Gara-Gara Hubungan Sulit, Nyawa Pemuda Kaya Melayang Di Tangan Kekasih Gelap

Mangsa dalam kes ini ialah Justin, seorang lelaki berusia 26 tahun berketurunan Cina yang dibesarkan di New York selepas ibu bapanya berhijrah dari Fujian, China. Sebagai generasi pertama keluarga imigran yang membina kehidupan menerusi perniagaan restoran dengan penuh kesusahan, ibu bapa Justin terlalu memanjakannya sebagai tanda pampasan terhadap masa lalu yang sukar. Keadaan ini menjadikan Justin seorang pemuda yang hidup selesa seperti golongan elit di mana dia gemar mempamerkan barangan mewah, serta kerap menghabiskan masa di pusat hiburan malam di sekitar Flushing, Queens. Meskipun sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak lelaki, Justin terus meneruskan gaya hidup bebasnya di kelab malam.
Di sinilah Justin mula bertemu dengan Deng Haiyan, atau lebih dikenali dengan nama panggilan Deng Xiaobao, seorang wanita kelahiran Guangdong, China yang bekerja di sebuah kelab malam mewah di Flushing. Deng Haiyan yang berusia 30-an, mengimpikan kehidupan mewah dan kesenangan di bumi Amerika Syarikat namun terpaksa mencari sumber pendapatan melalui industri hiburan malam yang semakin terjejas akibat pandemik. Hubungan antara pelanggan dan pekerja itu akhirnya bertukar menjadi skandal sulit yang bertahan selama kira-kira setahun. Namun masalah mula timbul apabila Deng Haiyan mula mendesak Justin supaya meninggalkan isterinya dan berkahwin dengan dirinya. Permintaan itu bagaimanapun ditolak keras oleh Justin kerana dia tidak mahu melepaskan keluarganya demi menjaga kepentingan peribadi dan kestabilan rumah tangganya.

Konflik antara kedua-dua individu itu semakin meruncing pada pertengahan bulan September 2021. Kejadian sebenar berlaku pada awal pagi 18 September 2021 apabila rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah pangsapuri di 39th Avenue, Flushing merakamkan saat Justin dan Deng Haiyan melangkah masuk ke dalam bangunan tersebut pada pukul 5:40 pagi. Kiira-kira dua jam kemudian, Deng Haiyan dilihat keluar seorang diri membawa beg dan memandu kenderaan mangsa manakala Justin tidak pernah lagi keluar dari pangsapuri itu. Apabila keluarga melaporkan kehilangan Justin selepas gagal dihubungi, pihak polis New York telah memecah masuk ke pangsapuri berkenaan lalu menemui mayat Justin dibalut dengan cadar di atas katil dengan kesan tembakan maut di kepala.
Selepas menyedari jenayahnya terbongkar, Deng Haiyan memulakan pelarian nekad dengan memandu kereta mangsa merentasi pelbagai negeri ke arah barat Amerika Syarikat. Siasatan pihak berkuasa mendedahkan bahawa dia turut membawa senjata api yang digunakan untuk membunuh serta wang tunai hampir USD99 000 milik Justin. Walaupun cuba mengelirukan pihak polis dengan maklumat palsu kononnya dia melarikan diri ke Kanada, sistem pengesanan telefon pintar dan kenderaan menunjukkan dia sebenarnya menuju ke arah sempadan Mexico di New Mexico iaitu hampir 3000 kilometer dari tempat kejadian.

Pelarian tersebut akhirnya menemui penamat yang dramatik dan tidak dijangka di sebuah lebuh raya di Torrance County, New Mexico pada 22 September 2021. Kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V berplat Pennsylvania yang dipandu oleh Deng Haiyan mengalami masalah tayar pecah dan terpaksa berhenti di tepi jalan. Seorang pegawai peronda lebuh raya wanita bernama Serena pada mulanya berhenti untuk memberikan bantuan kemanusiaan secara mesra tanpa mengenali identiti wanita tersebut.
Selepas menerima maklumat risikan daripada pihak polis New York mengenai suspek buruan bersenjata, Serena bergegas berpatah balik ke lokasi kenderaan terkandas itu. Apabila Deng Haiyan berdegil hendak kembali ke dalam kenderaannya dengan alasan mengambil pakaian sejuk yakni tindakan yang dikhuatiri bertujuan mengambil senjata api, pegawai polis tersebut bertindak pantas untuk menahannya. Rakaman kamera badan pergelutan di tepi lebuh raya itu kemudiannya menjadi tular memperlihatkan detik cemas apabila suspek meronta-ronta sambil menjerit tidak mengenali pegawai polis tersebut. Menerusi bantuan seorang pemandu yang kebetulan melintas dan berhenti untuk membantu, pihak polis akhirnya berjaya melumpuhkan dan menahan Deng Haiyan sepenuhnya (video di hujung artikel).

Setelah melalui proses ekstradisi kembali ke New York, kes ini berlarutan di mahkamah sebelum mencapai muktamad pada akhir tahun 2024. Deng Haiyan akhirnya mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh tanpa niat tahap pertama dan pecah rumah tahap kedua lalu dijatuhi hukuman penjara mandatori selama 27 tahun.
Catat Ulasan for "Gara-Gara Hubungan Sulit, Nyawa Pemuda Kaya Melayang Di Tangan Kekasih Gelap"