Wanita Ini Ceritakan Apa yang Jeffrey Epstein Pernah Lakukan Kepadanya

Ini adalah kisah pendedahan oleh Roza Gilles, seorang mangsa terselamat daripada rangkaian penderaan seksual yang didalangi oleh pesalah seks terkemuka Amerika Syarikat, Jeffrey Epstein. Pengalaman ngeri ini dikongsikan sendiri oleh Roza menerusi temu bual eksklusif bersama media antarabangsa CNN pada bulan Julai 2026.
Latar belakang Roza bermula apabila dia berhijrah dari Uzbekistan ke Amerika Syarikat pada usia 18 tahun akibat terpedaya dengan tawaran lumayan daripada sebuah agensi model. Setibanya di negara tersebut, impian untuk membina kerjaya kerjaya peragaan berubah menjadi mimpi ngeri apabila dia dibebani dengan pelbagai hutang tersembunyi yang diletakkan oleh agensi berkenaan termasuklah kos sewa tempat tinggal dan pengurusan visa. Maka dalam keadaan terdesak dan tertekan untuk menyara diri, Roza menerima tawaran kerja sambilan hujung minggu sebagai pembantu kerani dan penyambut tetamu di pejabat Jeffrey Epstein yang beroperasi di bawah entiti Florida Science Foundation di Palm Beach, Florida.

Apa yang tidak diketahui oleh Roza pada peringkat awal ialah hakikat bahawa majikannya itu merupakan seorang penjenayah bersiri. Dia mula menyedari sesuatu yang tidak kena apabila melihat sebuah gelang peranti pemantau elektronik (ankle monitor) berwarna hitam yang sentiasa berkelip di pergelangan kaki Epstein. Pada waktu itu, Epstein sebenarnya sedang menjalani hukuman menerusi program pelepasan kerja selama 12 jam sehari susulan sabitan kes melanggan pelacur di bawah umur pada tahun 2008.
Di pejabat tersebut, penderaan bermula secara berperingkat. Epstein mula mengarahkannya melakukan tugasan luar batasan profesional seperti mengurut kaki sebelum ia bertukar menjadi serangan fizikal dan rogol berulang kali. Roza mendedahkan bahawa mimpi ngeri itu berlaku setiap minggu di Florida dan berterusan selama bertahun-tahun. Malah perbuatan jijik Epstein itu berlarutan hingga ke premis kediaman serta pejabat Epstein di New York selepas tempoh tahanan rumah lelaki terbabit tamat. Roza menekankan bahawa Epstein langsung tidak mempunyai rasa bersalah dan tidak pernah berhenti melakukan jenayah tersebut walaupun dia berada dalam pemerhatian ketat pihak berkuasa mahupun ketika menjalani hukuman.

VKeadaan menjadi lebih menyeksakan buat Roza apabila dia hilang sebarang bentuk kepercayaan terhadap sistem keadilan dan penguatkuasaan undang-undang. Roza pernah berdepan detik-detik kecewa yang mendalam apabila melihat sendiri bagaimana pegawai penguatkuasa undang-undang dan anggota polis bersikap terlalu mesra, beramah mesra serta seolah-olah melindungi kepentingan Epstein di kediamannya. Rasa terpinggir dan ketiadaan saluran perlindungan yang telus menyebabkan Roza mengalami tekanan emosi yang sangat teruk. Dia mendedahkan bahawa dirinya pernah berada dalam keadaan yang begitu buntu dan terdesak sehingga nekad berlegar-legar di New York City semata-mata untuk mendapatkan jangkitan penyakit kelamin dengan harapan ia dapat menjangkiti dan membunuh Epstein kerana berasa itu sahaja cara terakhir untuk menamatkan penderitaannya apabila tiada pihak yang membela.
Walau bagaimanapun, titik peluh dan usaha gigih untuk mencapai kebebasan kewangan akhirnya membuka jalan buat Roza keluar daripada cengkaman lingkaran hitam tersebut. Dia mengambil keputusan berani untuk melarikan diri daripada pengaruh Epstein sebelum memulakan kehidupan baharu di kawasan Midwest, mendirikan rumahtangga dan membina semula kestabilan mentalnya.
Catat Ulasan for "Wanita Ini Ceritakan Apa yang Jeffrey Epstein Pernah Lakukan Kepadanya"