Wanita Ini Diekori Lelaki Tidak Dikenali Sebelum Diserang dengan Ganas

    Kejadian yang dikenali sebagai Kes Tendangan Memutar Busan (Busan Roundhouse Kick Case) ini berlaku pada awal pagi 22 Mei 2022 di daerah Seomyeon, Busan, korea Selatan yakni tempat sebuah kawasan tumpuan ramai yang dikenali sebagai pusat aktiviti malam. Seorang wanita muda dalam perjalanan pulang ke pangsapuri kediamannya secara tidak sedar telah diekori oleh seorang lelaki yang tidak dikenali iaitu Lee Hyun-woo. Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan detik ngeri di ruang legar pangsapuri tersebut di mana sebaik sahaja mangsa menekan butang lif, pelaku bertindak meluru masuk sebelum melepaskan satu tendangan memutar yang sangat kuat tepat ke arah kepala mangsa. Akibat daripada impak tersebut, mangsa rebah serta-merta dan tidak sedarkan diri. (Video di hujung artikel)

     Setelah mangsa tidak lagi berdaya, pelaku menyeret mangsa ke kawasan sudut gelap yang tidak diliputi oleh rakaman CCTV. Tempoh selama tujuh minit yang disifatkan sebagai 7 minit yang hilang menjadi misteri utama dalam penyiasatan kes ini. Setelah tempoh tersebut berlalu, pelaku dilihat keluar dari pangsapuri tersebut secara bersendirian dengan menunjukkan kelakuan yang seolah-olah tiada rasa bersalah. Mangsa kemudiannya ditemui oleh jiran yang kebetulan lalu di kawasan tersebut yang segera menghubungi bantuan kecemasan. Akibat daripada serangan ganas itu, mangsa mengalami kecederaan parah termasuk luka terbuka di bahagian kepala, pendarahan dalaman serta kerosakan kekal pada pergelangan kaki yang menyebabkannya hilang keupayaan untuk bergerak secara normal seumur hidup.

     Siasatan pihak polis mendedahkan bahawa Lee Hyun-woo merupakan seorang bekas banduan yang mempunyai rekod jenayah lampau yang amat panjang. Walaupun pelaku mendakwa serangan tersebut bermotifkan dendam peribadi kerana berasa direnung oleh mangsa di jalanan, hasil siasatan lanjut dan bukti forensik menunjukkan sebaliknya. Pihak pendakwa raya dan pakar forensik menemui petunjuk kukuh bahawa serangan itu menjurus kepada cubaan jenayah seksual terutamanya selepas mendapati pakaian mangsa dalam keadaan tidak terurus dan seluar dalamnya terlepas dari posisi asal. Walau bagaimanapun, kesukaran dalam mengumpul bukti DNA yang spesifik pada peringkat awal siasatan telah menimbulkan kerumitan dalam proses pendakwaan.

     Dalam proses perundangan, mahkamah pada peringkat awal telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Lee Hyun-woo atas kesalahan cubaan membunuh. Keputusan tersebut bagaimanapun mencetuskan kemarahan orang awam yang beranggapan hukuman itu terlalu ringan memandangkan kekejaman pelaku dan risiko tinggi yang dibawanya kepada masyarakat. Setelah melalui proses rayuan dan penilaian semula yang teliti terhadap tingkah laku pelaku yang tidak menunjukkan sebarang penyesalan serta profil psikologi menunjukkan risiko tinggi untuk mengulangi jenayah, mahkamah akhirnya meningkatkan hukuman kepada 20 tahun penjara.

     Kes ini juga membawa implikasi besar terhadap sistem keadilan di Korea Selatan. Pada Februari 2026, laporan terkini menunjukkan bahawa pihak berkuasa mengakui wujudnya kelemahan dalam pengendalian siasatan kes ini terutama kegagalan pihak penyiasat dalam mengendalikan elemen jenayah seksual dengan sewajarnya. 



Catat Ulasan for "Wanita Ini Diekori Lelaki Tidak Dikenali Sebelum Diserang dengan Ganas"