Mimpi Ngeri 'Trial Breakup': Kisah Pembunuhan Kejam Wenwin di Xi'an
Pada pagi Ahad, 23 November 2025 bertempat di sebuah pangsapuri kediaman lama di bandar Xi’an, Wilayah Shaanxi, China, seorang gadis muda berusia 22 tahun bernama Wenwin (nama samaran) telah menjadi mangsa pembunuhan kejam. Dia merupakan seorang graduan cemerlang dari Xi'an University of Finance and Economics yang baharu sahaja bergraduasi dan dijadualkan untuk memulakan kerjaya secara rasmi sebagai pegawai hubungan pelanggan di sebuah bank tempatan.
Kisah hitam ini bermula daripada hubungan cinta yang bertukar menjadi mimpi buruk. Wenwin dan teman lelakinya iaitu Jiang Yisa mula mengenali antara satu sama lain apabila pernah berada dalam kelas yang sama sewaktu di tingkatan satu sekolah menengah. Hubungan mereka kembali terjalin secara rasmi selepas bertemu semula dalam satu majlis perjumpaan semula pada penghujung tahun 2023. Walau bagaimanapun, kebahagiaan perhubungan itu tidak bertahan lama.
Seawal beberapa bulan pertama perhubungan jarak jauh mereka, Jiang Yisa mula menunjukkan tingkah laku mengongkong yang melampau. Dia sering campur tangan dalam hal pemakaian Wenwin selain mewajibkan panggilan video antara enam hingga delapan kali sehari untuk memeriksa persekitaran teman wanitanya itu. Jiang Yisa bahkan secara senyap memasang fungsi penjejak lokasi pada telefon Wenwin.

Keretakan hubungan tersebut mencapai kemuncaknya pada April 2025 apabila Jiang Yisa sendiri secara sinis mencadangkan perpisahan percubaan (trial breakup) untuk menguji sejauh mana Wenwin menyayanginya. Namun di luar jangkaan Jiang Yisa, Wenwin yang sudah lama tertekan dengan sikap pemarah dan cemburu buta itu bersetuju untuk memutuskan hubungan tersebut. Walaupun Jiang Yisa terkejut dan cuba memujuk semula melalui pelbagai cara seperti mengambil khidmat kaunseling hubungan berbayar dan mengutus album kenangan, Wenwin kekal berpendirian tegas untuk meneruskan kehidupannya sendiri. Kegagalan menerima kenyataan ini bertukar menjadi ketaksuban bahaya apabila Jiang Yisa mula mengekori dan mengintip pergerakan harian Wenwin serta ibunya selama lebih 10 hari, merekodkan waktu lampu dinyalakan, tirai dibuka serta jadual keluar masuk rumah.
,Pada pagi kejadian 23 November 2025 yakni selepas memastikan ibu Wenwin keluar bekerja, Jiang Yisa melancarkan rancangan jahatnya. Dia menyamar sebagai penghantar barang untuk memperdaya Wenwin supaya membuka pintu pangsapuri. Sebaik sahaja pintu dibuka sedikit, Jiang Yisa merempuh masuk secara paksa. Wenwin cuba mempertahankan diri dengan gigih namun tewas kepada kekuatan fizikal bekas teman lelakinya yang berbadan tegap. Jiang Yisa bertindak ganas menyerang dan memukul Wenwin berulang kali menggunakan kayu tebal berpaku yang telah disediakan di dalam beg galasnya.

Apabila Wenwin rebah, Jiang Yisa cuba memasukkan tubuh tubuh wanitanya itu ke dalam sebuah beg pakaian bersaiz 32 inci yang telah disembunyikan di laluan tangga. Apabila Wenwin sedar semula dan merayu untuk terus hidup, Jiang Yisa bertindak lebih kejam dengan meletakkan kayu pada leher Wenwin lalu berlutut di atasnya hingga menyebabkan Wenwin meninggal dunia di tempat kejadian.
Kejadian itu terbongkar apabila sepupu Wenwin yang dipinta oleh ibu Wenwin untuk memeriksa keadaan Wenwin tiba di pangsapuri tersebut. Selepas mendapati pintu ditahan dari dalam dan melihat kesan darah serta calar pada badan Jiang Yisa, sepupu Wenwin itu berpura-pura tenang sebelum bergegas keluar untuk menghubungi pihak polis. Walaupun Jiang Yisa sempat melarikan diri menggunakan kereta milik bapanya dan bersembunyi di sebuah rumah lama milik datuknya di kawasan luar bandar, kecekapan pihak polis Xi’an berjaya menjejaki dan menahannya pada malam hari yang sama kira-kira jam 8:15 malam.

Pada 13 Julai 2026, perbicaraan kes ini bermula secara rasmi di Mahkamah Rakyat Pertengahan Xi'an. Di dalam bilik mahkamah, Jiang Yisa cuba mempertahankan diri dengan mendakwa tindakan itu kononnya tidak disengajakan dan berpunca daripada emosi kawalan. Pihak pendakwaan bagaimanapun mengemukakan bukti kukuh seperti rekod nota pengintipan, pencarian maklumat cara memukul orang sehingga pengsan di internet serta penyediaan senjata berpaku yang membuktikan kes pembunuhan ini telah dirancang dengan rapi. Akhirnya pada 12 Ogos 2026, mahkamah menolak sebarang rayuan keringanan sebelum menjatuhkan hukuman mati ke atas Jiang Yisa atas kesalahan membunuh dengan niat sekali gus memberi keadilan mutlak buat mendiang Wenwin dan keluarganya.

Catat Ulasan for "Mimpi Ngeri 'Trial Breakup': Kisah Pembunuhan Kejam Wenwin di Xi'an"