Kisah Lin Qingyue: Amukan Anak Manja dengan 109 Tetakan

     Pada pagi tarikh 11 Oktober 1998, suasana damai di sebuah kawasan perumahan elit yang terletak di Kampung Xiafu, Perbandaran Linkou, Daerah Taipei, (kini Bandar New Taipei) Taiwan telah digemparkan dengan satu penemuan yang amat mengerikan. Sebuah rumah banglo setinggi tiga tingkat dengan dinding bata merah yang tersergam indah milik seorang pengusaha katering terkenal, Lin Yinshu (48 tahun) didapati sunyi sepi tanpa sebarang tanda-tanda kehidupan. Kelainan ini mula disedari oleh penghantar surat khabar tempatan apabila tiada kelibat mangsa keluar menyambutnya seperti kebiasaannya. Malah beberapa ekor anjing pengawal peliharaan keluarga itu yang terkenal garang juga langsung tidak menyalak. Sebaik sahaja menghampiri pintu pagar, bau hanyir darah yang amat kuat menusuk hidungbdiiringi dengan tompokan cecair pekat berwarna merah gelap yang bertaburan di atas lantai simen. Pihak polis yang bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan daripada jiran mangsa mendapati ruang tamu di tingkat bawah berada dalam keadaan tunggang-langgang seumpama sebuah medan pembantaian yang amat kejam. Di situlah mayat Lin Yinshu bersama isterinya, Zeng Yuqian (47 tahun) terbaring kaku dalam takungan darah dengan keadaan fizikal yang sudah tidak lagi dapat dicam.

     ​Hasil bedah siasat dan pemeriksaan forensik yang dijalankan selama berjam-jam telah mendedahkan tahap kekejaman luar biasa yang dilakukan oleh pelaku. Pasangan suami isteri itu disahkan telah ditetak sebanyak 109 kali secara keseluruhan menggunakan pisau pemotong daging yang besar. Lin Yinshu mengalami 60 kesan tetakan di bahagian kepala dan empat anggota badannya hingga beberapa jari tangan kirinya putus sepenuhnya akibat cuba menangkis serangan bertubi-tubi tersebut. Sementara itu, isterinya pula mengalami 52 kesan tetakan yang amat parah termasuk rekahan besar pada tempurung kepala serta luka torehan sepanjang 22 sentimeter di bahagian muka. 

     Laporan pakar perubatan forensik mengesahkan bahawa kedua-dua mangsa berada dalam keadaan sedar sepenuhnya dan mengalami kesakitan yang amat dahsyat semasa serangan berlaku sebelum menghembuskan nafas terakhir pada sekitar jam 2:30 pagi. Siasatan di tempat kejadian mendapati bilik tidur utama di tingkat dua dipenuhi dengan kesan percikan darah pada dinding dan perabot yang diterbalikkan menunjukkan berlakunya pergelutan yang sangat sengit sebelum mangsa cuba merangkak turun ke tingkat bawah demi menyelamatkan diri.


     ​Walau bagaimanapun, pihak polis mula mengesan beberapa kejanggalan yang menolak teori rompakan biasa dalam kes ini. Jam tangan mewah jenama Rolex yang bernilai jutaan dolar Taiwan yang masih dipakai di pergelangan tangan mangsa langsung tidak disentuh. Selain itu, peti besi, barang kemas serta wang tunai di dalam rumah tersebut berada dalam keadaan selamat tanpa digeledah. Perhatian pihak berkuasa kemudiannya terarah kepada bilik tidur anak tunggal lelaki pasangan tersebut, Lin Qingyue (18 tahun) yang didapati kosong. Di dalam bilik berkenaan, polis menemui beberapa helai tisu yang mengandungi kesan calitan darah, kesan kedutan pada tilam serta ruang kosong di dalam almari baju yang menandakan seseorang telah menukar pakaian dan mengemas barang dalam keadaan yang sangat tenang selepas pembunuhan berlaku. Lebih mencurigakan, kereta sport Mazda berwarna merah milik remaja berkenaan turut hilang dari pekarangan rumah. Laporan daripada jiran tetangga ada menyatakan bahawa Lin Qingyue ada membawa lima orang rakan remajanya untuk bermalam di rumah tersebut pada malam sebelum kejadian.

     ​Strategi licik pihak polis yang menyebarkan maklumat palsu kepada pihak media dengan menyatakan bahawa kes tersebut disiasat sebagai kes rompakan oleh orang luar akhirnya berjaya memancing Lin Qingyue untuk keluar dari persembunyiannya. Dalam tempoh kurang daripada 30 jam selepas pembunuhan, remaja berkenaan bersama tiga orang rakannya telah kembali ke rumah tersebut dengan menaiki teksi kononnya untuk membantu siasatan. Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam rumah yang masih dipenuhi kesan darah, Lin Qingyue mempamerkan riak wajah yang sangat dingin, tenang dan langsung tidak menunjukkan sebarang tanda kesedihan atau trauma atas kematian ngeri kedua-dua ibu bapanya. Apabila disoal siasat secara berasingan, alibi yang direka oleh mereka bahawa mereka pergi bersiar-siar di kawasan pantai Yangmingshan segera dipatahkan oleh pihak polis. Bukti fizikal yang paling kukuh ditemui apabila polis menyedari terdapat sisa kotoran berwarna merah gelap yang sukar dicuci di bawah celah kuku tangan dan kaki semua suspek di mana ujian profil DNA kemudiannya mengesahkan bahawa sisa tersebut adalah darah milik pasangan suami isteri yang terbunuh.

      ​Siasatan mendalam terhadap latar belakang kes mendedahkan bahawa motif utama pembunuhan ini berpunca daripada sifat tamak, dendam dan kegagalan sistem asuhan keluarga. Lin Qingyue merupakan seorang anak yang sangat dimanjakan oleh ibunya hingga segala kemahuan materialnya dipenuhi tanpa had sejak kecil. Bapanya pula seorang yang berpersonaliti tegas dan sering mendisiplinkan remaja tersebut dengan kaedah kekerasan serta cacian di hadapan rakan-rakannya. Gabungan antara kasih sayang yang tidak bersempadan daripada si ibu serta penghinaan yang keterlaluan daripada si bapa membentuk personaliti Lin Qingyue menjadi seorang yang narsistik dan derhaka. Dia berasa bahawa seluruh harta kekayaan ibu bapanya adalah hak mutlaknya. Apabila permintaannya untuk mendapatkan wang perbelanjaan ditolak selain dimarahi oleh bapanya beberapa hari sebelum kejadian, Lin Qingyue mula menggerakkan rancangan pembunuhan yang sebenarnya telah diatur bersama rakan-rakannya sejak setahun sebelum itu demi mendapatkan harta pusaka dan tuntutan wang insurans. Sebelum memilih kaedah tetakan, kumpulan remaja ini didapati pernah merancang untuk melakukan pembunuhan menggunakan dos ubat tidur yang tinggi dan racun kalium klorida yang dicuri oleh salah seorang rakan suspek yang bekerja sebagai jururawat. Mereka juga bahkan pernah cuba membeli senjata api di pasaran gelap.

      ​Pada malam kejadian, Lin Qingyue telah bertindak sebagai perancang utama dan pembunuh paling kejam dengan menetak ibu bapanya tanpa sebarang rasa belas kasihan. Sebaik sahaja serangan bermula di dalam bilik tidur tingkat dua, Lin Yinshu yang parah dan lencun dengan darahnya sendiri cuba melarikan diri ke tingkat bawah. Semasa menangkis tetakan pisau yang datang bertubi-tubi, si bapa menjerit dalam nada yang amat pilu, hancur dan penuh rasa tidak percaya terhadap anak kandungnya sendiri dengan berkata, "Aku ni bapa kau, aku ni bapa kau!" Rayuan itu bagaimanapun langsung tidak memberi apa-apa kesan terhadap hati Lin Qingyue. Dia bersama rakannya, Su Yanzhe terus memburu orang tuanya hinggalah kedua-dua mangsa rebah di ruang tamu. Su Yanzhe turut bertindak memotong talian telefon rumah bagi memutuskan sisa talian hayat mangsa. 

     Demi memastikan ibu bapanya benar-benar telah mati dan tidak dapat mendedahkan jenayahnya, Lin Qingyue mengambil jarum suntikan lalu menusuk dan memasukkan cecair kalium klorida pekat terus ke bahagian dada bapanya serta bawah ketiak ibunya. Tidak cukup dengan itu, dia memaksa empat lagi rakan remajanya yang lain untuk menetak mayat berkenaan sebanyak tiga kali seorang bertujuan mengikat mereka semua dalam jenayah bersubahat supaya tiada sesiapa yang berani tampil menjadi saksi.

     ​Selepas pembunuhan selesai, kumpulan remaja ini bekerjasama membersihkan sisa darah, menukar pakaian, mengaut wang tunai sebanyak 40n000 dolar Taiwan dan sempat memandu pergi bersiar-siar di kawasan pantai untuk menenangkan fikiran. Di dalam kenderaan, mereka malah berbincang dengan gembira mengenai perancangan membelanjakan wang warisan yang bakal diterima termasuk hasrat Lin Qingyue untuk membiayai kos membuat set gigi palsu buat rakan subahatnya. Kes pembunuhan kejam ini telah mencetuskan kemarahan yang amat dahsyat dalam kalangan rakyat Taiwan terutamanya apabila melihat kelakuan Lin Qingyue yang sangat angkuh sepanjang prosiding mahkamah dijalankan. Malah terdapat laporan berita lama daripada agensi media terkenal United Daily News Group sempat merakamkan detik Lin Qingyue melangkah keluar dari bilik bicara dengan wajah yang kosong tanpa sebarang ekspresi sejurus selepas hakim menjatuhkan hukuman mati ke atasnya.

      ​Setelah melalui beberapa siri proses rayuan, Mahkamah Agung Taiwan akhirnya mengekalkan hukuman mati terhadap Lin Qingyue pada 28 Mac 2002 manakala lima orang rakan subahatnya dijatuhkan hukuman penjara antara 5 hingga 16 tahun mengikut tahap penglibatan masing-masing. Pada malam tarikh 6 Mei 2002, Lin Qingyue yang ketika itu berusia 22 tahun telah dibawa ke bilik penembakan di Pusat Tahanan Taipei untuk menjalani hukuman mati. Sebelum hukuman dilaksanakan, dia akhirnya menundukkan kepala, mempamerkan rasa kesal yang amat mendalam dan mengakui kesilapannya yang telah memilih jalan hidup yang rosak sejak remaja. Sebagai tanda penyesalan, dia meminta agar organ-organnya seperti jantung, kornea mata, kulit dan tulang didermakan kepada pesakit yang memerlukan.

Catat Ulasan for "Kisah Lin Qingyue: Amukan Anak Manja dengan 109 Tetakan"