Kisah Pembunuhan Kejam Ria Puspita


     Ria Puspita merupakan seorang remaja perempuan yang dilahirkan dan membesar dalam sebuah keluarga sederhana di Kecamatan Pagelaran, Kabupaten Cianjur, Jawa Barat, Indonesia. Di mata keluarga dan penduduk sekeliling, Ria dikenali sebagai seorang anak yang pendiam, bersopan santun serta amat rapat dengan keluarga. Menginjak usia remaja, dia melanjutkan pelajaran di sebuah Sekolah Menengah Kejuruan (SMK) tempatan di Pagelaran.

     Di sekolah berkenaan, Ria berkenalan dengan seorang pelajar lelaki berinisial AG. Selain bersekolah di tempat yang sama, mereka juga tinggal di sub-daerah yang sama. Faktor ini memupuk hubungan rapat antara mereka sehingga akhirnya terjalin hubungan percintaan. Lama-kelamaan, hubungan asmara remaja ini mula melampaui batas kebiasaan tanpa pengetahuan keluarga masing-masing.

      Menjelang awal tahun 2023, hubungan percintaan mereka mula diuji dengan pertengkaran berterusan. AG kerap menunjukkan sikap cemburu dan menuduh Ria masih berhubung melalui telefon dengan lelaki lain. Walaupun Ria berulang kali cuba memberikan penjelasan, prasangka AG tidak pernah surut. Pertengkaran ini berlarutan hingga membawa kepada perpisahan mereka secara rasmi pada Mac 2023.

       Kira-kira sebulan selepas berpisah, Ria menghubungi AG untuk menyampaikan berita bahawa dirinya telah hamil di mana dia yakin anak dalam kandungannya adalah zuriat AG. Berita tersebut mengejutkan AG yang kemudian bertindak menolak dakwaan berkenaan. AG enggan mengaku bertanggungjawab dengan memberi alasan bahawa hubungan intim terakhir mereka berlaku dua bulan sebelum pengakuan tersebut selain menuduh kandungan itu adalah hasil hubungan Ria dengan lelaki lain.


      Hari-hari berikutnya menyaksikan tekanan emosi AG semakin meruncing apabila dia mula menerima panggilan dan pesanan ringkas daripada nombor-nombor tidak dikenali yang mendesaknya bertanggungjawab. Dibayangi rasa takut dan malu jika rahsia tersebut diketahui oleh keluarga, rakan sekolah mahupun penduduk setempat, AG mengambil keputusan nekad untuk merancang pembunuhan Ria bagi menghapuskan punca masalahnya.

     Bagi menjayakan rancangan jahatnya, AG mengajak seorang rakan sekolahnya yang juga berusia 17 tahun, berinisial D. Selepas menceritakan kemelut kehamilan yang dihadapinya, D bersetuju untuk bersubahat. Pada Ahad, 23 April 2023, AG mula mengatur langkah dengan meminjam sebuah kenderaan pikap berwarna hitam milik bapa saudaranya atas alasan mahu menggunakannya sebentar.

      Tanpa pengetahuan sesiapa, AG turut mengambil selaras senapang angin dan seutas tali tebal milik bapa saudaranya lalu menyembunyikannya di dalam pikap berkenaan. AG kemudian menghubungi Ria dengan nada suara yang tenang dan lembut. Dia berpura-pura mahu bertanggungjawab dan berhasrat bertemu untuk menyelesaikan kemelut mereka secara baik. Terpedaya dengan perubahan sikap AG, Ria bersetuju untuk berjumpa pada petang hari kejadian.

     Sekitar jam 4:00 petang pada 23 April 2023, hujan deras mula membasahi kawasan Pagelaran. Ria yang baru selesai menjemput kakaknya di rumah bersiap-siap untuk keluar. Walaupun ibunya bimbang akan keadaan cuaca, Ria tetap berkeras mahu keluar kerana menganggap pertemuan itu amat penting. 


     Kira-kira jam 4:30 petang, kenderaan pikap hitam yang dinaiki AG dan D tiba menjemput Ria. Seorang penduduk sempat melihat Ria menaiki kenderaan tersebut sebelum ia bergerak menuju ke kawasan ladang teh yang sunyi yakni berjarak kira-kira 100 meter dari kawasan perumahan penduduk. Setibanya di sana, Ria membangkitkan isu kehamilannya dan memohon kepastian. Walau bagaimanapun, AG tetap mendegil dan melemparkan tuduhan curang.

      Menyedari perbincangan tidak membuahkan hasil, Ria membuat keputusan untuk berjalan meninggalkan lokasi di tengah hujan lebat. Semasa dalam perjalanan itu, Ria mengeluarkan telefon pintarnya dan sempat mendail nombor ibunya. Ria yang dalam keadaan menangis telah menjerit, "Mama tolong!" sebelum panggilan tersebut dirampas dan dimatikan oleh AG. Bimbang rahsianya terbongkar, AG yang berasa panik mengambil senapang angin dari dalam pikap lalu melepaskan tembakan dari jarak dekat ke arah belakang kepala Ria. Mangsa terus rebah dan bagi memastikan kematian Ria, AG melepaskan satu lagi tembakan di bahagian kepala.

     AG dan D kemudian memindahkan mayat Ria ke bahagian belakang pikap sebelum memandu kenderaan tersebut sejauh beberapa kilometer menuju ke kawasan Kampung Ciparai, Desa Sukakarya, Kecamatan Sukanegara. Setibanya di jambatan Sungai Ciparai yang sepi, mereka mengikat batu besar pada tubuh mangsa menggunakan tali sebagai pemberat sebelum membuangnya ke dalam sungai.

      Arus sungai yang deras bagaimanapun menyebabkan ikatan batu pemberat terlepas. Pada jam 9:30 malam hari yang sama, penduduk setempat yang lalu di kawasan jambatan dikejutkan dengan penemuan tubuh seorang wanita yang terapung di aliran sungai lalu melaporkannya kepada pihak polis.


      Keluarga Ria yang panik selepas menerima panggilan kecemasan daripada mangsa telah melakukan pencarian bersama penduduk. Petunjuk penting ditemui apabila seorang saksi memberitahu melihat Ria menaiki pikap hitam. Pencarian di kawasan ladang teh telah menemui payung milik ibu Ria serta kesan tayar kenderaan. Pengesahan di tepi Sungai Ciparai akhirnya memecahkan tangisan keluarga apabila bapa dan abang Ria mengesahkan mayat berkenaan adalah Ria Puspita.

     Laporan forensik mengesahkan peluru senapang angin yang tertanam di dalam kepala mangsa sebagai punca utama kematian. Selain itu, bayi kandungan mangsa juga disahkan berusia sekitar 3 hingga 5 bulan. Susulan itu, pihak polis telah melakukan serbuan kurang 24 jam selepas kejadian dan berjaya menahan AG di rumah kerabatnya di Desa Pasir Baru, Pagelaran diikuti penahanan D.

      AG didakwa di bawah Seksyen 80 Ayat 3 Akta Perlindungan Kanak-kanak serta Seksyen 340 Kanun Keseksaan (KUHP) atas kesalahan pembunuhan terancang. Pada 22 Mei 2023, Mahkamah Negeri Cianjur menjatuhkan hukuman penjara selama 7 tahun 6 bulan ke atas AG memandangkan status pelaku yang masih di bawah umur di bawah sistem keadilan jenayah kanak-kanak. Tentang status D yang didakwa bersubahat, tidak dapat dipastikan hukuman yang diterimanya.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Ria Puspita"