Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN SAMUEL DAN JULIE - Bunuh Kawan Sendiri Demi Perkahwinan Mewah

 

Julie dan Sam

    Pada tahun 2010, Juri "Julie" Kibuishi iaitu seorang pelajar kolej wanita berusia 23 tahun yang mempunyai bakat besar dalam bidang tarian. Dia yang berperwatakan tomboi juga dikatakan seorang yang sangat baik, mendengar kata, bersemangat juang tinggi dan begitu disenangi oleh rakan-rakan di sekeliling. 

    Sementara itu, Samuel ("Sam") Herr yang berusia 26 tahun pula merupakan bekas seorang anggota tentera tempur Amerika Syarikat yang pernah berkhidmat di Afghanistan. Dia seorang yang sangat matang dan agak terserlah ketampanannya. Mukanya itu ada iras seperti seorang pelakon terkenal iaitu Bradley Cooper. 

    Sam dan Julie yang berkawan rapat sama-sama belajar di satu kolej. Rapatnya hubungan mereka berdua itu bagaikan pasangan adik beradik

Lokasi Kejadian

    Pada satu hari, ayah Sam iaitu Steve telah berasa risau selepas seharian gagal untuk menghubungi Sam. Steve agak pelik dengan situasi tersebut memandangkan dia tahu bahawa Sam bukanlah seorang yang suka mematikan telefonnya sembarangan. Disebabkan itu, Steve pun membuat keputusan untuk pergi sendiri ke apartment Sam bagi memeriksa keadaan. Sebaik masuk ke dalam apartment tersebut, Steve berasa terkejut selepas melihat sekujur tubuh badan terbaring di atas katil dalam keadaan berlumuran darah. Apabila diperiksa, mayat itu rupa-rupanya adalah Julie.

    Pihak polis yang tiba di lokasi kemudiannya mendapati Julie telah ditembak pada bahagian kepalanya yang memakai tiara. Bajunya yang koyak menandakan ada tanda-tanda serangan seksual. Pada bahagian belakang jaket Julie juga terdapat satu contengan bertulis

    "F*xx all yours". 

    Selain daripada passport dan kereta Sam yang hilang, tiada tanda unsur jenayah lain dikesan seperti tanda pergelutan mahupun kehilangan barangan berharga. Kad jemputan perkahwinan milik jiran apartment yang juga merupakan kawan baik Sam iaitu Daniel Wozniak tersusun kemas di atas meja. Perkara ini bermaksud pembunuhan tersebut bukan bermotifkan rompakan.


    Cumanya ada satu cerita yang menyedihkan. Sewaktu polis sedang sibuk memeriksa apartment Sam itu, nada muzik mesej telefon Julie tidak berhenti-henti berdering. Semua mesej tersebut dihantar oleh ibu Julie memandangkan Julie tidak membalas sebarang mesej untuk satu tempoh yang lama. Berkenaan dengan Sam, dia yang gagal dikesan telah dikhuatiri melarikan diri. Jadi, timbul teori awal bahawa Sam merupakan suspek utama dalam kes pembunuhan Julie. Berkemungkinan pada waktu kejadian, Julie telah diserang serta dibunuh oleh Sam yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah. Lagi menguatkan teori, Sam ada mengidapi penyakit PSTD (posstraumatic stress disorder) dan turut mempunyai rekod jenayah atas tuduhan percubaaan membunuh.

    Berdasarkan pemeriksaan pada telefon Julie mendapati Sam ada menghantar mesej pada waktu kejadian di mana ketika itu Julie sedang makan malam di luar untuk berbincang tentang majlis perkahwinan abangnya. Mesej pertama Sam memberitahu bahawa dia sedang membantu Daniel Wozniak menguruskan majlis perkahwinannya. Kira-kira dua jam kemudian, Julie menerima satu lagi mesej daripada Sam yang mengajaknya untuk berjumpa di apartment. Kata Sam, ada sesuatu yang ingin dibincangkan. Demi sebuah persahabatan, Julie pun bersetuju untuk pergi berjumpa dengan Sam sebelum akhirnya dibunuh. 

    Lokasi Sam terus menjadi persoalan. Pada masa sama, Steve menjalankan siasatannya yang tersendiri. Dia memberi teori awal kepada pihak polis bahawa berkemungkinan Sam telah diculik. Pada mulanya, polis tidak memgendahkan kenyataan Steve itu ekoran beranggapan Steve sedang cuba untuk melindungi Sam. Namun selepas Steve mengemukakan kertas siasatannya, barulah polis mula membuka mata. 

    Teori Steve tersebut ternyata ada logiknya. Menerusi siasatan yang dijalankan Steve mendapati terdapat aktiviti mencurigakan pada kad debit bank Sam iaitu berlaku kekerapan pengeluaran duit akaun anaknya itu melalui mesin atm.

Investigation Discovery
    Hasil risikan pihak polis akhirnya berjaya mengenalpasti identiti suspek yang mengeluarkan duit milik Sam. Suspek itu dikenali sebagai Wesley Freilich iaitu seorang remaja lelaki yang baru berusia 16 tahun.

    Selepas berjaya menjejaki alamat rumah Wesley, maka pihak polis pun melakukan operasi serbuan besar-besaran yang melibatkan sebuah helikopter dan pasukan SWAT. Wesley yang terkejut dengan serbuan itu hanya mampu untuk terpinga-pinga. Bagaimanapun, Sam masih gagal untuk dikesan. 

    Di sini berlakunya satu lagi plot twist. Wesley sebenarnya hanyalah budak suruhan kepada kawan ibunya untuk mengeluarkan wang simpanan Sam. Upah Wesley untuk melakukan kerja-kerja pengeluaran wang pada mesim atm tersebut adalah makanan Pizza. Jelas dalam perkara ini, Wesley sememangnya langsung tidak bersalah. Dia hanyalah budak naif yang menjadi mangsa keadaan.

Daniel Wozniak
    Individu yang menyuruh Wesley itu adalah Daniel Wozniak merangkap kawan baik dan jiran apartment kepada Sam. Jadi, Daniel pun ditahan. Dia yang merupakan seorang pelakon teater dilaporkan mempunyai masalah kewangan yang begitu teruk. Terdapat juga laporan yang mengatakan Daniel sanggup meminjam duit wang merata-rata bagi menanggung kos majlis perkahwinan dan bulan madu bersama tunangnya iaitu Rachel Buffet. 

    Sewaktu sesi soal siasat, Daniel pada mula menafikan sebarang penglibatannya dalam kes pembunuhan Julie. Ini termasuklah tentang kehilangan Sam. Selepas diberi tekanan oleh pihak polis secara berterusan, akhirnya Daniel membuat pengakuan tentang pembunuhannya terhadap Sam dan Julie yang bermotifkan wang. Dia yang kesempitan wang untuk berkahwin telah mengetahui tentang wang simpanan Sam. Bagi merencanakan niat jahat itu, Daniel telah mengumpan Sam untuk pergi ke teater tempatnya berlakon. Di situ, Sam ditembak sebanyak dua kali iaitu pada bahagian kepala serta badan. Kepala dan tangan Sam yang dikerat kemudiannya telah disimpan di dalam loteng teater manakala baki lagi anggota badan lain pula ditanam di lokasi yang berasingan.

    Selepas membunuh Sam, maka Daniel menjadikan Julie sebagai mangsa seterusnya. Daniel lah individu sebenar yang menghantar mesej kepada Julie menggunakan telefon Sam pada malam kejadian. Julie dibunuh Daniel bagi membolehkan siasatan menjurus kepada Sam sebagai suspek utama. 

    Menerusi perbicaraan mahkamah, Daniel pada awalnya membuat pengakuan tidak bersalah. Namun demi keadilan mangsa, pihak juri tetap memutuskan bahawa Daniel didapati bersalah atas dua kesalahan membunuh. Susulan sabitan itu, Daniel telah dijatuhkan hukuman mati pada bulan September 2016.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN SAMUEL DAN JULIE - Bunuh Kawan Sendiri Demi Perkahwinan Mewah"