     ​Sebaik sahaja laporan diterima, sepasukan polis daripada dan pasukan forensik segera dikerahkan ke lokasi untuk melakukan siasatan. Bagi memastikan integriti bukti fizikal terpelihara, pihak polis mengambil keputusan luar biasa dengan tidak mengeluarkan kerangka dari dalam batang pokok secara terburu-buru. Mereka sebaliknya membawa keseluruhan batang pohon aren tersebut ke balai polis untuk pemeriksaan yang lebih terperinci. Di dalam rongga kayu yang sempit itu, pasukan penyiasat menemui beberapa barangan peribadi mangsa. Antaranya ialah sehelai seluar panjang berwarna hitam, baju-T berwarna biru yang tertera tulisan "Justrun", sebuah telefon bimbit berjenama Nokia serta seutas gelang perak yang masih terlekat pada pergelangan tangan kerangka tersebut. Apabila berita penemuan barangan peribadi itu tersebar, keluarga mangsa tampil secara sukarela ke balai polis kerana mengesyaki barang-barang itu milik anak mereka iaitu Muhammad Yuda Prawira yang dilaporkan hilang sejak Ogos 2023.


     ​Prosedur forensik yang lebih saintifik kemudiannya dijalankan termasuk ujian DNA Pada 19 November 2025, pihak polis secara rasmi mengumumkan bahawa kerangka tersebut adalah milik Muhammad Yuda Prawira dengan tahap kejituan padanan DNA sebanyak 99.9 peratus dengan bapa kandung mangsa. Kehilangan Yuda pada tahun 2023 itu sendiri menyimpan cerita yang menyedihkan. Menurut keluarganya, Yuda pernah terlibat dalam perselisihan faham dengan ibunya mengenai isu ketagihan dadah. Maka dalam keadaan emosi yang tidak stabil dan terburu-buru, Yuda dikatakan telah meninggalkan rumah tanpa membawa dompet, kad pengenalan atau dokumen peribadi sebelum dia menghilang secara misteri. Pihak keluarganya sebelum ini tidak membuat laporan polis secara rasmi kerana menganggap Yuda sengaja pergi merantau untuk menenangkan diri dan menghindari masalah keluarga.

     Hingga kini, pihak penyiasat masih meneliti dua kemungkinan besar berhubung punca kematian mangsa. Teori pertama menjurus kepada kemalangan kendiri di mana mangsa mungkin mengalami episod halusinasi yang teruk akibat pengaruh dadah pada malam kehilangannya. Dalam keadaan ketakutan dan berhalusinasi seolah-olah dikejar sesuatu, mangsa dipercayai memanjat sebelum menyelinap masuk ke dalam rongga pohon aren yang reput itu untuk bersembunyi lalu terperangkap hingga meninggal dunia akibat kehabisan oksigen atau dehidrasi. Pemeriksaan antropologi oleh pakar forensik menyokong teori ini dengan ketiadaan tanda-tanda trauma mekanikal, kesan tikaman atau patah tulang yang menunjukkan pergelutan fizikal pada tulang belulang tersebut.


    ​Walau bagaimanapun, teori kemalangan ini ditolak sekeras-kerasnya oleh pihak keluarga terutamanya abang kandung mangsa, Ahmad Munir yang tetap yakin bahawa Yuda adalah mangsa pembunuhan terancang. Hujah utama keluarga bersandarkan kepada keadaan seluar panjang hitam milik mangsa yang ditemui dalam keadaan terbalik iaitu bahagian dalam berada di luar yang disifatkan sebagai sesuatu yang mustahil sekiranya mangsa masuk ke dalam ruang pohon yang sempit itu secara sukarela. Mereka mengesyaki bahawa mayat mangsa telah dimanipulasi atau dimasukkan ke dalam batang pokok oleh pihak ketiga bagi melenyapkan bukti jenayah. 

     Hingga pada hari ini, pihak berkuasa masih terus meneliti data komunikasi daripada telefon bimbit Nokia mangsa yang ditemui di dasar pohon dengan harapan dapat merungkai dengan siapa Yuda berinteraksi pada malam terakhir sebelum dia hilang.

Catat Ulasan for "Dua Tahun Menghilang, Rangka Pemuda Ditemui dalam Batang Pokok"