Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

SINGKI

Pixabay

    Hari ini sudah genap sebulan aku tinggal di rumah sewa ini. Buat masa sekarang, semuanya okay. Okay daripada segi kebersihan hinggalah hal-hal kejiranan. Ini bermaksud, aku berpuas hati tinggal di rumah sewa ini biarpun kadar sewa bulanannya yang agak tinggi. Oh ya, aku menyewa berseorangan. Terpaksa PJJ dengan anak isteri atas tuntutan kerja. Dah berapa kali minta tukar, tapi masih belum ada rezeki.

    Hm... macam yang aku cakap, rumah sewa yang aku diami ini memang okay. Tapi kan, cuma ada satu benda saja yang benar-benar mengganggu fikiranku. Benda yang membuatkan jiwa aku menjadi kacau. Pasal singki... Ya, singki dapur, tapi bukan soal tersumbat ke apa. Sejak dua minggu lepas, ada bunyi setiap kali paip singki itu dibuka pada waktu malam. Bunyi yang aku maksudkan adalah dari dalam singki tersebut. Bunyi apa? Aku tak beranilah nak cakap lebih-lebih. Tapi apa yang telinga aku dengar, bunyi suara perempuan ketawa. 

    "Hihihi...."

    Hari pertama kejadian berlaku, masa aku basuh pinggan iaitu pada lepas waktu maghrib. Mula-mula, memang tiada apa-apa. Bila dah nak habis kerja membasuh, macam yang aku cakap... tiba-tiba di sebalik bunyi air paip singki mengalir, ada suara perempuan ketawa. 

    "Hihihi..." 

    Bunyi suaranya tak adalah kuat mana pun. Cuma memang aku boleh dengar kot. Asalnya, memang aku buat bodoh sebab ingatkan perasaan aku saja. Tapi suara aneh itu ketawa secara berterusan tanpa henti. 

    "Hihihi... hihihi... hihihi..."

    Pergh! Kali ini, bulu roma aku terus naik meremang. Jadi apa yang aku buat, aku terus tutup paip singki itu. Teka apa yang berlaku? Suara perempuan yang ketawa tadi tiba-tiba hilang. Hm, okay... waktu ini aku fikir mungkin suara ketawa perempuan itu cuma sekadar mainan perasaan. Aku main tepuk-tepuk telinga. Malas nak memikir, aku pun meninggalkan ruang dapur untuk menuju ke ruang tamu. 

    Malam kedua kejadian, sama juga keadannya iaitu berlaku selepas waktu maghrib. Sebelum makan makanan yang aku telah bungkus, aku pergi basuh tangan dekat singki dapur itu. Bila paip dibuka, sekali lagi aku terdengar bunyi ketawa. 

    "Hihihi..."

    Dengar saja bunyi suara ketawa yang menakutkan itu, laju tangan aku menutup paip singki. Masalahnya bila paip dah ditutup, hilang terus suaranya. Walaupun jantung aku memang tak berhenti dupdapdupdap, aku cuba memberanikan diri untuk bereksperimen dengan membuka semula paip singki. 

    "Hihihi..." 

    Aik! Ada balik suaranya. Tutup semula paip, hilang pula suaranya. Tiga kali aku buka tutup, buka tutup paip. Begitulah senarionya. Bunyi suara ketawa hanya kedengaran bila paip dibuka. Okay, aku dah mula ketakutan. Gila. Dahlah tinggal seorang, naya betul. Tanpa berlengah, aku bergegas ke ruang tamu. Aku tak nak beritahu sesiapa lagi termasuk isteriku sebab nak  bereksperimen keesokan hari. Lagipun, tak naklah buat isteri aku risau. Masalahnya sekarang, apabila paip singki itu dibuka dari waktu pagi hingga petang keesokannya, suara perempuan ketawa berkenaan langsung tidak kedengaran. Dekat sini aku dah boleh tangkap, suara ketawa dekat singki itu hanya berlaku pada waktu malam. 

    Malam ketiga kejadian. Jam, 8.15 malam, aku dah duduk standby dekat meja makan. Aku memang dah plan nak rakam suara perempuan ketawa itu menggunakan telefon. Sebabnya aku ingat, nak tunjuk bukti kejadian dekat owner rumah dan officemate aku. Dengan lagak berani, aku pun menekan butang record video pada telefon sambil menuju ke singki dengan langkah perlahan. Paip singki pun dibuka.

    Tiga minit berlalu... Eh! Sunyi sepi! Satu suara apa pun tak ada. Takkan "dia" tahu aku nak merakam. Aku tetap menunggu dekat situ dalam setengah jam. Malangnya, keadaan sama. Aku pun pergilah off butang record telefon dan tutup paip singki. Tahu tak apa yang berlaku selepas itu? Masa aku baru nak blah dari dapur, kedengaran bunyi air paip singki padahal paip itu baru saja ditutup. Terus bergeletar kepala lutut aku. Memang langsung tak toleh belakang dah. Aku bergegas masuk ke dalam bilik tidur. Kunci pintu bilik, kemudian selimutkan badan lalu baca surah apa yang patut. Sepanjang malam, mata tak boleh nak pejam. Teringat juga orang kata, singki pun salah satu tempat "benda" itu bermain sebab ada sisa makanan kotor. Entah benar atau tidak, wallahualam.

    Keesokan hari, aku tekad untuk hantar WhatsApp dekat owner rumah bagi menceritakan apa yang telah berlaku biarpun tanpa bukti. Mana tahu, dia tahu pucuk pangkal cerita. Kesudahannya, tiada sebarang respon daripada owner. Aku cuba berfikiran positif, mungkin dia malas kot nak memikir perkara-perkara yang dianggapnya sebagai remeh atau karut. Benda yang aku boleh settle sendiri. Haa, begitulah. 

    Bila difikir balik, sampai bila aku nak hidup diselubungi dengan ketakutan. Nak cari rumah sewa lain, dah dua tiga kali kerja. Belum lagi cerita soal duit. Nak panggil ustaz, aku kena pastikan dulu yang kejadian itu bukannya khayalanku semata-mata. Jadi, aku pun mengajak seorang sahabat baik sepejabat yang bernama Ajis untuk datang ke rumah sewaku pada waktu malam. Aku dah ceritakan segala-gala kepadanya dari A sampailah Z. Jadi, dia sendiri kena bersiap siagalah. Namun diringkaskan ceritanya, Ajis langsung tidak mendengar sebarang bunyi dari singki sepanjang malam itu. Dia kemudian memberi cadangan dengan menyuruh aku untuk pergi bertanya dengan jiran tentang penyewa rumah sewaku sebelum ini. Tidak mustahil mereka mungkin tahu pasal singki itu. 

    Satu hari, aku bersembang dengan jiran sebelah rumahku iaitu Encik Hisham. Niat aku adalah kononnya untuk mengorek cerita pasal penyewa lama. Belum sempat berbuat sedemikian, ada satu soalan daripada Hisham yang benar-benar memeranjatkan aku 

    "Singki dapur okay?" 


    BERSAMBUNG...

10 ulasan for "SINGKI"