Kronologi Tekanan Mental dan Fizikal Michael Jackson yang Membawa Kepada Kematiannya Sebelum This Is It


     Di sebalik kemegahan Raja Pop Dunia iaitu Michael Jackson (MJ) di atas pentas, tahun-tahun terakhir kehidupannya dipenuhi dengan rantaian krisis kewangan yang didakwa didalangi oleh kelicikan syarikat gergasi Sony Music dan tekanan tidak berperikemanusiaan daripada penganjur konsert, AEG Live. Konflik bertahun-tahun ini bukan sahaja meranapkan empayar kewangan MJ malah secara tidak langsung telah mengheret bintang legenda ini ke gerbang kematian pada usia 50 tahun akibat dos berlebihan.

     Punca utama yang mencetuskan peperangan antara Michael Jackson dan Sony Music berakar umbi daripada sebuah aset paling berharga dalam sejarah muzik, katalog ATV Music Publishing. Pada tahun 1985 yakni atas nasihat peguam dan kebijaksanaan perniagaannya, MJ telah membeli katalog tersebut yang memegang hak cipta bagi sebahagian besar lagu-lagu hits kumpulan The Beatles dengan harga $47.5 juta. Pembelian ini pada mulanya dipandang remeh oleh pihak industri namun ia terbukti menjadi lubang lombong emas yang nilainya melambung tinggi. Menyedari potensi luar biasa aset tersebut, Sony Music bertindak memujuk MJ untuk menggabungkan katalognya dengan syarikat mereka pada tahun 1995. Maka tertubuhlah syarikat usaha sama Sony/ATV Music Publishing dengan pegangan saham 50/50. Melalui perjanjian ini, Sony membayar MJ sebanyak $115 juta. Walau bagaimanapun, ketamakan korporat mula terserlah apabila Sony mahu menguasai baki 50% lagi saham milik MJ. Walau bagaimanapun, MJ berkeras enggan menjualnya kerana menganggap aset itu adalah legasi masa depan anak-anaknya. Enggan menerima penolakan, Sony didakwa mula merancang strategi halus untuk menjerat MJ daripada segi kewangan supaya dia terpaksa melepaskan pegangan sahamnya demi melunaskan hutang.


     Konflik terpendam ini akhirnya meletus menjadi perang terbuka pada tahun 2001 semasa pelancaran album studio terakhir MJ bersama Sony yang bertajuk Invincible. Menjelang tempoh tersebut, hubungan antara MJ dan pihak pengurusan Sony sudah retak menanti belah akibat perbezaan pendapat mengenai kontrak pengedaran. MJ telah melabur dana yang amat besar dengan dianggarkan mencecah $30 juta untuk menghasilkan album berkenaan. Namun sebaik sahaja album itu dipasarkan, bekas CEO Sony Music, Tommy Mottola secara mengejut bertindak menghentikan semua dana dan kempen promosi bagi album tersebut. Malah Sony turut membatalkan pelancaran single amal bertajuk What More Can I Give. Tindakan boikot secara dalaman ini menyebabkan jualan album Invincible merosot teruk berbanding album-album MJ terdahulu. 

     Berang dengan apa yang disifatkannya sebagai sabotaj terancang, MJ melancarkan protes terbuka berskala besar pada tahun 2002 di London dan New York. Menggunakan bas dua tingkat dan dikelilingi ribuan peminat, MJ secara lantang melabelkan Tommy Mottola sebagai syaitan serta rasis yang mengeksploitasi artis-artis kulit hitam demi kepentingan korporat. MJ percaya sabotaj itu bertujuan membuatkannya agar Sony boleh merampas baki ekuiti katalog lagu The Beatles miliknya yang dijadikan cagaran.


     Walaupun MJ tidak muflis secara rasmi menurut undang-undang, dia mengalami krisis kecairan tunai yang amat kritikal. Biarpun nilai aset kasar MJ mencecah berbilion dolar melalui pegangan saham Sony/ATV dan hartanah, gaya hidunya yang terlalu mewah, kos penyelenggaraan premis Neverland Ranch yang mencecah jutaan dolar setahun serta rantaian saman sivil telah mengeringkan akaun banknya. Keadaan menjadi parah selepas perbicaraan kes mahkamah yang panjang pada tahun 2005. Walaupun MJ dibebaskan daripada semua pertuduhan, kos yuran guaman yang tinggi menyebabkannya menanggung hutang tertunggak dianggarkan antara $300 juta hingga $400 juta. Mengambil kesempatan atas kelemahan ini, bank-bank penasihat dan institusi kewangan yang mempunyai kaitan dengan Sony dilaporkan memnuat penstrukturan semula pinjaman MJ dengan mengenakan kadar faedah yang sangat tinggi sekali gus meletakkan aset katalog lagunya dalam risiko yang amat besar untuk disita sekiranya dia gagal membuat bayaran mengikut jadual.

     Himpitan hutang yang semakin menjerut leher akhirnya memaksa Michael Jackson menandatangani kontrak pembongkaran semula kerjayanya dengan syarikat gergasi penganjur acara, AEG Live pada awal tahun 2009. Kontrak tersebut menetapkan pelancaran siri konsert residensi terakhirnya yang dinamakan This Is It di O2 Arena, London. Mengikut persetujuan dan perancangan asal, MJ hanya menandatangani kontrak untuk melakukan 10 buah konsert sahaja. MJ amat menyedari bahawa pada usia 50 tahun dengan keadaan fizikalnya yang semakin susut dan lemah, dia tidak lagi mampu menari serta menyanyi dengan stamina yang sama seperti era zaman mudanya. Namun sebaik sahaja kaunter jualan dibuka, permintaan tiket melonjak luar biasa sehinggakan ratusan ribu tiket habis terjual dalam masa beberapa minit sahaja.


     Melihat keuntungan luar biasa yang menanti di depan mata, pihak pengurusan AEG Live didakwa mula melakukan manipulasi secara agresif. Tanpa kelulusan mutlak atau penilaian tahap kesihatan fizikal MJ, mereka secara sepihak menambah bilangan tarikh konsert daripada 10 menjadi 50 buah persembahan yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh beberapa bulan. Keputusan tamak ini meletakkan tekanan mental dan fizikal yang tidak tertanggung ke atas bahu MJ. Beberapa laporan daripada orang terdekat mendedahkan bahawa MJ sering menangis, menggigil ketakutan di dalam bilik persalinanbdan mengadu kepada pembantunya bahawa dia pasti akan mati sekiranya dipaksa memenuhi tuntutan 50 buah konsert tersebut. MJ terperangkap kerana pihak penganjur mengancam akan menyamannya dengan jumlah yang boleh memusnahkan terus sisa kewangannya sekiranya dia berundur.

     Tekanan melampau untuk mempersiapkan diri bagi 50 konsert bertenaga tinggi dengan ditambah pula dengan jadual latihan yang sangat padat di Staples Center akhirnya merosakkan sistem biologi MJ. Dia mengalami gangguan tidur atau insomnia kronik yang sangat parah hingga dan tubuhnya langsung tidak boleh berehat selama berhari-hari. Demi memastikan pelaburan bernilai jutaan dolar mereka tidak lebur, pihak penganjur dan pengurusan didakwa mendesak agar MJ diberikan bantuan perubatan segera untuk kekal berfungsi. Di sinilah munculnya peranan doktor peribadi MJ, Dr. Conrad Murray yang digaji dengan bayaran $150 000 sebulan yang dibiayai melalui pendahuluan oleh AEG Live. Bagi mengatasi masalah insomnia MJ, Dr. Murray mengambil langkah perubatan yang amat berbahaya dengan menyuntik ubat bius klinikal yang sangat kuat iaitu Propofol, digabungkan dengan ubat penenang sedatif seperti Midazolam dan Lorazepam hampir setiap malam di kediaman sewaan MJ.


     Kejadian yang ditakuti akhirnya berlaku pada 25 Jun 2009 iaitu hanya beberapa minggu sebelum tirai konsert This Is It dijadualkan bermula di London. Selepas satu sesi latihan yang meletihkan, MJ kembali ke rumah dan gagal untuk tidur. Atas permintaan MJ yang terlalu terdesak untuk berehat, Dr. Conrad Murray telah memberikan dos ubat penenang secara bertubi-tubi diikuti dengan suntikan maut cecair Propofol. Dr. Murray kemudiannya meninggalkan bilik tersebut tanpa pengawasan rapi. Apabila dia kembali, MJ didapati sudah tidak bernyawa akibat kegagalan pernafasan dan serangan jantung. Usaha menyelamat yang dilakukan sudah terlambat dan pengumuman kematian Raja Pop itu mengejutkan seluruh dunia.

Conrad Murray 

     Meskipun dari sudut undang-undang jenayah, Dr. Conrad Murray telah didapati bersalah oleh mahkamah atas pertuduhan membunuh tanpa niat dan dihukum penjara selama empat tahun, bagi ahli keluarga Jackson dan jutaan peminatnya, dalang sebenar yang membunuh MJ adalah ketamakan sistem korporat industri muzik.

Catat Ulasan for "Kronologi Tekanan Mental dan Fizikal Michael Jackson yang Membawa Kepada Kematiannya Sebelum This Is It"