HILANG SEJAK DARI TAHUN 2021, DUA-BERADIK INI RUPANYA JADI MANGSA PEMBUNUHAN KEJAM
Satu kes pembunuhan kejam menjadi tumpuan setelah misteri kehilangan dua beradik dari Banyuasin, Sumatera Selatan, Indonesia akhirnya terungkai selepas lima tahun menjadi misteri. Mangsa iaitu Rani (18 tahun) yang merupakan pelajar sekolah menengah dan adiknya Ayu Hana (13 tahun) yang bersekolah di sekolah pondok dilaporkan hilang tanpa jejak sejak 27 Oktober 2021 sebelum rangka mereka ditemui secara tidak sengaja pada September 2026.
Kejadian bermula pada pagi hari Rabu, 27 Oktober 2021 ketika Rani dan Ayu meminta izin daripada ibu mereka, Helmi Nursidah untuk menaiki sebuah motosikal Honda Legenda hitam menuju ke sekolah. Namun harapan keluarga untuk melihat kepulangan mereka pada petang hari itu musnah apabila kedua-dua beradik tersebut gagal pulang ke rumah. Apabila pihak keluarga membuat semakan dengan pihak sekolah, alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati Rani dan Ayu langsung tidak pernah hadir ke sekolah pada hari berkenaan. Laporan orang hilang segera dibuat kepada pihak berkuasa. Walau bagaimanapun, siasatan awal menemui jalan buntu akibat ketiadaan petunjuk, saksi mahupun alat komunikasi yang boleh dijejak.
Sepanjang tempoh lima tahun pencarian yang hampa, keluarga mangsa hidup dalam keresahan yang berpanjangan. Di sebalik duka yang ditanggung oleh ibu dan ahli keluarga, tersimpan satu pengkhianatan yang amat kejam. Salah seorang suspek utama yang turut serta dalam kesedihan keluarga ialah Rendy Saputra (27 tahun) yang merupakan bekas kekasih Rani. Rendy yang bekerja sebagai buruh bangunan dan sudah dianggap seperti keluarga sendiri kerana sering makan dan minum di rumah mangsa, bertindak licik dengan berpura-pura membantu mencari mangsa. Lebih menyayat hati, Rendy turut hadir dalam setiap majlis tahlil dan mengaji yang diadakan oleh keluarga mangsa. Dia bahkan sanggup bersumpah demi nama Tuhan bahawa dirinya tidak tahu-menahu mengenai kehilangan kekasihnya itu.
Misteri yang seolah-olah lenyap ditelan zaman itu akhirnya terbongkar secara kebetulan pada 6 September 2026. Seorang penduduk tempatan bernama Pak Otong pergi ke kawasan perumahan kosong terbengkalai iaitu Perumahan Amanah di Kelurahan Keramat Raya, Kecamatan Talang Kelapa, Banyuasin untuk mencari kayu api. Kawasan tersebut sudah lama ditinggalkan penduduk kerana kerap dilanda banjir dan dipenuhi semak samun. Tanpa diduga, Pak Otong terpandang bangkai sebuah motosikal yang sudah berkarat di dalam sebuah parit besar. Penemuan itu segera dilaporkan kepada ketua kampung sebelum mereka menyusuri kawasan sekitar sebelum menemui sebuah rumah kosong terletak kira-kira sepuluh meter dari lokasi motosikal terbabit. Betapa luluhnya hati mereka apabila mendapati terdapat kerangka manusia di dalam rumah usang berkenaan, lengkap dengan seragam sekolah, beg serta barangan peribadi milik Rani dan Ayu.
Hasil siasatan pantas pihak polis kurang daripada enam jam selepas penemuan itu berjaya menahan Rendy Saputra bersama seorang lagi rakannya, Andika (25 tahun). Berdasarkan pengakuan para Rendy, motif di di sebalik pembunuhan kejam ini adalah rasa sakit hati dan dendam kerana niat Rendy untuk mengahwini Rani tidak direstui oleh pihak keluarga. Sebelum kejadian, kedua-dua suspek telah merancang pembunuhan tersebut dengan rapi termasuk menginap di rumah kosong berkenaan sehari lebih awal serta memasang sebatang kayu di tengah jalan untuk menyekat laluan motosikal mangsa. Ketika mangsa melalui kawasan tersebut pada pagi kejadian, Ayu Hana diserang terlebih dahulu oleh Andika menggunakan senjata tajam manakala Rani ditarik ke dalam rumah kosong lalu dibunuh oleh Rendy selepas berlaku pertengkaran akibat penolakan berterusan.
Penemuan tragis ini tidak hanya merungkai teka-teki kehilangan lima tahun lalu tetapi juga meninggalkan kesan emosi yang mendalam kepada ibunya, Helmi Nursidah yang jatuh pengsan akibat terlalu marah dan kecewa sebaik sahaja dipertemukan dengan Rendy yang selama ini diangap seperti anak sendiri. Kini kedua-dua suspek telah ditahan di balai polis dan dihadapkan dengan pertuduhan berat di bawah undang-undang pembunuhan terancang.
Catat Ulasan for "HILANG SEJAK DARI TAHUN 2021, DUA-BERADIK INI RUPANYA JADI MANGSA PEMBUNUHAN KEJAM "