Kes Jang Yungi: Angkara Cinta Ditolak, Gadis Remaja Jadi Mangsa Korban Rawak

     Pada awal Mei 2026 bertempat di negara Korea Selatan, seorang lelaki tempatan 24 tahun telah melakukan serangan seksual, menghendap dan akhirnya melakukan pembunuhan kejam terhadap seorang gadis remaja berusia 17 tahun. Kes ini berlaku di Bandar Gwangju yakni sebuah kota yang terletak agak jauh dari Seoul.

     ​Pelaku dalam kes ini dikenal pasti sebagai Jang Yungi, seorang pemuda kelahiran 26 November 2002 yang membesar dalam sebuah keluarga kelas pertengahan yang serba biasa. Jang Yungi dilaporkan telah meninggalkan alam persekolahan secara rasmi sejak di peringkat sekolah menengah rendah. Dia bagaimanapun kemudiannya mengambil peperiksaan persendirian mendapatkan sijil sekolah menengah. Pada tahun 2026, Jang Yungi menyara hidupnya dengan bekerja sebagai pekerja sambilan di sebuah kafe. Di kafe inilah dia mula mengenali seorang wanita warga negara Vietnam yang bekerja sebagai rakan sekerjanya. Wanita tersebut menetap di Korea Selatan secara sah dengan visa dan izin tinggal yang sah.

     ​Kehadiran wanita Vietnam tersebut telah menimbulkan bibit-bibit cinta dan obsesi dalam diri Jang Yungi. Dia dilaporkan telah meluahkan perasaan dan mengajak wanita tersebut bercinta secara berulang-ulang kali. Walau bgaimanapun, mangsa menolak pelawaan tersebut dengan tegas. Disebabkan keengganan Jang Yungi untuk menerima hakikat digabungkan dengan gangguan yang berterusan, wanita Vietnam itu mula berasa sangat tidak selamat dan tidak selesa untuk terus bekerja. Demi menyelamatkan diri daripada gangguan tersebut, wanita itu akhirnya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dan berhenti kerja dari kafe berkenaan. Tindakan mangsa ternyata mencetuskan kemarahan yang amat mendalam buat Jang Yungi yang menganggap wanita itu cuba melarikan diri daripada cengkamannya.

      ​Kemuncak kepada kemarahan Jang Yungi berlaku pada awal pagi tanggal 3 Mei 2026. Kira-kira jam 2:00 pagi, Jang Yungi telah bertindak menceroboh masuk ke dalam kediaman wanita Vietnam tersebut sebelum menyerang dan merogolnya. Selepas memuaskan nafsu syahwatnya, dia meninggalkan rumah tersebut seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Namun beberapa jam selepas pulang ke rumah, Jang Yungi mula diselubungi ketakutan sekiranya jenayah beratnya itu dikesan oleh pihak polis serta bimbang reputasinya di mata keluarga dan rakan-rakan akan hancur. Mengikut analisis psikologi jenayah, pelaku juga berasa terancam secara psikologi kerana menyedari bahawa walaupun selepas dikasari, wanita tersebut tetap tidak akan menjadi miliknya. Jadi Jang Yungi nekad mengambil keputusan untuk membunuh wanita tersebut.

      ​Pada petang hari yang sama, 3 Mei 2026, Jang Yungi telah pergi ke sebuah cawangan Daiso untuk membeli peralatan jenayahnya. Dia membeli sepasang sarung tangan sukan bina badan serta sebilah pisau dapur yang tajam. Sesudah itu, Jang Yungi pun kembali ke kawasan perumahan wanita Vietnam itu dan menunggu dengan sabar di luar rumah. Kira-kira jam 6:00 petang, wanita Vietnam itu mahu keluar dari rumahnya sebelum menyedari kelibat Jang Yungi yang sedang menghendap. Mangsa yang ketakutan segera menghubungi pihak polis. Pihak berkuasa yang tiba di lokasi kejadian kemudian mengeluarkan arahan tegas kepada Jang Yungi agar menjauhkan diri daripada mangsa. Atas faktor keselamatan, wanita Vietnam itu bertindak melarikan diri dan berpindah ke rumah rakannya pada malam itu juga.

      ​Malangnya, sekatan pihak polis tidak menghentikan niat jahat Jang Yungi. Dia menghabiskan masa selama 30 jam seterusnya dengan merayau dan mengelilingi kawasan tersebut demi menjejaki mangsa. Apabila usahanya gagal kerana mangsa telah berpindah, Jang Yungi yang semakin terdesak dan hilang pertimbangan mula mengubah rancangannya. Dia memutuskan untuk mencari mangsa lain secara rawak bagi melepaskan amarah dan niat membunuhnya yang sudah memuncak.

     ​Pada malam 4 Mei 2026, Jang Yungi mengekori seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang sedang berjalan kaki pulang ke rumah sendirian. Remaja malang yang dilaporkan mempunyai impian murni untuk bergelar seorang ahli perubatan itu langsung tidak mengenali pelaku. Jang Yungi mengekorinya selama 10 hingga 15 minit. Sebaik sahaja mangsa memasuki sebuah lorong sunyi yang berada di luar lingkungan perlindungan kamera litar tertutup (CCTV), Jang Yungi bertindak melancarkan serangan hendap pada awal pagi 5 Mei 2026. Dia menikam remaja perempuan itu bertubi-tubi menggunakan pisau dapur yang telah disiapkannya.

      ​Kejadian kejam itu disedari oleh seorang remaja lelaki yang kebetulan berada berhampiran dan sedang berbual di telefon bersama rakannya. Pada mulanya, saksi menyangka ia hanyalah pergaduhan biasa sepasang kekasih namun jeritan histeria mangsa yang meminta tolong mematikan tanggapan tersebut. Saksi lelaki itu cuba meluru untuk menyelamatkan mangsa. Walau bagaimanapun, Jang Yungi bertindak agresif dengan menyerang dan menikam saksi tersebut hingga menyebabkan kecederaan parah di bahagian tangannya. Selepas melumpuhkan saksi, Jang Yungi segera melarikan diri dengan menaiki keretanya ke sebuah taman yang terletak sekitar satu kilometer dari tempat kejadian. Remaja lelaki yang cedera itu gagah menghubungi rakannya semula untuk meminta bantuan ambulans dan polis. Malangnya, remaja perempuan tersebut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat pendarahan yang terlalu serius.

​      Selepas melakukan pembunuhan, Jang Yungi menunjukkan tindakan yang sangat tenang dan licik untuk melupuskan bukti. Dia membuang pisau pembunuhan ke dalam sebuah parit, pergi ke tandas awam untuk membersihkan kesan darah pada tangan dan bertindak mematikan serta membuang telefon bimbit utamanya. Dia kemudian menaiki sebuah teksi dan membayar tambang menggunakan wang tunai bagi mengelakkan jejak transaksi digital sebelum menuju ke sebuah kedai dobi layan diri 24 jam untuk membasuh jaketnya yang lencun dengan darah. Rakaman CCTV kedai dobi menunjukkan Jang Yungi menunggu pakaiannya dicuci dengan sangat santai. Dia bahkan sempat baring menggunakan bantal dan menghisap rokok elektronik tanpa menunjukkan sebarang riak penyesalan mahupun ketakutan. Selepas itu, Jang Yungi bersembunyi di sebuah unit rumah sewa kosong yang pernah diketahuinya sebelum ini melalui ejen hartanah.


     ​Namun sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Di sebalik kelicikannya memadam jejak digital, sistem keselamatan Korea Selatan yang ketat berjaya mengesan kedudukannya. Dalam tempoh 11 jam selepas pembunuhan ngeri itu berlaku, pihak polis Gwangju berjaya menyerbu tempat persembunyian Jang Yungi dan menangkapnya tanpa sebarang provokasi. Memandangkan bukti-bukti sedia ada terlalu kukuh, kes ini dibawa ke mahkamah dengan pantas. Pihak polis dan pendakwaan menolak sekeras-kerasnya hujah Jang Yungi yang mendakwa kononnya kejadian itu merupakan pembunuhan tidak sengaja atau rawak. Pihak berkuasa menegaskan bahawa tindakan pelaku membeli senjata, menghendap selama berpuluh jam dan sengaja memilih mangsa wanita yang lebih lemah secara fizikal membuktikan ia adalah sebuah pembunuhan terancang yang amat kejam.

      ​Kes ini diakhiri dengan pendedahan wajah dan identiti penuh Jang Yungi kepada umum oleh pihak berkuasa, satu tindakan tegas yang sering diambil di Korea Selatan bagi jenayah yang sangat berat. Semasa dibawa keluar untuk dihadapkan ke mahkamah, permohonan maaf yang diucapkan oleh Jang Yungi di hadapan media dipandang sinis oleh orang awam kerana nadanya yang tidak tulus dan langsung tidak mempamerkan rasa bersalah.

Catat Ulasan for "Kes Jang Yungi: Angkara Cinta Ditolak, Gadis Remaja Jadi Mangsa Korban Rawak"