Kisah Benar Misteri Budak Perempuan Berbaju Merah 1998

Misteri entiti yang dikenali sebagai The Little Girl in Red merupakan salah satu kisah seram moden atau urban legend paling misteri dan seram di Taiwan. Kisah ini bermula secara rasmi pada bulan Mac 1998 apabila sebuah keluarga meluangkan masa cuti mereka dengan melakukan aktiviti mendaki di Kawasan Rekreasi Pergunungan Dakeng yang terletak di Daerah Taichung, Taiwan.
Suasana pada hari tersebut dilaporkan biasa sahaja, redup dan berkabut tebal seperti kelaziman cuaca di kawasan tanah tinggi Taiwan. Salah seorang ahli keluarga telah membawa sebuah kamera video analog jenis V8 untuk merakam perjalanan gembira mereka sepanjang laluan trek hutan tersebut. Sepanjang ekspedisi itu, tiada seorang pun daripada ahli kumpulan pendaki ini menyedari sebarang keanehan atau kehadiran orang asing di sekitar mereka.
Kejadian sebenar mula melanda tidak lama selepas mereka pulang ke rumah. Dalam tempoh beberapa hari sahaja, salah seorang lelaki yang menyertai aktiviti pendarian tersebut yang kelihatan sihat sebelum itu telah meninggal dunia secara mengejut akibat serangan jantung. Semasa ahli keluarga berkumpul untuk upacara pengebumian dan memperingati mendiang, mereka memutuskan untuk memainkan semula pita rakaman video V8 semasa di Dakeng. Ketika itulah suasana hiba bertukar menjadi ngeri apabila mereka menyaksikan satu penampakan yang tidak masuk dek akal pada latar belakang video tersebut. (Video penampakan di hujung artikel)

Di dalam rakaman yang berdurasi pendek itu, jelas kelihatan barisan ahli keluarga sedang berjalan santai di laluan berbukit. Namun betul-betul di belakang lelaki yang baru sahaja meninggal dunia itu, terdapat seorang kanak-kanak perempuan berambut panjang yang memakai gaun berwarna merah terang sedang berjalan mengekori mereka. Apa yang menakutkan yakni selain daripada fakta bahawa tiada siapa mengenali budak itu, adalah rupa fizikalnya. Walaupun kualiti video analog 90-an agak rendah, wajah budak itu kelihatan sangat aneh di mana kulitnya pucat kebiruan seperti mayat, matanya kelihatan gelap sepenuhnya dan pergerakannya kelihatan kaku serta tidak mampat seperti manusia normal. Malah, sesetengah pihak mendakwa wajahnya kelihatan tua berkedut walaupun saiz badannya seperti kanak-kanak.
Didorong oleh rasa takut dan mahukan jawapan, salah seorang ahli keluarga telah menyerahkan salinan pita rakaman tersebut kepada sebuah program televisyen paranormal yang sangat popular pada waktu itu bertajuk Shen Chu Gui Mo. Pada era di mana teknologi internet dan media sosial belum wujud secara meluas, televisyen merupakan medium utama yang membentuk persepsi orang awam. Klip video itu diulang tayang berkali-kali hingga mencetuskan pelbagai teori daripada kalangan pakar video, pengkaji paranormal dan pihak berkuasa. Kebanyakan penonton berasa seram kerana pada tahun 1998, teknologi suntingan CGI belum cukup canggih untuk memalsukan video amatur dengan kesan herotan sebegitu rupa.
Kesan daripada penularan video tersebut, pelbagai kisah rantaian dan khabar angin mula tersebar luas di Taiwan hingga mewujudkan suasana paranoid dalam kalangan pendaki gunung. Terdapat laporan yang mendakwa bahawa pemandu lori dan kereta yang melalui jalan pergunungan Taichung pada waktu malam sering terserempak dengan kelibat budak perempuan berbaju merah yang melambai-lambai di tepi jalan atau cuba melintas secara mengejut. Selain itu, timbul juga kisah misteri mendakwa bahawa kru penerbitan rancangan TV yang mengendalikan video tersebut serta individu yang mula-mula menyerahkannya terlibat dalam kemalangan jalan raya yang aneh tidak lama selepas episod itu disiarkan.

Bagi merungkai misteri ini dari sudut antropologi, masyarakat tempatan mula mengaitkan entiti ini dengan Mô-sîn-á iaitu sejenis makhluk halus atau semangat hutan dalam cerita rakyat masyarakat Taiwan. Dari segi konsep, Mô-sîn-á mempunyai persamaan yang sangat kuat dengan konsep ditapis atau disorok hantu/bunian dalam budaya Melayu. Makhluk ini dikatakan bertubuh kecil, lincah, gemar memakai pakaian berwarna terang dan tinggal di kawasan hutan tebal atau gua pergunungan. Mereka tidak membunuh mangsa secara fizikal secara langsung tetapi sebaliknya memukau minda manusia terutamanya golongan kanak-kanak dan warga emas yang lemah semangat untuk mengikut mereka masuk ke dalam hutan tebal sehingga hilang arah.
Kepercayaan terhadap dan kaitan dengan budak baju merah ini kembali diperkukuhkan melalui satu kejadian sahih pada tahun 2014. Seorang wanita warga emas berusia 80 tahun telah dilaporkan hilang selama lima hari di kawasan hutan tebal di Hualien. Apabila pasukan penyelamat berjaya menemuinya di bawah sebuah batu besar dalam keadaan selamat tetapi keliru, wanita tua itu menceritakan pengalaman yang mengejutkan. Dia mendakwa bahawa sepanjang lima hari tersebut, dirinya tidak berasa lapar atau takut kerana ditemani oleh seorang budak perempuan kecil yang memakai gaun merah dan memegang payung merah yang memimpin tangannya berjalan meredah hutan.

Skeptisisme dan cubaan merungkai video ini secara saintifik turut dilakukan oleh beberapa pihak. Antara teori rasional yang paling popular adalah teori Pendaki Misteri. Segelintir pengkaji media berpendapat bahawa budak baju merah itu berkemungkinan besar hanyalah seorang pendaki kanak-kanak biasa yang kebetulan berjalan di laluan yang sama di belakang keluarga tersebut. Walau bagaimanapun, teori ini disanggah oleh ahli keluarga yang berkeras bahawa laluan pada hari itu sangat sepi dan tiada pendaki lain di sekitar mereka.

Legenda ini kekal menjadi sebahagian daripada budaya pop dan identiti seram Taiwan. Pada tahun 2015, industri perfileman Taiwan mengangkat kisah ini ke layar perak menerusi filem seram komersial bertajuk The Tag-Along. Filem arahan Cheng Wei-hao ini menggabungkan elemen rakaman asal 1998 dengan mitos Mô-sîn-á dan isu-isu sosial moden seperti pengabaian warga emas. Filem tersebut mendapat sambutan luar biasa sehingga mencetuskan sebuah trilogi (The Tag-Along 2 dan The Tag-Along 3: The Devil Fish) yang berjaya memperkenalkan urban legend ini ke peringkat antarabangsa
Catat Ulasan for "Kisah Benar Misteri Budak Perempuan Berbaju Merah 1998"