Kisah Pembunuhan Kejam Meta Novita Handayani

    B Pada tanggal 1 Mac 2018 bertempat di negara Indonesia, satu kes pembunuhan kejam telah berlaku di kawasan kejiranan elit Perumahan Permata Puri, Mukim Ngaliyan, Kota Semarang, Jawa Tengah. Kes pembunuhan terancang ini menimpa seorang suri rumah dan usahawan kecil bernama Meta Novita Handayani, 38 tahun. 

     Meta Novita Handayani dikenali oleh jiran tetangga sebagai seorang wanita yang ramah, tegas dan sangat menitikberatkan disiplin serta didikan agama terhadap tiga orang anaknya yang masih kecil. Suami mangsa merupakan seorang ketua cawangan sebuah bank milik kerajaan yang bertugas di Jakarta menyebabkannya hanya dapat pulang ke Semarang sekali seminggu. Bagi menguruskan tiga orang cahaya mata yang berusia antara 4 hingga belasan tahun selain mengendalikan perniagaan kecil-kecilan menjual minuman ais di hadapan rumahnya, Meta memutuskan untuk mengupah pembantu rumah. Selepas kerap bertukar pekerja ekoran isu ketidakserasian, pilihan akhirnya jatuh kepada Liana Anggraini, seorang remaja tempatan berumur 16 tahun yang mendapat saranan daripada penduduk setempat kerana keluarganya turut bekerja di kawasan perumahan yang sama.

     ​Pada dua bulan pertama, hubungan pekerjaan antara Meta dan Liana berjalan dengan lancar tanpa sebarang konflik yang besar. Namun memasuki bulan ketiga, prestasi kerja Liana mula merosot secara mendadak, sering culas dalam tugasan dan menunjukkan perubahan tingkah laku yang menimbulkan rasa tidak senang majikannya. Kemuncak ketegangan berlaku apabila Meta mendapati Liana telah bertindak berani membawa masuk kekasihnya, Rifai atau Rembulan (23 tahun) ke dalam rumah sewaktu Meta tiada di kediaman. Sebagai seorang ibu yang tegas menjaga maruah keluarganya, Meta memarahi Liana dengan keras atas pelanggaran batas moral tersebut. Tindakan disiplin ini disalahertikan oleh Liana sebagai satu kezaliman.

     ​Rasa benci Liana terhadap majikannya semakin memuncak apabila dia menyatakan hasrat untuk berhenti kerja. Menurut pengakuan Liana di mahkamah, Meta telah mengeluarkan kata-kata yang menakut-nakutkannya bahawa dia tidak akan menemui majikan lain yang sanggup menerimanya bekerja dengan sikap sedemikian. Malah apa yang lebih mengguris hati remaja berkenaan adalah apabila Meta didakwa memperlekehkan fizikal dan status ekonomi kekasihnya, Rifai dengan gelaran hitam serta miskin. Kata-kata ini kemudiannya disampaikan oleh Liana kepada Rifai dengan naratif yang ditambah-tambah bagi menyemarakkan api kemarahan pemuda berkenaan.

 B b Rifai berasa maruah dirinya tercalar hebat selepas mendengar aduan daripada Liana. Liana yang telah berhenti kerja memanipulasi keadaan ini dengan mengeluarkan satu cabaran kepada Rifai: "Kalau kamu berani, hilangkan nyawanya." Cabaran ini disambut oleh Rifai demi membuktikan kesetiaan dan cintanya kepada Liana yang pada ketika itu didakwa sedang hamil anak luar nikah hasil hubungan mereka.

     ​Sebelum melancarkan aksi pembunuhan tersebut, Rifai sebenarnya sempat cuba mengajak sepupunya yang bernama Sugeng untuk terlibat sama bagi membantu melancarkan proses pembunuhan. Walau bagaimanapun, Sugeng menolak pelawaan gila itu secara mentah-mentah kerana masih mempunyai kewarasan fikiran dan rasa empati kemanusiaan. Enggan berundur, Rifai tetap meneruskan niat jahatnya dengan meminta Liana mengiringinya ke lokasi kejadian sebagai penunjuk arah dan pemerhati keadaan sekeliling.

     Pada pagi Khamis, 1 Mac 2018 yakni sekitar jam 08:30 pagi, Rifai telah membawa sebilah pisau pemotong berbahan baja tajam. Pasangan kekasih ini kemudiannya menunggang motosikal Honda Supra Fit menuju ke kediaman Meta di Perumahan Permata Puri. Setibanya di sana, rancangan awal mereka tergendala seketika kerana kelihatan beberapa orang jiran mangsa sedang bersantai di luar rumah. Rifai bertindak menunggang motosikal mengelilingi kompleks berkenaan berulang kali demi menanti saat yang sunyi. 

     ​Sebaik sahaja kawasan jalan raya dirasakan sunyi, mereka meletakkan motosikal agak jauh dari rumah sasaran sebelum berjalan kaki menuju ke kediaman Meta. Mereka menggunakan modus operandi yang licik dengan berpura-pura mahu membeli minuman ais yang dijual oleh mangsa. Tanpa menaruh sebarang curiga, Meta melayani mereka dan berjalan masuk ke dalam rumah menuju ke arah dapur di ruang belakang bagi mengambil ketulan ais di dalam peti sejuk. Kelalaian sesaat mangsa ini menjadi peluang keemasan yang dicari oleh pelaku di mana Rifai dan Liana segera menyelinap masuk ke dalam rumah tanpa disedari. Liana ditugaskan untuk mengawal ruang tengah manakala Rifai bersembunyi di sebalik dinding lorong gelap bersebelahan pintu dapur.

     Apabila Meta berpaling untuk berjalan semula ke ruang tengah sambil membawa ais batu, Rifai secara mengejut menerkam mangsa dari arah belakang. Tangan kiri Rifai menekup mulut Meta dengan kuat bagi menghalang mangsa daripada menjerit. Terkejut dengan serangan hendap itu, Meta memberikan tentangan yang amat sengit. Berlaku pergelutan fizikal yang hebat sehingga menyebabkan kedua-duanya jatuh terlentang di atas lantai dengan kedudukan tubuh Meta menindih Rifai. Dalam keadaan panik kerana mangsa terus meronta dan cuba berteriak meminta tolong, Rifai mencabut pisau  dari pinggangnya lalu menikam perut sebelah kanan Meta berkali-kali tanpa belas kasihan.

     ​Meskipun menerima kecederaan parah, Meta yang memikirkan keselamatan anak-anaknya di dalam rumah terus menghentakkan kakinya ke lantai sebagai usaha terakhir untuk melepaskan diri dan memberi isyarat kecemasan. Liana yang menyaksikan darah mula memancut dan membanjiri lantai rumah tiba-tiba diserang rasa panik yang teramat sangat. Keberaniannya yang mencabar Rifai sebelum ini terus lenyap. Dia berpaling lalu melarikan diri keluar dari rumah tersebut meninggalkan kekasihnya menyelesaikan aksi pembunuhan itu seorang diri. Akibat kehilangan darah yang terlalu banyak, rontaan Meta akhirnya semakin lemah dan mangsa menghembuskan nafasnya yang terakhir di lantai rumahnya sendiri. 

    Selepas memastikan mangsa sudah tidak bernyawa, Rifai segera menutup pintu hadapan rumah rapat-rapat bagi mengelakkan bau atau visual berdarah dikesan dari luar. Dia kemudian mengheret mayat Meta yang kaku ke dalam bilik tidur utama di sebelah kanan bagi menyembunyikannya. Walau bagaimanapun, situasi menjadi semakin tegang apabila Rifai terdengar tangisan kuat dari bilik sebelah kiri. Suara tersebut datang daripada anak bongsu Meta yang baru berusia 4 tahun, yang terjaga daripada tidur akibat bunyi bising pergelutan tadi.

     ​Rifai melangkah masuk ke dalam bilik kanak-kanak tersebut. Pada mulanya, dia cuba menenangkan mangsa kecil itu. Walau bagaimanapun, kehadiran orang asing yang berlumuran darah membuatkan tangisan kanak-kanak itu menjadi semakin histeria. Bimbang tangisan itu akan menarik perhatian jiran sekeliling, sifat kejam Rifai kembali menguasai diri. Dia mengambil sebuah bantal guling lalu menekup muka anak kecil itu dengan kuat dengan niat untuk menghapuskan saksi bongsu berkenaan.

     Satu keajaiban berlaku apabila pada detik yang mencemaskan itu, pintu hadapan rumah mangsa diketuk dan dibuka dari luar. Empat orang mahasiswa dari Universiti Islam Negeri Walisongo yang menyewa rumah bersebelahan telah datang melawat kerana berasa curiga mendengar bunyi hentakan kaki yang kuat dan suara bising yang luar biasa pada awal pagi tersebut. Mendengar langkah kaki orang luar masuk ke ruang tamu, Rifai terpaksa melepaskan tekupan bantalnya, menyelamatkan nyawa anak kecil itu. Mempamerkan ketenangan yang luar biasa, Rifai keluar menemui para mahasiswa tersebut dan memberikan pelbagai alasan helah kononnya dia merupakan saudara yang sedang membaiki barang di dalam rumah. Helah tersebut berjaya memperdayakan para saksi seketika sekali gus membolehkan Rifai berjalan keluar, menghidupkan motosikal sebel6 memecut laju meninggalkan lokasi. 


     Pelarian pasangan kekasih ini tidak bertahan lama. Pihak polis menerima laporan penemuan mayat segera melancarkan siasatan besar-besaran. Identiti kedua-dua pelaku mudah dikenal pasti berdasarkan keterangan para mahasiswa UIN serta rekod pekerjaan Liana. Foto wajah Rifai dan Liana menjadi tular di seluruh media sosial Indonesia hingga menyukarkan ruang gerak mereka untuk bersembunyi. Selepas beberapa hari berpindah-randah di sekitar Semarang, pada Sabtu, 3 Mac 2018, kedua-dua suspek akhirnya berjaya diberkas oleh pasukan polis di rumah salah seorang saudara mereka di kawasan perumahan Indraprasta, Banyumanik.

    ​Di bawah sistem perundangan Indonesia, Rifai didakwa di bawah Pasal 340 Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP) berkaitan pembunuhan terancang yang membawa hukuman maksimum mati atau penjara seumur hidup. Namun mengambil kira beberapa faktor dalam perbicaraan, pihak hakim akhirnya menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara terhadap Rifai alias Rembulan.

     ​Sementara itu, Liana Anggraini yang bertindak sebagai dalang provokasi dan rakan subahat menghadapi proses penghakiman yang berbeza disebabkan statusnya sebagai pesalah di bawah umur. Berdasarkan Undang-Undang Sistem Peradilan Pidana Anak (SPPA) di Indonesia, dia menerima layanan khusus namun tetap didapati bersalah secara sah dan meyakinkan kerana menghasut untuk melakukan pembunuhan terancang. Liana dijatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan dihantar untuk menjalani tempoh tahanan di Lembaga Pembinaan Khusus Anak (LPKA) Kutoarjo, Jawa Tengah.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Meta Novita Handayani"