Misteri Botol Air Beracun: Apabila Rakan Sekerja Menjadi Pembunuh Senyap

Kisah misteri ini bermula antara hujung tahun 2017 hingga awal tahun 2019. Rong Yuan, seorang saintis wanita yang berdedikasi di syarikat syarikat peralatan sains terkemuka, Berkeley Nucleonics Corporation yang terletak di Richmond, California mula mengalami penurunan tahap kesihatan yang sangat drastik dan aneh. Pada mulanya, dia sering mengadu mengalami simptom-simptom misteri seperti kesakitan fizikal yang mendalam pada anggota badan, kebas melampau, ruam pada kulit, muntah-muntah dan kelesuan otot yang amat teruk. Gejala-gejala ini bukan sahaja mengganggu prestasinya di pejabat malah menyebabkan Rong Yuanterpaksa berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Kesukaran untuk mengenal pasti punca penyakit Rong Yuan menjadi semakin rumit apabila beberapa ahli keluarga dan rakan rumahnya turut mula menunjukkan simptom keracunan yang serupa. Pihak perubatan mendapati bahawa punca jangkitan sekunder ini berlaku selepas mereka secara tidak sengaja terbilas atau mengambil baki air minum yang dibawa pulang oleh Rong Yuan dari tempat kerja. Rong Yuan juga mula menyedari bahawa setiap kali dia meninggalkan botol air minuman atau bekas makanannya di atas meja pejabat dan dalam peti ais premis berkenaan, cecair tersebut sering mengeluarkan bau yang sedikit pelik atau mempunyai rasa kimia yang aneh apabila diminum.

Syak wasangka yang semakin menebal mendorong Rong Yuan untuk mengambil langkah peribadi bagi mencari kebenaran. Dia telah menjalani ujian sampel darah dan cecair badan yang komprehensif di hospital. Hasil ujian toksikologi yang keluar ternyata amat mengejutkan apabila doktor mengesahkan kehadiran racun jenis tallium pada tahap berbahaya dan berpotensi membawa maut dalam sistem badannya. Tallium merupakan sejenis logam berat yang sangat toksik, tiada berbau, tiada rasa dan tiada warna apabila larut dalam cecair yakni ciri-ciri unik yang menyebabkannya digelar dalam dunia forensik sebagai The Poisoner's Poison kerana sukar dikesan tanpa ujian khas.
Berbekalkan pengetahuan bahawa dirinya sedang diracun di tempat kerja, Rong Yuan dengan senyap-senyap memasang kamera tersembunyi yang dihalakan tepat ke arah meja kerja dan bekas minumannnya di pejabat BNC. Strategi ini akhirnya membuahkan hasil. Rakaman video tersembunyi tersebut berjaya merakam perlakuan licik David Xu yang menghampiri meja Rong Yuan sewaktu mangsa tiada di situ lalu memasukkan serbuk racun kimia ke dalam botol air minum milik Rong Yuan (video di hujung artikel). Memandangkan David Xu merupakan seorang saintis di makmal tersebut, dia mempunyai akses mudah kepada bahan-bahan kimia berbahaya dan terhad berkenaan.

Pada Mac 2019, selepas bukti rakaman video dan laporan perubatan diserahkan kepada pihak berkuasa, pihak Polis Richmond telah menahan David Xu di tempat kerjanya. Dia telah dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai pertuduhan berat termasuk cubaan membunuh dan sengaja mendatangkan kecederaan parah dengan bahan beracun. Walaupun David Xu tidak pernah memberikan kenyataan terbuka secara terperinci mengenai motif utamanya, hasil siasatan mendalam pihak polis mengimbangi motif berkenaan kepada isu persaingan profesional yang tidak sihat, cemburu terhadap pencapaian kerjaya mangsa dan dendam peribadi yang dipendam di dalam persekitaran makmal.

Rentetan daripada proses perundangan yang berpanjangan, pada tahun 2021, David Xu akhirnya membuat pengakuan tidak bersalah tetapi tidak mencabar pertuduhan di Mahkamah Tinggi Superior Daerah Contra Costa. Atas pengakuan tersebut dan bukti yang tidak boleh disangkal, mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun terhadap David Xu di penjara negeri California.
Catat Ulasan for "Misteri Botol Air Beracun: Apabila Rakan Sekerja Menjadi Pembunuh Senyap"