Bagaimana Ashton Kutcher Pernah Terlibat Dalam Kes Pembunuhan Ngeri Yang Menggempar Hollywood

     Antara kes jenayah paling mengejutkan yang pernah dikaitkan dengan seorang bintang terkenal Hollywood iaitu Ashton Kutcher ialah kes pembunuhan kejam yang menimpa Ashley Ellerin pada tahun 2001. Walaupun pelakon kacak itu tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal mahupun menjadi mangsa utama, dis terseret secara langsung ke dalam kes ini sebagai saksi penting.

    Kejadian bermula pada malam Jumaat, 22 Februari 2001 apabila Ashton Kutcher yang pada ketika itu mula menempa nama dalam industri lakonan melalui sitkom popular That '70s Show merancang untuk keluar bertemu janji bersama Ashley Ellerin yang berusia 22 tahun. Dia merupakan seorang pelajar fesyen dan model sambilan yang menetap di sebuah rumah sewaan di Hollywood Hills, Los Angeles. 

     Mengikut perancangan, Kutcher dijadualkan mengambil Ashley di kediamannya sekitar jam 10:00 malam sebelum mereka keluar menghadiri sebuah majlis selepas parti anjuran penganugerahan Grammy. Namun atas faktor kesesakan lalu lintas dan beberapa kelewatan peribadi, Kutcher gagal tiba pada masa yang ditetapkan dan hanya sempat menghubungi Ashley lewat malam itu untuk memaklumkan kelewatannya. Walaupun lewat, rancangan tersebut tetap diteruskan.

     Pada sekitar jam 10:45 malam, Kutcher tiba di kediaman Ashley di Hollywood Hills. Dia kemudian mengetuk pintu rumah utama berulang kali namun tiada sebarang jawapan atau sahutan daripada dalam. Suasana di sekitar kawasan itu kelihatan sunyi. Berasa ada sesuatu yang tidak kena, Kutcher bertindak mengintai dari luar menerusi tingkap kaca rumah berkenaan. Di sinilah detik yang paling menghantui hidupnya berlaku. Dia melihat apa yang disangkakannya sebagai kesan tumpahan wain merah bertompok-tompok di atas lantai ruang tamu. 

     Tanpa menyedari bahawa kesan merah itu sebenarnya adalah darah yang mengalir, Kutcher beranggapan bahawa Ashley mungkin telah keluar meninggalkannya kerana dia lewat sampai. Jadi Kutcher pun mengambil keputusan untuk beredar dari situ. Dia pun pulang ke kediamannya dengan perasaan sedikit kecewa tanpa mengetahui apa sebenarnya yang telah berlaku kepada Ashley.

    Misteri di sebalik pintu terkunci itu akhirnya terbongkar pada keesokan paginya iaitu pada 23 Februari 2001. Rakan sebilik Ashley, Christina Corbin pulang ke rumah selepas bermalam di luar dan mendapati keadaan rumah sunyi sepi. Apabila dia cuba masuk ke dalam bilik air, pemandangan mengerikan menyambutnya. Ashley dilihat terbaring kaku di lantai berhampiran pintu bilik mandi dalam mandian darah yang pekat. 

     Pasukan paramedik dan pegawai penyiasat Jabatan Polis Los Angeles yang dikejarkan ke tempat kejadian mengesahkan bahawa Ashley telah meninggal dunia akibat kecederaan parah yang luar biasa. Hasil bedah siasat mendedahkan bahawa Ashley telah ditikam dengan kejam sebanyak 47 kali pada bahagian dada, leher dan belakang badan oleh penyerang yang mengamuk.

     Siasatan terperinci polis segera digerakkan sebelum membawa kepada penemuan identiti pembunuh bersiri yang dikesan mengganas di kawasan sekitar Los Angeles. Pelaku di disebalik pembunuhan kejam ini ialah Michael Gargiulo, seorang lelaki yang kemudiannya dijuluki oleh media sebagai The Hollywood Ripper atau The Chilling-Killer. Gargiulo sebenarnya adalah seorang pemuda yang tinggal tidak jauh dari kawasan kediaman Ashley dan sering menyamar sebagai individu yang ramah atau menawarkan khidmat pembaikan kecil di sekitar kawasan kejiranan. Namun di sebalik wajah dan sifat peramah itu, Gargiulo menyimpan sikap taksub yang ekstrem terhadap mangsa-mangsanya termasuklah mengintai pergerakan Ashley secara senyap-senyap sebelum melancarkan serangan mengejut di dalam rumah Ashley sendiri.

     Kes ini berlarutan selama bertahun-tahun sebelum mencapai penutup di mahkamah akibat liku-liku siasatan yang kompleks dan kes-kes jenayah lain yang turut dikaitkan dengan Gargiulo di California serta Illinois. Pada Mei 2019, Ashton Kutcher secara rasmi dipanggil hadir ke Mahkamah Tinggi Los Angeles sebagai saksi pendakwaan utama. Di hadapan hakim dan juri, Kutcher memberikan keterangan terperinci mengenai garis masa malam kejadian, menceritakan detik-detik dia mengetuk pintu rumah Ashley dan bagaimana dirinya melihat kesan cecair merah melalui tingkap. Keterangan Kutcher amat kritikal kerana ia membantu pihak pendakwaan mengesahkan waktu tepat kematian Ashley dan mematahkan sebarang keraguan berkaitan alibi Gargiulo.

     Kemuncak kepada perbicaraan itu menyaksikan mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal terhadap Michael Gargiulo atas pertuduhan membunuh Ashley Ellerin, membunuh seorang lagi wanita bernama Maria Bruno serta satu pertuduhan cubaan membunuh membabitkan mangsa yang selamat. Pada Ogos 2021, Gargiulo secara rasmi dijatuhi hukuman mati (walaupun pelaksanaan hukuman tertangguh di bawah moratorium negeri California) berserta hukuman penjara tambahan seumur hidup tanpa parol.


Catat Ulasan for "Bagaimana Ashton Kutcher Pernah Terlibat Dalam Kes Pembunuhan Ngeri Yang Menggempar Hollywood"