Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH ELISABETH FRITZL : Dikurung Bapa Kandung Sendiri Selama 24 Tahun.


Elisabeth Fritzl

    Semua kanak-kanak pastinya mendambakan perhatian dan belaian kasih sayang daripada seorang bapa. Insan yang bergelar bapa adalah lelaki pertama yang harus menjadi perisai dalam hidup anak perempuannya. Namun, semua itu tidak pernah dikecapi oleh seorang wanita bernama Elisabeth Fritzl. Separuh usia dari kehidupannya terpaksa dilalui dengan hari-hari yang penuh kegelapan. Satu detik yang tidak pernah diinginkan pun oleh mana-mana wanita. Selama 24 tahun, cuma ada istilah penantian itu satu penyeksaan dalam kamus hidup Elisabeth. 

    Elisabeth Fritzl yang dilahirkan pada 6 April 1966 telah dicabul oleh bapa kandungnya sendiri iaitu Josef Fritzl sejak dari usianya 11 tahun. Pada tahun 1993, Elisabeth pernah cuba melarikan diri dengan bersembunyi di rumah kawannya. Walau bagaimanapun, dia yang berjaya ditemui semula oleh pihak polis telah dihantar pulang semula ke rumahnya.

Josef Fritzl

    Kisah nasib malang Elisabeth ini bermula pada 28 Ogos 1984. Pada hari itu, Josef yang sedang berada di bilik bawah tanah telah memanggil Elisabeth untuk membantunya mengangkat pintu. Elisabeth kemudian telah dipengsankan oleh Josef. Elisabeth dibiar dan dikurung secara berterusan di dalam bilik bawah tanah tersebut yang Josef telah siap ubahsuai menjadi bilik kurungan. 

    Isteri Josef iaitu Rosemarie kemudian berasa bimbang selepas langsung tidak melihat Elisabeth untuk satu tempoh masa yang lama. Pihak polis yang mengambil maklum akan perkara tersebut telah  melakukan operi pencarian. Namun, Josef yang bertopengkan syaitan begitu licik untuk memanipulasikan keadaan. Dia menyerahkan sepucuk surat kepada pihak polis yang kononnya ditulis oleh Elisabeth sendiri. Isi kandungan surat itu memberitahu bahawa Elisabeth yang inginkan kebebasan meminta semua pihak agar berhenti untuk mencarinya. Bahkan Josef juga telah melakukan pembohongan terhadap polis dengan mendakwa Elisabeth berkemungkinan menyertai ajaran kultus.


    Elisabeth seterusnya menjadi tempat Josef untuk melempaskan nafsu binatangnya. Bayangkan, Elisabeth telah dirogol setiap hari. 

    Pada mata Rosemarie, suaminya itu adalah seorang bapa yang sangat bertanggungjawab dan komited dalam melakukan pekerjaan demi menyara kehidupan serta menjamin kebahagiaan keluarga mereka. Disebabkan itu, tiada seorang yang menyedari bahawa Josef sendiri sebenarnya adalah dalang penculikan Elisabeth. 


    Sementara itu, dunia Elisabeth terus kekal menjadi gelap gelita. Hari demi hari berlalu penuh dengan sengsara derita. Lima tahun pertama penculikannya, dia tidak pernah bercakap dengan sesiapapun melainkan Josef sendiri. Malah Elisabeth juga pernah mengalami keguguran pada tahun kedua penculikannya.

    Sepanjang 24 tahun penculikannya, Elisabeth telah bersalin selama tujuh kali tanpa dikelilingi oleh jururawat mahupun doktor. Sebarang komplikasi terpaksa ditanggungnya seorang diri. Daripada tujuh kelahiran tersebut, hanya seorang bayi sahaja yang tidak dapat diselamatkan. Tiga dijaga oleh Elisabeth sendiri, manakala bakinya pula dijaga oleh Josef.

    Bagi mengelakkan sebarang keraguan terhadap dirinya, Josef sekali lagi telah memanipulasikan keadaan. Kali ini Josef mendakwa bahawa bayi jagaannya itu adalah  bayi peninggalan Elisabeth. Josef turut melampirkan sekali surat yang kononnya ditulis oleh Elisabeth sendiri yang mendakwa tidak mampu untuk menyara anak-anaknya itu. Penipuan Josef itu sekaligus bukan sahaja berjaya mengaburi mata anggota keluarganya bahkan juga pekerja kebajikan.

Bilik bawah tanah yang dijadikan sebagai tempat kurungan Elisabeth

    Tahun demi tahun berlalu, Elisabeth tinggal di bilik kurungan itu bersama tiga orang anaknya iaitu Kerstin, Stefan, dan Felix dengan keadaan yang daif lagi serba kekurangan. Pada saat sukar sedemikian, Elisabeth tetap menggalas tanggungjawabnya sebagai seorang ibu yang baik dan penyayang. Ketiga-tiga orang anaknya itu diajar untuk menulis dan membaca. Namun pada masa yang sama, pergerakan mereka berempat sentiasa dikawal ketat oleh Josef. Elisabeth sentiasa diancam dan diugut dengan bermacam perkara oleh Josef jika mempunyai niat untuk melarikan diri. Lagi sadis, Elisabeth turut dipaksa untuk menonton video lucah selain diperkosa di depan mata anaknya sendiri.

    Hinggalah 19 April 2008, Kerstin telah jatuh sakit. Elisabeth kemudian merayu kepada Josef untuk membawa anaknya itu ke hospital. Selepas berfikir panjang, Josef pun bersetuju dan bertindak untuk menelefon ambulans. 

    Pada masa ini, Josef sudah mula tidak tentu arah. Dia bagaikan cacing kepanasan kerana bimbang perbuatan terkutuknya selama ini akan terbongkar. Josef kemudian melakukan satu pembohongan kepada pihak hospital dengan mendakwa bahawa dia terjumpa sekeping nota milik ibu Krestin. Kakitangan hospital yang berasa curiga dengan dakwaan Josef bertindak memaklumkan perkara tersebut kepada pihak polis. Selepas sesi soal siasat dijalan, pihak polis mendapati begitu banyak kenyataan Josef yang  begitu meragukan. Disebabkan itu, mereka pun membuka semula kertas siasatan kes kehilangan Elisabeth Fritzl. 

    Akibat terlalu risau dirinya akan ditangkap, maka Josef pun membebaskan Elisabeth untuk dibawa ke hospital bagi berjumpa dengan Krestin. Itu adalah kali pertama Elisabeth melihat dunia luar selepas 24 tahun hidup dalam kurungan. 

    Bagaimanapun, percaturan Josef itu ternyata telah memakan dirinya sendiri. Elisabeth yang ditahan oleh pihak berkuasa seterusnya dibawa ke balai polis. Sewaktu sesi soal siasat, Elisabeth pada mulanya enggan untuk membuka mulut. Selepas diyakinkan bahawa dia tidak lagi akan berjumpa dengan bapanya, Elisabeth akhirnya menceritakan perkara yang sebenar. 


    Sejurus selepas pendedahan Elisabeth tersebut, Josef pun ditahan dengan serta merta. Perbicaraan demi perbicaraan, Josef yang didapati bersalah telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Sementara itu, Elisabeth pula diberikan satu identiti baru dan ditempatkan di kawasan penempatan rahsia bagi mengelakkan stigma negatif masyarakat.

Catat Ulasan for "KISAH ELISABETH FRITZL : Dikurung Bapa Kandung Sendiri Selama 24 Tahun."