Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH JOHN LIST : Pembunuhan Sekeluarga yang Hampir Sempurna

    John List dikatakan seorang anak, seorang suami dan juga seorang bapa yang baik terhadap keluarganya. Namun di sebalik tabir kehidupannya, John merupakan seorang pembunuh yang cukup menggerunkan. Pada tahun 1971, dia telah membunuh ibu, isteri dan tiga orang anaknya di rumah agam mewah mereka sebelum berjaya menghilangkan diri untuk tempoh lebih dari sedekad. 18 tahun menyembunyikan diri, John berjaya ditangkap jua sejurus selepas kes pembunuhan keluarganya disiarkan menerusi rancangan televisyen popular iaitu America’s Most Wanted.

    Menyingkap tentang sejarah hidup John, dia mula berkenalan dengan seorang janda yang bernama Helen pada waktu selepas tamat pengajian kolejnya. Tidak lama selepas perkenalan itu, Helen mendakwa bahawa dia telah menghamilkan anak John. Enggan lepas tangan, maka John sebagai penganut Luteran membuat keputusan untuk mengahwini Helen. Namun, John kemudian berasa tertipu selepas Helen membuat pengakuan tentang kehamilannya sebelum ini hanyalah satu penipuan. Biarpun berasa kecewa dengan perkara tersebut, John telah bertindak untuk terus mempertahankan rumah tangga mereka. Kesudahannya, John dan Helen mempunyai tiga orang anak bersama sepanjang empat tahun terawal perkahwinan mereka. 

    Pada awalnya, John agak bergelut untuk menyara kehidupan keluarganya. Walaupun dia seorang akauntan yang sangat komited dan tekun terhadap kerjanya, John dikatakan mempunyai masalah dari segi hubungan sosial. Disebabkan itulah tempat kerjanya sering bertukar silih ganti. 

    Hasil kegigihan serta kerja keras John dalam bidang pekerjaannya juga menjadi berbaloi apabila pada kemudiannya dia telah dilantik menjadi Naib Presiden untuk sebuah bank yang terletak di bandar New Jersey. Belum lama memegang jawatan di bank tersebut, John membuat satu tindakan berani dengan membeli sebuah rumah agam mewah dinamakan sebagai Breze Knoll yang mempunyai 19 bilik untuk keselesaan isteri dan anak-anaknya. Malah, John turut membawa sekali ibunya yang bernama Alma untuk tinggal bersama mereka. 

    Langit tidak selalunya cerah. Itulah yang terjadi ke atas John apabila dipecat dari bank biarpun baru saja bekerja tidak sampai setahun. John yang berasa malu dan tertekan telah merahsiakan tentang pemecatan itu daripada pengetahuan keluarganya. Enggan rahsia tersebut terbongkar, dia berpura-pura pergi bekerja pada setiap hari. Hakikat sebenarnya, John mencari kerja lain dalam keadaan terpaksa menerima kadar gaji yang rendah. Dapat kerja, kemudian dipecat. Begitulah kitaran hidup John untuk satu tempoh yang lama. Memburukkan lagi keadaan, anak-anak John yang sudah menginjak usia remaja semakin sukar untuk dikawal. Pada masa sama, tahap kesihatan Helen kian merosot berikutan mengalami masalah penglihatan serta kerap pengsan. Selepas pemeriksaan dijalankan, Helen rupa-rupanya mengidap penyakit siflis akibat dijangkiti oleh bekas suami pertamanya. Selain itu, situasi kewangan yang semakin runcing telah menyebabkan John mengorek wang simpanan daripada ibunya. Tahun 1971, John yang sudah pun diisytiharkan sebagai bangkrap akhirnya terfikir satu cara untuk menyelamat keluarganya daripada terus hidup dalam kemiskinan. Dia berniat untuk menghantar ibu, isteri dan anak-anaknya ke “syurga”.

Patricia, John Jr. dan Frederick

    Menjelang hari kejadian, John menjadikan Helen sebagai mangsa pertamanya tidak lama selepas anak-anak mereka pergi ke sekolah. Helen ditembak oleh John dengan pistol pada bahagian belakang kepala sewaktu dia sedang menghirup air kopi di dapur. John kemudian pergi ke tingkat atas untuk menembak Alma. Mangsa berikutnya pula adalah anak sulung John iaitu Patricia (16 tahun) yang ditembak sebaik saja pulang dari sekolah. Begitu juga dengan si bongsu bernama Frederick (13 tahun) yang menerima nasib sama seperti Patricia. John seterusnya pergi ke sekolah untuk menyaksikan perlawanan bola sepak yang disertai oleh anaknya yang kedua, John. Jr (15 tahun). Tamat perlawanan itu, John menjemput John Jr. Untuk pulang bersama. Setibanya di rumah mereka, John terus menembak mati John Jr. Semua mayat kecuali mayat Alma telah John kumpulkan di sebuah bilik yang besar. Selepas pembunuhan tersebut, John sempat lagi untuk memasak, makan, membasuh pinggan dan tidur. Segalanya sudah dirancang rapi oleh John. Dia telah memberitahu cikgu di sekolah anaknya bahawa mereka sekeluarga akan pergi North Carolina untuk menziarahi saudara mara yang uzur. Segala kiriman surat, langganan surat akhbar dan perkhidmatan penghantaran susu juga diberhentikan serta merta.

    Sebelum beredar pergi, John ada menulis surat pengakuan tentang pembunuhan itu untuk dibaca oleh paderi. Penghawa dingin, lampu rumah dan muzik pengkebumian pula sengaja dipasang bagi memastikan seolah-olah rumah agam tersebut masih lagi berpenghuni. Selesai berbuat sedemikian, John memandu keretanya menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa John. F Kennedy sebelum hilang buat selama-lamanya. Seperkara lagi waktu sebelum itu, John telah pun memotong kesemua gambar wajahnya yang disimpan di dalam rumah untuk menyukarkan segala usaha pemburuannya kelak.

    Hanya selepas sebulan kemudian, barulah kehilangan anak-anak John disedari oleh cikgu di sekolah mereka. Maka salah seorang cikgu Particia bersama beberapa orang lagi rakan sekerjanya telah pergi ke rumah John untuk menyiasat tentang perkara berkenaan. Sewaktu mereka sibuk mengintai dari luar rumah John, jiran yang berdekatan segera menghubungi pihak polis. Apa yang berlaku selepas ketibaan pihak polis adalah penemuan mayat Alma, Helen, Patricia, John Jr. dan Frederick. Agak menyeramkan, mayat mereka semua ditemui dalam keadaan muzik pengkebumian dalam rumah agam tersebut masih lagi bergema. Bertahun-tahun pihak berkuasa berusaha untuk menyelesaikan kes ini namun gagal susulan ketiadaan sebarang petunjuk mahupun bukti penting. Salah satu petunjuk terakhir yang dimiliki oleh polis adalah jejak John yang berada di lapangan terbang selepas waktu kejadian. Namun tiada sebarang rekod yang menunjukkan John telah mana-mana penerbangan. Lama-kelamaan, kes John List ini terus menjadi semakin dingin. 

Ukiran patung John List (kiri). Wajah sebenar (kanan)

    Hinggalah tahun 1981, maklumat terperinci tentang pembunuhan keluarga John List telah disiarkan ke dalam rancangan America’s Most Wanted. Pengacara rancangan itu iaitu John Walsh begitu terkenal dengan semangat luar biasanya untuk mengheret penjenayah ke muka pengadilan. John Walsh menyedari bukan mudah untuk mencari John List yang telah menghilangkan diri selama hampir dua dekad. Lebih-lebih lagi dengan fakta John List yang kian dimamah usia, sudah pasti kerja-kerja pengecaman wajahnya adalah sangat sukar. Lantaran itu, John Walsh telah bekerjasama dengan seorang pengukir forensik bernama Frank Bender untuk mengukir patung John List. Bagi mendapatkan gambaran wajah terkini John List, John Walsh dan Frank dibantu lagi oleh seorang pakar psikologi forensik yang bernama Richard Walter. Salah satu cara yang digunakan Richard untuk menyelesaikan tugasannya adalah dengan menggunakan gambar ibu bapa John List sebagai rujukan.

    Pada tarikh 21 Mei 1989, America’s Most Wanted telah menyiarkan episod John List yang telah disaksikan seramai 22 juta orang penonton termasuk seorang wanita bernama Wanda Flanery. Sewaktu menonton rancangan tersebut, Wanda mendapati karakter John List menyerupai bekas jirannya iaitu Bob Clark, lelaki akauntan berkaca mata yang juga merupakan seorang penganut Luteran. Keyakinannya semakin menebal selepas melihat ukiran patung John List di televisyen. Tanpa membuang masa, Wanda segera menelefon pihak berkuasa untuk menyalurkan maklumat tentang Bob Clark. Bertindak atas maklumat Wanda, pihak polis hanya mengambil masa 11 hari untuk mengesan serta menangkap Bob Clark di Richmond, Virginia. Berdasarkan siasatan, ternyata identiti Bob Clark yang bergelar suami orang itu adalah John List. Dia terus diceraikan oleh isteri keduanya tidak lama selepas penangkapan tersebut.

    Penamat kisah, John telah dijatuhkan lima hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan membunuh anggota keluarganya. John yang meninggal dunia dalam penjara pada bulan Mac tahun 2008 akibat pneumonia pernah memberitahu bahawa dia tidak membunuh diri selepas melakukan pembunuhan itu adalah kerana perbuatan berkenaan adalah satu dosa besar yang akan menghalangnya ke syurga. Berhubung dengan rumah agam milik John, rumah tersebut telah terbakar beberapa bulan selepas kejadian pembunuhan berlaku di mana punca sebenar kebakarannya gagal untuk dikenal pasti.

Catat Ulasan for "KISAH JOHN LIST : Pembunuhan Sekeluarga yang Hampir Sempurna "