Demi Sesuap Nasi, Bapa Tinggal Anak Umur Setahun di Rumah

      INDONESIA - Di sebalik deruman enjin motosikal dan deringan notifikasi pesanan aplikasi, tersimpan sebuah kisah perjuangan hidup yang menyentuh hati mengenai seorang penghantar pesanan perkhidmatan pembonceng motosikal di Daerah Kolaka, Sulawesi Tenggara.

    Tri Rama Dandi, 26 tahun, memikul tanggungjawab berat sebagai bapa tunggal yang menyara dan membesarkan anaknya, MA yang baru berusia satu tahun selepas perkahwinannya terlerai pada tahun 2025. Selain menjadi pencari nafkah utama, dia turut mengambil alih peranan sebagai ibu dengan mencurahkan sepenuh kasih sayang buat buah hatinya di sebuah bilik sewa yang serba kekurangan.

     Rutin harian Rama menuntut pengorbanan yang amat besar. Setiap kali menerima pesanan jarak dekat, dia terpaksa meninggalkan anaknya sendirian di bilik sewa. Bagi memastikan keselamatan si kecil, Rama memasang kamera litar tertutup (CCTV) yang dipantau secara terus menerusi telefon bimbitnya.

      Klip rakaman CCTV tersebut baru-baru ini tular di media sosial (video di hujung artikel) memaparkan gelagat menyayat hati kanak-kanak berkenaan yang memegang botol susu sambil merenung ke arah pintu. Anak kecil itu kelihatan sabar menanti kepulangan bapanya selain sesekali mengintai di celah bawah pintu setiap kali mendengar derapan langkah di luar.

     "Sistem kerja saya adalah bergerak (mobile). Setiap kali selesai menyempurnakan satu pesanan, saya akan terus pulang ke bilik sewa untuk memeriksa keadaan anak," kata Rama ketika dihubungi pihak media pada Ahad (26/7/2026).

     Cabaran sebenar bagaimanapun bermula sekiranya dia menerima pesanan yang melebihi jarak tiga kilometer. Perasaan bimbang dan cemas sentiasa menghantui fikirannya apabila perlu meninggalkan anaknya untuk tempoh yang lebih lama.

     Rama mengakui tekanan mental yang berat serta masalah ekonomi selepas perceraian pernah mengheretnya ke lembah keputusasaan hingga hampir menamatkan nyawa sendiri. Namun kehadiran dan masa depan anak kecilnya itu menjadi satu-satunya kekuatan untuk dia terus bertahan menempuh dugaan hidup.


Catat Ulasan for "Demi Sesuap Nasi, Bapa Tinggal Anak Umur Setahun di Rumah"