Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN MADDIE CLIFTON : Kenapa Joshua bunuh Maddie?


    Pada 3 November 1998, seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun iaitu Maddie Clifton telah dilaporkan hilang selepas dia keluar dari rumahnya untuk pergi bermain. Sejurus selepas kehilangan Maddie itu, pihak berkuasa tidak mengambil masa lama untuk menahan seorang lelaki yang tinggal di kawasan berdekatan di mana dia mempunyai dua rekod penangkapan atas kesalahan jenayah seksual pada masa lampau. Biarpun lelaki tersebut gagal dalam ujian pengesanan penipuan, dia telah dibebaskan keranan mempunyai alibi sangat kukuh sewaktu hari kejadian. Pada masa sama, ribuan sukarelawan menyertai operasi pencarian Maddie yang dijalankan secara besar-besaran. 

    Hanya selepas seminggu kemudian, mayat Maddie telah ditemui oleh seorang wanita bernama Melissa di bawah tilam bilik tidur anak lelakinya yang berusia 14 tahun iaitu Joshua Phillips. Melissa menemui mayat Maddie itu selepas terhidu bau busuk sewaktu mengemas bilik Joshua. Tanpa berlengah, Melissa kemudian segera memaklumkan penemuan tersebut kepada pihak polis.

    Joshua Philips yang ditahan serta merta oleh pihak polis akhirnya telah membuat pengakuan melakukan pembunuhan terhadap Maddie. Perkara itu ternyata begitu mengejutkan ramai pihak memandangkan dia bukanlah seorang remaja yang bermasalah. Menurut keterangan Joshua, pada hari kejadian Maddie telah pergi ke rumahnya untuk mengajak bermain besbol. Sewaktu sedang bermain, bola besbol yang dipukul oleh Joshua telah terkena secara tidak sengaja pada bahagian mata Maddie. Melihat Maddie tidak berhenti-henti menangis, Joshua menjadi panik kerana bimbang akan dimarahi oleh bapanya. Bapa Joshua bukan saja seorang yang bengis, malah merupakan kaki alkohol dan juga penagih dadah tegar. Selain itu, Joshua tidak dibenarkan untuk bermain di luar rumah dengan sesiapa pun tanpa kebenaran kedua-dua orang tuanya. Jadi sebelum bapanya pulang, Joshua bertindak mengheret Maddie untuk masuk ke dalam bilik tidurnya. Maddie seterusnya dicekik menggunakan wayar telefon, dipukul dengan kayu besbol dan akhirnya ditikam sebanyak 11 kali iaitu 9 tikaman di badan dan dua lagi di leher. Bagi menghilangkan sebarang masalah bau, Joshua telah menggunakan wangian penyegar udara sebagai kaedah penyelesaian sementara. Seperkara lagi yang perlu diketahui, mayat Maddie ditemui dalam keadaan bertelanjang dari paras pinggang hingga kaki. Walau bagaimanapun, tiada sebarang tanda serangan seksual yang dapat dikesan. Cumanya terdapat laporan yang menyatakan bahawa Joshua ada melayari laman web lucah pada waktu sebelum dan selepas pembunuhan. 

    Berkenaan dengan ibu bapa Joshua, mereka berdua dilaporkan bercerai selepas 25 tahun mendirikan rumah tangga. Bapa Joshua meninggal dunia pada tahun 2000 akibat kemalangan jalan raya. Menerusi perbicaraan kes, Joshua yang dibicarakan sebagai orang dewasa telah didapati bersalah lalu dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa sebarang kemungkinan parol. Pada tahun 2017, Joshua yang berasa menyesal atas perbuatan kejamnya itu diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara seumur hidup buat kali kedua. Bahkan hingga pada hari ini, Joshua sendiri tidak tahu mengapa dia telah bertindak di luar kawalan sewaktu hari kejadian.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN MADDIE CLIFTON : Kenapa Joshua bunuh Maddie?"