Darah, Dendam dan Hidangan Ngeri: Kisah Hitam Menantu Bunuh Mentua

Pada penghujung tahun 1990-an, Pekan Yangma yang terletak di Bandar Jianyang, Wilayah Sichuan, China masih merupakan sebuah kawasan luar bandar dengan taraf ekonomi yang mundur. Seperti kebanyakan perkampungan lain di China pada era tersebut, ramai golongan muda terpaksa berhijrah ke bandar besar untuk mencari rezeki, meninggalkan warga emas dan anak-anak kecil di kampung. Di sinilah tinggalnya seorang wanita warga emas berusia 68 tahun bernama Wan Weizhen. Anak-anaknya sudah dewasa dan bekerja di perantauan termasuk anak sulungnya, Xiong Zhi. Akibatnya, Wan Weizhen tinggal bersama menantunya, Zeng Yangqiong serta seorang cucu perempuan yang masih kecil.
Hubungan kekeluargaan di bawah satu bumbung itu bagaimanapun tidak pernah harmoni. Sejak Zeng Yangqiong berkahwin dengan Xiong Zhi pada tahun 1997, dia mendapati ibu mentuanya sukar untuk dibawa berbincang dan sering mencari kesalahan dalam urusan rumah tangga yakni daripada soal kerja rumah sehinggalah cara memasak. Keadaan menjadi semakin tegang apabila Zeng Yangqiong melahirkan seorang anak perempuan. Wan Weizhen yang sangat mendambakan cucu lelaki sering menyindir dan menghina menantunya kerana gagal memberikan pewaris lelaki kepada keluarga Xiong.
Selain pertengkaran mulut yang kerap berlaku, perselisihan faham mereka kadangkala melarat hingga ke pergelutan fizikal. Apa yang lebih menyakitkan hati Zeng Yangqiong adalah sikap suaminya yang jarang pulang ke kampung dan sentiasa menyebelahi ibunya setiap kali aduan dibuat selain pernah memukulnya kerana mempercayai kata-kata ibunya.
![]() |
| Gambar sekadar hiasan (Janaan AI) |
Kemuncak kepada konflik ini berlaku pada malam 4 Mei 1999. Ketika itu, Zeng Yangqiong sedang bertungkus-lumus memujuk anak perempuannya yang menangis tanpa henti di dalam bilik. Sebaik sahaja kanak-kanak itu mula tenang, Wan Weizhen masuk ke dalam bilik tersebut dan mula memarahi menantunya, menuduhnya tidak pandai menjaga anak hingga menyebabkan bayi itu sentiasa meragam. Zeng Yangqiong yang sudah keletihan hilang sabar dan mula menjawab kata-kata ibu mentuanya. Pertikaman lidah yang semakin lantang itu mengejutkan semula bayi tersebut sehingga dia kembali menangis dengan kuat. Emosi kedua-dua wanita itu meledak lalu bertukar menjadi pergelutan fizikal.
Menurut pengakuan Zeng Yangqiong, ibu mentuanya yang memulakan serangan fizikal sebelum dia bertindak membalasnya. Memandangkan Wan Weizhen sudah berusia 68 tahun dan kudratnya tidak sekuat menantunya, warga emas itu tewas dan cuba melarikan diri keluar dari rumah sambil menjerit meminta tolong. Bimbang jeritan itu didengari jiran tetangga, Zeng Yangqiong mengejar dan menolak ibu mentuanya sehingga jatuh tersembam sebelum mencekik leher mangsa dengan kuat sehingga wanita tua itu tidak lagi bergerak.
Hasil siasatan mendapati mangsa sebenarnya belum lagi menghembuskan nafas terakhir ketika itu. Namun kerana ketakutan ibu mentuanya akan tersedar dan mengadukan hal tersebut kepada suaminya, Zeng Yangqiong bertindak mengambil sebatang penyodok tanah di halaman rumah lalu memukul mangsa bertubi-tubi sehingga disahkan meninggal dunia.

Dalam keadaan panik untuk menutup jejak pembunuhan sebelum suaminya pulang, Zeng Yangqiong mengambil keputusan yang amat kejam. Dia mengambil pisau pemotong daging dari dapur dan mengerat mayat ibu mentuanya kepada beberapa bahagian. Sebahagian besar keratan tubuh itu dibawa secara senyap-senyap ke kebun sayur milik keluarga mereka yang terletak berhampiran sungai lalu ditanam di situ. Sebahagian lagi dibuang dan diberikan kepada haiwan ternakan, manakala sebahagian daging mangsa disimpan di dapur. Setelah membersihkan kesan darah dan menyembunyikan bukti, dia berkelakuan seperti biasa seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Keesokan harinya, Zeng Yangqiong memulakan sandiwaranya dengan mendukung anaknya keluar rumah dan bertanya kepada jiran-jiran sekiranya mereka ada ternampak kelibat ibu mentuanya. Penduduk kampung yang menyangka warga emas itu tersesat atau terjatuh ke dalam sungai turut keluar membantu mencari sehingga ke malam. Apabila pencarian gagal, Zeng Yangqiong menghubungi suaminya untuk memaklumkan bahawa ibu mereka telah hilang. Mendengar berita itu, Xiong Zhi bersama adik-beradiknya yang lain segera mengambil cuti dan bergegas pulang ke kampung untuk menyertai operasi mencari ibu mereka.
![]() |
| Gambar sekadar hiasan (Janaan AI) |
Setelah seharian penat meredah kampung tanpa sebarang petunjuk, adik-beradik keluarga Xiong pulang ke rumah pada waktu petang dalam keadaan lesu dan kelaparan. Sebaik melangkah masuk, mereka terhidu bau masakan daging yang semerbak dari dapur. Memandangkan keluarga mereka hidup dalam kemiskinan dan jarang sekali dapat menikmati hidangan daging melainkan pada musim perayaan, Xiong Zhi berasa hairan melihat isterinya memasak seperiuk besar sup daging. Zeng Yangqiong dengan tenang menjelaskan bahawa daging itu baru sahaja dihantar oleh keluarga sebelah ibunya dan dia sengaja memasaknya agar suami serta ipar-duainya dapat makan sehingga kenyang selepas penat mencari ibu mereka. Tanpa mengesyaki sebarang muslihat, kesemua adik-beradik itu menjamu selera dengan berselera sekali walaupun ada antara mereka yang perasan daging tersebut mempunyai bau dan rasa yang agak ganjil. Sementara itu, Zeng Yangqiong langsung tidak menyentuh hidangan tersebut dengan alasan bau sup itu agak hangit.
Kebenaran yang mengerikan itu akhirnya terbongkar pada keesokan paginya apabila operasi mencari diteruskan. Ketika melalui kawasan kebun sayur keluarga mereka berhampiran sungai, Xiong Zhi terpandang sebahagian tanah di situ kelihatan gembur, berbeza warna dan seolah-olah baru sahaja digali. Dilanda firasat yang tidak enak, dia memanggil adik-beradiknya untuk menggali kawasan tanah tersebut. Tidak lama kemudian, mereka tergamam apabila menemui keratan anggota badan manusia yang ditanam di situ. Pemeriksaan lanjut mengesahkan bahawa mayat yang dikerat itu adalah ibu kandung mereka sendiri, Wan Weizhen.

Pihak polis yang dipanggil ke lokasi kejadian segera mengepung kawasan tersebut dan menjalankan siasatan. Berdasarkan maklumat penduduk kampung mengenai pertelingkahan berterusan antara mangsa dan menantunya, pihak polis menahan Zeng Yangqiong untuk disoal siasat. Akhirnya, Zeng Yangqiong mengaku membunuh ibu mentuanya serta mendedahkan nasib sebenar bahagian daging yang telah dimasak menjadi sup pada malam sebelumnya. Pengakuan tersebut menyebabkan suami dan adik-beradik keluarga Xiong rebah dan mengalami trauma mental yang amat dahsyat apabila menyedari mereka telah memakan daging ibu kandung mereka sendiri.
Lebih mengejutkan yakni semasa perbicaraan, Zeng Yangqiong tidak menunjukkan sebarang rasa kesal dan mendakwa dia bertindak demikian kerana sudah tidak tahan didera secara emosi, malah mengaku memasak daging tersebut semata-mata kerana keluarga mereka sudah terlalu lama tidak makan daging. Atas kekejaman melampau yang dilakukannya, mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadap Zeng Yangqiong.


Catat Ulasan for "Darah, Dendam dan Hidangan Ngeri: Kisah Hitam Menantu Bunuh Mentua"