Kisah Sisi Gelap Vic Zhou yang Mungkin Ramai Tidak Tahu

Dunia hiburan Asia pada awal tahun 2000-an pernah dilanda fenomena luar biasa penangan drama bersiri Taiwan, Meteor Garden. Fenomena budaya pop ini mengangkat empat anak muda kepada status bintang terkenal melalui kumpulan vokal sensasi mereka, F4. Di antara barisan anggota yang dikejar peminat, Vic Chou atau lebih dikenali sebagai Zai Zai sering kali diletakkan di tempat teratas dari segi raut wajah yang paling sukar dilupakan.
Lahir pada 9 Jun 1981 di Yilan, Taiwan, Vic Chou dibesarkan di sebuah bandar pelabuhan yang tenang dan jauh daripada hiruk-pikuk kota besar Taipei. Ketenangan itu bagaimanapun tidak menggambarkan situasi keluarganya. Ketika Vic masih di peringkat sekolah rendah, kedua ibu bapanya mengambil keputusan untuk bercerai. Ibunya berpindah keluar manakala Vic dan abangnya tinggal bersama bapa mereka yang bekerja keras setiap hari demi menyara keluarga. Ketiadaan sosok ibu dan rumah yang sering kosong membentuk perwatakan Vic menjadi seorang yang suka menyendiri.
Cita-cita Vic pada zaman remajanya sangat sederhana di mana dia hanya mahu lulus, mendapatkan sijil kemahiran, bekerja sebagai mekanik atau juruteknik di bengkel tempatan. Vic mahu menjalani kehidupan yang tenang tanpa gangguan sesiapa. Namun takdir menentukan jalan yang sama sekali berbeza.

Pada tahun 2000 yakni ketika usianya 19 tahun, Vic menemani seorang rakan menghadiri ujibakat drama televisyen di Taipei kerana rakannya takut pergi sendirian. Sewaktu menunggu di sudut koridor bangunan, nasib mempertemukannya dengan penerbit terkenal, Angie Chai yang sedang buntu mencari pelakon terakhir untuk memegang watak Hua Lei dalam Meteor Garden iaitu seorang pemuda kaya yang pendiam, misteri dan sukar dijangka. Melihat Vic yang duduk menyendiri dengan gaya penampilan unik, Angie Chai yakin bahawa dia telah menemui individu yang tepat. Biarpun pada mulanya Vic menolak kerana merasa rendah diri serta tidak mempunyai bakat lakonan, desakan dan bimbingan pihak produksi akhirnya mengubah pendiriannya.
Apabila Meteor Garden ditayangkan pada tahun 2001, impaknya melanda seluruh Asia termasuk Malaysia, Indonesia, Filipina dan tanah besar China. Kumpulan F4 diangkat menjadi selebriti popular. Album mereka terjual jutaan salinan manakala konsert jelajah antarabangsa menarik puluhan ribu penonton di setiap stadium. Bagi Vic, pencapaian luar biasa ini membawa erti bahawa hidupnya bukan lagi milik peribadi.

Kehilangan privasi menjadi harga mahal yang perlu dibayar. Ke mana sahaja Vic pergi, peminat dan pihak media mengerumuninya. Rutin harian bertukar menjadi jadual kerja tanpa henti dari pagi hingga malam. Di sebalik kemasyhuran itu, Vic mula mengalami krisis identiti yang mendalam. Tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna sebagai Hua Lei membuatkan dia berasa terasing. Setiap kali konsert besar melabuhkan tirai, Vic mempunyai tabiat mengurung diri di dalam bilik hotel yang gelap. Dia pernah berada di titik terendah apabila terfikir mahu melepaskan nama besar "Vic Chou" kerana berasa jutaan orang mengenali wajahnya tetapi hampir tiada siapa yang mengenali siapa dirinya yang sebenar.
Di tengah kesepian dan rasa terasing itu, kehadiran pelakon Barbie Hsu memberikan sedikit kestabilan emosi. Mereka mula rapat ketika sama-sama membintangi siri psikologi Mars pada tahun 2004 sebelum hubungan kerja itu menjadi serius. Namun tekanan media yang berterusan serta perbezaan hala tuju hidup di mana Barbie sudah bersedia untuk membina rumah tangga manakala Vic yang berusia 26 tahun mahu memberi fokus kepada kerjaya akhirnya membawa kepada perpisahan secara baik pada awal tahun 2008.

Menyedari bahawa imej Flower Boy atau pelakon berwajah kormesial tidak akan bertahan lama, Vic mengambil langkah berani. Dia mula menolak tawaran lumayan yang hanya mempertaruhkan rupa paras fizikal. Vic menukar haluan memilih watak-watak yang berat dan mencabar dari segi emosi. Pertaruhan ini membuahkan hasil apabila dia membintangi siri aksi Black and White pada tahun 2009 dan seterusnya watak doktor tentera yang tertekan dalam drama Home pada tahun 2012. Pengorbanannya menguruskan badan secara drastik dan mengasingkan diri demi mendalami watak terbayar apabila Vic Chou dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Golden Bell Awards ke-48 pada Oktober 2013.
Dari sudut peribadi, Vic mula mengamalkan sikap menjaga ketat privasi selepas berkenalan dengan pelakon Reen Yu semasa penggambaran Black and White. Pada 10 November 2015, mereka mengumumkan perkahwinan secara ringkas. Walaupun sempat berdepan sedikit ujian fitnah luar pada awal tahun 2016, ketenangan yang dicari akhirnya menjelma apabila puteri sulung mereka lahir pada Ogos tahun yang sama. Kehadiran cahaya mata mengubah keutamaan hidup Vic di mana dia lebih selesa membatasi kerjaya seni demi mengutamakan tanggungjawab sebagai seorang bapa di rumah.

Meskipun pernah berdepan dugaan lain termasuk kes penipuan kewangan yang melibatkan ejen terdekat pada tahun 2021 serta duka peribadi akibat pemergian bekas kekasihnya, Barbie Hsu pada awal tahun 2025 yang meninggalkan kesan mendalam, Vic Chou kini berdiri dengan penuh kematangan. Dua dekad setengah selepas era Meteor Garden, dia tidak lagi mengejar pengesahan atau tepukan gemuruh daripada khalayak kerana telah menemui keharmonian hidup di sisi keluarga tercinta dan kedamaian jiwa yang sekian lama dicari.
Catat Ulasan for "Kisah Sisi Gelap Vic Zhou yang Mungkin Ramai Tidak Tahu"