Kisah Remaja 16 Tahun yang Meninggal Dunia Akibat Laporan Palsu di Jepun


     Kes ini adalah tentang seorang remaja perempuan berusia 16 tahun bernama Luna yang menderita akibat tekanan mental dan fizikal yang teruk selepas ditahan secara tidak wajar atas aduan palsu. Kejadian bermula pada 15 Februari 2025 di sebuah rumah kebajikan Orang Kurang Upaya (OKU) di wilayah Hyogo, Jepun yang diusahakan oleh ibu Luna sendiri. 

    Semasa majlis sambutan Hari Valentine sedang berlangsung, seorang pelatih di pusat berkenaan bertindak agresif sebelum cuba menggigit pelatih yang lain. Sebagai seorang staf sokongan yang bertanggungjawab, Luna bersama dua lagi kakitangan lelaki segera bertindak pantas untuk menahan dan meleraikan situasi tegang tersebut demi mengelakkan kecederaan lebih serius.

    Walau bagaimanapun, tindakan profesional itu disalah tafsir oleh seorang saksi di tempat kejadian yang mendakwa Luna bertindak kasar dan melakukan penderaan fizikal. Aduan telah dibuat kepada pihak perbandaran manakala ibu bapa kepada pelatih yang cuba menggigit itu turut membuat laporan polis. Pihak berkuasa bertindak atas aduan tersebut tanpa melakukan siasatan menyeluruh atau mendapatkan keterangan terperinci daripada saksi-saksi lain yang berada di lokasi kejadian pada waktu itu.


     Pada 17 Jun 2025, pihak polis Wilayah Hyogo telah menahan Luna bersama seorang lagi kakitangan lelaki di tempat kerja mereka. Selepas pendakwaan dibuat, pihak pendakwa raya memohon perintah tahanan reman berserta sekatan komunikasi yang ketat. Perintah ini melarang Luna daripada menemui atau berhubung dengan sesiapa pun kecuali peguam bela yang bermaksud remaja berusia 16 tahun itu diasingkan sepenuhnya daripada sokongan moral ibu bapanya.

    Semasa tempoh tahanan reman, Luna dilaporkan mengalami tekanan psikologi yang amat mendadak akibat kaedah soal siasat yang menekan. Catatan menyayat hati yang ditinggalkan oleh Luna di dalam buku notanya membuktikan betapa tertekannya dia apabila dituduh atas sesuatu yang tidak dilakukannya selain merayu supaya kebebasannya dikembalikan dan meluahkan kerinduan mendalam terhadap ibunya. Meskipun kesihatan mental dan fizikal Luna mula merosot dengan ketara termasuk hilang selera makan dan menunjukkan simptom sesak nafas, pihak mahkamah menolak permohonan untuk melonggarkan sekatan komunikasi selain melanjutkan tempoh tahanannya sebanyak dua kali lagi.

      Selepas 18 hari berdepan tekanan di dalam lokap, Luna akhirnya dibebaskan tanpa syarat pada 4 Julai 2025 selepas kertas siasatan diklasifikasikan sebagai kes disusuli keputusan tiada pendakwaan. Kepulangan Luna ke pangkuan keluarga tidak membawa kegembiraan tetapi sebaliknya membawa kejutan besar buat kedua ibu bapanya. Luna kembali dalam keadaan susut berat badan mendadak sehingga susuk tubuhnya kelihatan cengkung dan tulangnya menonjol.


     Luna kemudiannya didiagnosis mengalami tekanan selepas trauma (PTSD) yang teruk serta gangguan pemakanan melampau (nervous anorexia). Setiap hari, Luna hidup dalam ketakutan melampau, menjerit ketakutan dan tidak mahu berenggang dengan ibunya kerana trauma mendalam akibat penahanan tersebut. Segala usaha rawatan perubatan termasuk rujukan pakar dan kemasukan ke hospital gagal memulihkan keadaan fizikalnya. Pada 14 Disember 2025, Luna akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada usia 16 tahun akibat kekurangan zat makanan yang teruk dengan berat badan ketika itu merosot kepada hanya kira-kira 19 kilogram.

     Tiga bulan selepas pemergian Luna iaitu pada Mac 2026, individu yang menjadi punca kepada segala kekalutan ini tampil menemui ibu Luna untuk mengaku bersalah. Saksi berkenaan mengakui bahawa dia telah membesarkan-besarkan cerita dan membuat laporan yang tidak tepat serta memohon maaf secara bertulis kerana tuduhan mengangkat tangan itu sebenarnya tidak pernah berlaku.

     Berasa tidak puas hati dengan kegagalan sistem keadilan dan tindakan pihak berkuasa, ibu Luna mengambil tindakan undang-undang tegas pada Jun 2026 dengan memfailkan saman berjumlah kira-kira 110 juta yen terhadap kerajaan Jepun dan Wilayah Hyogo atas dakwaan penahanan tidak sah yang menyumbang kepada kematian anaknya. Perbicaraan pertama di Mahkamah Daerah Kobe pada Oktober 2026 menyaksikan pihak kerajaan serta Wilayah Hyogo mengambil pendirian untuk mencabar tuntutan tersebut. Pihak tersebut menafikan sebarang liabiliti undang-undang selain cuba mempertikaikan peranan keluarga dalam penjagaan Luna selepas dibebaskan.

Catat Ulasan for "Kisah Remaja 16 Tahun yang Meninggal Dunia Akibat Laporan Palsu di Jepun"