Diserang Panik Di Tempat Tinggi, Influencer Maut Jatuh Parasailing

Pada 28 Mei 2025, seorang model dan pempengaruh muda berusia 19 tahun dari Serbia iaitu Tijana Radonjic maut dalam insiden sukan air parasailing. Kejadian menakutkan itu berlaku di persisiran pantai peranginan popular Budva, Montenegro di mana detik-detik cemas yang menimpa Tijana sempat dirakam sebelum dia jatuh terhempas ke Laut Adriatik.
Tijana yang berasal dari Novi Sad, Serbianberada di Montenegro untuk bercuti bersama emak saudaranya. Ketika berada di pantai, dia ditawarkan penerbangan Parasailing secara percuma oleh sebuah syarikat sukan air tempatan sebagai pertukaran untuk video promosi serta kandungan media sosial. Sebelum berlepas, Tijana dilihat berada dalam keadaan tenang, gembirandan tidak menunjukkan sebarang tanda ketakutan atau kecemasan. Dia sempat melambai ke arah rakan-rakan serta meminta sepupunya merakam detik-detik dirinya dilayangkan ke udara untuk dimuat naik ke akaun TikTok miliknya.

Walau bagaimanapun, kegembiraan tersebut hanya bertahan seketika. Apabila payung terjun yang ditarik bot itu mencapai ketinggian anggaran 50 meter (sekitar 165 kaki) di atas laut, keadaan secara tiba-tiba berubah menjadi panik. Menurut saksi kejadian dan rakaman video yang tular, Tijana dipercayai mengalami serangan panik yang amat dahsyat. Dalam keadaan ketakutan terlampau, dia mula berteriak meminta tolong dan memohon agar bot menurunkan dirinya dengan segera (video di hujung artikel).
Keadaan menjadi lebih cemas apabila kecelaruan fikiran akibat tindak balas psiko-fizikal menyebabkan Tijana hilang pertimbangan rasional. Kamera yang dipasang pada kelengkapannya merakam gelagat Tijana yang cuba melepaskan jaket pelampung serta ikatan tali keledar keselamatan. Akibat tindakan meluru dalam keadaan terdesak itu, dia terlepas daripada kawalan perlengkapan lalu jatuh menjunam dari ketinggian tinggi dan terhempas ke dalam permukaan air.

Pasukan perkhidmatan kecemasan yang bergegas ke lokasi kejadian berjaya mengeluarkan jasad Tijana dari laut tidak lama kemudian namun pegawai perubatan mengesahkannya telah pun meninggal dunia di tempat kejadian. Susulan kejadian pada 28 Mei 2025 tersebut, Pejabat Pendakwa Raya Kotor bersama pihak polis tempatan telah membuka siasatan rasmi untuk memeriksa aspek teknikal peralatan sukan air serta meneliti protokol keselamatan yang diguna pakai oleh syarikat berkenaan.
Pemilik syarikat parasailing, Mirko Krdzic menzahirkan rasa terkejut dan duka atas insiden itu sambil menjelaskan bahawa Tijana telah diberikan taklimat keselamatan sebelum berlepas. Walau bagaimanapun, keluarga terutama ibu bapanya menos sebarang andaian bahawa kesalahan terletak di bahu anak mereka sepenuhnya. Pihak keluarga menuntut siasatan menyeluruh mengenai kelalaian pengendali bot termasuk sebab kecemasan mangsa tidak dikesan lebih awal dan mengapa tali keledar keselamatan begitu mudah terlepas semasa penerbangan di udara.
Catat Ulasan for "Diserang Panik Di Tempat Tinggi, Influencer Maut Jatuh Parasailing"