Apabila Seorang Bapa Bertindak: Keadilan di Sebuah Ladang Terpencil Texas

     Kejadian ini berlaku pada 9 Jun 2012 di sebuah ladang lembu terpencil berhampiran pekan Shiner, Lavaca County, Texas, Amerika Syarikat. 

     Segala-galanya bermula pada pertengahan tengah hari yang tenang apabila seorang pekerja ladang mengesan sesuatu yang amat mencurigakan. Pandangan dari jarak jauh, saksi berkenaan melihat seorang lelaki tempatan berumur 47 tahun, Jesus Mora Flores secara paksa sedang mengendong dan membawa lari seorang budak perempuan berusia lima tahun menuju ke kawasan semak dan pokok yang terlindung. Menyedari ada sesuatu yang tidak kena, saksi itu segera berlari ke arah rumah utama untuk memberitahu bapa kanak-kanak berkenaan.

    Tanpa berlengah, bapa muda yang baru berusia 23 tahun itu bergegas mencari anaknya. Menerusi jeritan ketakutan dan tangisan sayu anak kecilnya yang memecah kesunyian ladang, bapa tersebut akhirnya menemui lokasi keberadaan mereka di kawasan tersembunyi. Namun pemandangan yang menyambut matanya amat memilukan. Flores sedang melakukan serangan fizikal dan cabul ke atas anak perempuannya yang tidak berdaya. Maka dalam keadaan marah dan cemas, bapa itu terus meluru dan menarik Flores daripada anaknya.

     Tanpa memegang sebarang senjata api mahupun senjata tajam, bapa tersebut menyerang Flores hanya menggunakan tangan kosong. Pukulan berperingkat bertubi-tubi dilayangkan tepat ke arah bahagian kepala dan leher Flores demi menghentikan ancaman penjenayah itu secara serta-merta. Selepas menumbangkan Flores, bapa tersebut segera menarik anaknya ke tempat selamat sebelum mendail talian kecemasan 911 untuk meminta bantuan perubatan serta pihak polis.

     Disebabkan kedudukan ladang yang terlalu terpencil dan sukar dicari, operator talian kecemasan mengalami kesukaran untuk mengesan lokasi tepat mereka. Rakaman panggilan 911 yang cemas itu menangkap suara bapa tersebut yang meraung ketakutan sambil menjerit bahawa lelaki yang menyerang anaknya itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan hampir mati. Apabila pasukan perubatan kecemasan serta pegawai polis akhirnya tiba di lokasi kejadian, Flores disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian dengan keadaan pakaian dan seluar dalamnya terlucut manakala ujian forensik mengesahkan bahawa kanak-kanak itu sememangnya telah menjadi mangsa penderaan fizikal dan seksual.

     Ekoran kematian Flores, Jabatan Polis Lavaca County bersama agensi siasatan berprestij, Texas Rangers, telah membuka kertas siasatan rasmi di bawah klasifikasi kes pembunuhan. Walaupun kes itu disiasat secara terperinci, bapa berkenaan tidak pernah ditangkap atau dipenjarakan oleh pihak polis sepanjang siasatan dijalankan. Pada 19 Jun 2012, kes tersebut dibawakan ke hadapan Juri Agung (Grand Jury) Lavaca County untuk menentukan sama ada bapa itu patut dihadapkan ke mahkamah atau sebaliknya.

     Setelah meneliti segala bukti forensik, kenyataan saksi serta laporan polis, pihak Juri Agung sebulat suara mengambil keputusan untuk tidak mengenakan sebarang pertuduhan ke atas bapa berkenaan. Mengikut peruntukan undang-undang Negeri Texas, mana-mana individu dibenarkan secara sah dari segi undang-undang untuk menggunakan daya maut bagi mempertahankan diri atau ahli keluarga daripada serangan jenayah berat terutamanya jenayah seksual ke atas kanak-kanak. Pihak berkuasa dan media juga mengambil keputusan tegas untuk merahsiakan identiti bapa tersebut secara berkekalan bagi melindungi maruah, privasi serta proses pemulihan trauma anak perempuannya. 

Catat Ulasan for "Apabila Seorang Bapa Bertindak: Keadilan di Sebuah Ladang Terpencil Texas"