Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN WAYAN MIRNA SALIHIN : Kopi Beracun

Mirna dan Jessica 

    Pada bulan Januari 2016, seorang wanita bernama Wayan Mirna Salihin segera dikejarkan ke hospital susulan tidak sedarkan diri selepas dia meminum ais kopi vietnam di sebuah kafe pusat membeli belah. Mirna yang kemudian disahkan meninggal dunia dipercayai telah diracun dengan sianida oleh rakan baiknya sendiri iaitu Jessica Kumala Wongso. Ungkapan mudah, pengkhianatan seorang sahabat. Kes pembunuhan Mirna ini ternyata bukan sahaja mendapat publisiti yang begitu meluas di Indonesia, bahkan juga di Australia. 

    Mirna dan Jessica mula berkenalan pada tahun 2008 iaitu sewaktu mereka berdua bergelar sebagai pelajar di Billy Blue College of Design, Australia. Selepas lulus pengajian, Mirna kembali pulang ke Indonesia bersama teman lelakinya yang bernama Arief Soemarko. Sementara itu, Jessica pula kekal menetap di Australia kerana dia telah mendapat status sebagai penduduk tetap di sana. 

    Diringkaskan ceritanya iaitu pada lewat tahun 2015, Mirna telah berkahwin dengan Arief. Mirna langsung tidak menjemput Jessica untuk datang ke majlis perkahwinannya itu berikutan hubungan persahabatan mereka berdua yang sudah pun menjadi semakin renggang. Perkara tersebut berlaku selepas Mirna menasihati Jessica agar meninggalkan saja teman lelakinya yang juga merupakan warga Australia iaitu Patrick O'Connor. Mirna berpendapat bahawa Jessica tidak sesuai untuk meneruskan hubungan dengan lelaki seperti Patrick. Dalam erti kata lainnya, Patrick bukan seorang lelaki yang baik. Pendapat Mirna itu bagaimanapun mencetuskan perselisihan faham antara mereka berdua. 

Mirna bersama suaminya iaitu Arief

    Beberapa minggu selepas perkahwinan Mirna, dia telah diajak oleh Jessica yang sudah pun kembali pulang ke Indonesia untuk berjumpa di sebuah kafe (Olivier Cafe) bersama seorang lagi rakan mereka bernama Hani Juwita Boon. Pertemuan yang boleh dikatakan untuk melepaskan kerinduan sesama mereka. Rancangan asalnya adalah akan berjumpa di kafe pada pukul 5.00 petang. Walau bagaimanapun, Jessica tiba di lokasi tepat pukul 3.30 petang iaitu sejam setengah awal dari masa seperti yang telah dijanjikan.

    Sampai di kafe, Jessica terus menempah meja. Dia kemudian beredar pergi untuk pergi membeli hadiah buat rakan-rakannya. Selesai membeli belah, Jessica kembali semula ke kafe dengan tangan kanan memegang tiga beg kertas manakala tangan kirinya pula ada tas tangan. Tidak lama selepas itu, Jessica memesan air minuman termasuklah untuk Mirna dan Hani sekali. 

    Pukul 5.17, Mirna dan Hani akhirnya tiba di kafe. Mereka bertiga saling berpelukan sebelum duduk di meja.  Mirna kemudian meminum ais kopi Vietnam yang telah dipesan oleh Jessica. Selepas meminum kopi tersebut, Mirna mula mengibas-ngibas tangan depan mulutnya sebagai tanda ada sesuatu yang tidak kena dengan minumannya. Dia seterusnya duduk bersandar sebelum tidak sedarkan diri. Melihat keadaan Mirna, Hani yang semakin panik bergegas untuk menghubungi Arief bagi memberitahu situasi yang sedang berlaku ketika itu. Berlainan pula dengan Jessica yang hanya memerhati dalam keadaan tenang. Sebaik dikejarkan ke hospital, Mirna telah disahkan meninggal dunia. Berdasarkan laporan bedah siasatan mendapati punca kematian Mirna adalah disebabkan racun sianida dalam kopi ais Vietnam yang diminumnya. 

Rakaman kamera litar tertutup

    Menerusi siasatan awal yang dijalankan oleh pihak polis, ada tiga orang suspek terawal yang berjaya untuk dikenalpasti. Mereka adalah Hani, Jessica dan Agus yang juga merupakan pekerja Olivier Kafe. Mengambil kira motif, maka Jessica adalah orang yang paling disyaki sebagai pembunuh Mirna. Lagipun pada hari kejadian, dia didapati datang awal ke kafe untuk memeriksa serta memantau lokasi kamera litar tertutup. Jessica yang memesan awal air minuman dilihat meletakkan tiga beg kertas di atas meja dengan posisi teratur bagi menghalang pandangan kamera. Secara teorinya, dia melakukan sedemikian adalah bagi membolehkannya menuang racun ke dalam kopi minuman Mirna tanpa dikesan. Bagaimanapun, tiada rakaman yang menunjukkan Jessica benar-benar melakukan perkara tersebut.

    Jessica dikatakan telah berasa iri hati serta cemburu dengan kehidupan bahagia yang dimiliki oleh Mirna sedangkan dia sendiri pula hidup dalam keadaan huru-hara. Seperkara yang perlu diketahui, Mirna dan Jessica berasal dari golongan yang berada. Selain itu, Jessica juga mempunyai rekod buruk di Australia. Dia pernah melakukan cubaan untuk membunuh diri sebanyak empat kali dalam setahun. Malah Jessica turut pernah terlibat dalam kemalangan di mana dia dia didapati memandu dalam keadaan di bawah pengaruh alkohol. Kes lain yang membabitkan Jessica adalah dia telah dikenakan perintah larangan oleh pihak mahkamah daripada mendekati bekas teman lelakinya, Patrick. Permohonan berhubung perintah itu dipohon oleh Patrick susulan kebimbangannya terhadap Jessica yang berkemungkinan akan bertindak di luar batasan selepas perpisahan mereka. Lagi menakutkan apabila bekas majikan Jessica mendakwa bahawa dia pernah diugut bunuh oleh Jessica. 

    “Jika aku nak bunuh seseorang, aku tahu kadar dosnya.” kata Jessica.

    Terdapat beberapa pertikai berhubung dengan kes Mirna ini. Antaranya adalah kadar sebenar dos sianida yang menjadi punca kematiannya. Mirna yang mengalami keracunan telah mengalami gejala selama tujuh minit lalu tidak sedarkan diri selama sejam sebelum akhirnya meninggal dunia. Kebiasaannya dos yang tinggi akan menyebabkan mangsa mati dalam masa dua ke lima minit. Mirna juga tidak menunjukkan tanda keracunan yang spesifik iaitu seperti badan kekejangan, mulut berbuih dan pengsan.  

    Keluarga Jessica telah mengupah peguam yang hebat untuk membela Jessica di mahkamah. Sepanjang perbicaraan kes yang sensasi itu, reaksi Jessica antara paling hangat diperkatakan. Dia dilihat tenang dan langsung tidak menunjukkan sebarang rasa kekesalan mahupun kesedihan. Paling tidak masuk akal adalah dia boleh gelak ketawa apabila membicarakan tentang kematian Mirna. Penamat kes, Jessica yang didapati bersalah atas kesalahan membunuh telah dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun. 

    Wujudnya juga teori konspirasi di sebalik tuduhan yang diterima oleh Jessica. Pertama, ada sesetengah pihak yang mendakwa bahawa Jessica dan Arief sebenarnya mempunyai hubungan. Jadi, Mirna dibunuh atas dasar rasa cemburu. Kedua, ada juga pihak berpendapat Jessica dan Mirna merupakan pasangan kekasih. Ketiga, bapa Mirna sendiri adalah dalang sebenar dengan kematian Mirna akan membolehkannya menerima wang insurans nyawa yang banyak.  Keempat, Mirna menjadi mangsa kepada musuh Olivier kafe yang bermotifkan persaingan bisnes. Namun harus diingatkan, semua yang dinyatakan ini adalah sekadar teori. Teori tidak berasas yang tidak mempunyai sebarang bukti kukuh.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN WAYAN MIRNA SALIHIN : Kopi Beracun"