Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PENCULIKAN ELIZABETH SMART : Diculik Nabi Palsu


    Pada bulan Jun 2002, seorang gadis remaja perempuan berusia 14 tahun iaitu Elizabeth Smart telah diculik dari rumah sendiri oleh seorang lelaki bernama Brian David Mitchell yang ditemani isterinya bernama Wanda Barzee. Menyedihkan apabila sepanjang sembilan bulan penculikan Elizabeth, dia bukan saja dirogol bahkan juga diberikan dadah secara berterusan serta dipaksa untuk melakukan ritual ajaran sesat. 


    Kisahnya bermula pada 5 Jun 2002 apabila Brian bertindak untuk menyelinap masuk ke dalam bilik tidur Elizabeth menerusi tingkap. Satu-satunya saksi kejadian penculikan itu adalah adik perempuan Elizabeth berusia 9 tahun yang tidur sebilik dengannya iaitu Mary Katherine. Satu kesilapan besar yang dibuat oleh Mary waktu penculikan tersebut adalah dia hanya memaklumkan tentang penculikan itu kepada ibu bapanya hanya selepas dua jam kejadian berlalu. Tindakan Mary untuk mengunci mulut pada sebelum itu adalah susulan kebimbangannya bahawa si penculik akan datang semula ke rumah untuk menculiknya. Selain itu, Mary dikatakan agak mengenali suara penculik berkenaan namun tidak dapat untuk mengecam wajahnya.

 Operasi pencarian Elizabeth telah dijalankan secara besar-besaran. Pelbagai usaha dilakukan termasuklah dengan bantuan sukarelawan dan penggunaan pesawat. Walau bagaimanapun, Elizabeth tetap gagal untuk dikesan. Pada asalnya, seorang lelaki bernama Richard Ricci diyakini sebagai penculik Elizabeth biarpun dia membuat penafian tentang perkara itu. Kes penculikan Elizabeth tersebut bagaimanapun menjadi semakin dingin apabila Richard meninggal dunia pada bulan Ogos 2002 akibat pendarahan otak.

Brian dan Wanda

    Berkenaan dengan Elizabeth, dia telah dibawa oleh Brian ke kawasan tapak khemah di dalam hutan yang terletak kira-kira 3 batu jarak dari rumahnya. Di situ, isteri Brian iaitu Wanda Barzee sudah pun bersedia untuk menyambut kedatangan Elizabeth. Brian yang mendakwa namanya sebagai Emmanuel adalah seorang nabi utusan Tuhan yang mengamalkan gabungan ajaran Mormon dan New Ageism. Seperkara lagi perlu diketahui, Brian yang menanam prinsip berpoligami dalam hidupnya telah mengadakan satu upacara majlis perkahwinan pelik sebagai tanda pengisytiharan Elizabeth menjadi isterinya. 

    Elizabeth pula terus hidup menderita berikutan sering dipaksa untuk menonton video lucah sebelum dirogol berkali-kali dalam sehari. Tak cukup dengan itu, Elizabeth yang diikat pada pokok telah diberikan minuman beralkohol serta dadah. Selepas dua bulan penculikannya, Elizabeth disuruh untuk memakai rambut palsu serta berjubah. Paling mengejutkan dalam kes ini adalah fakta di mana Brian dan Wanda ada membawa Elizabeth muncul di tempat khalayak ramai. Namun malangnya kemunculan Elizabeth tersebut tidak disedari oleh orang awam waktu itu. 

  Hinggalah bulan Februari 2003, Mary Katherine tiba-tiba teringatkan seorang lelaki yang berkemungkinan besar adalah penculik kakaknya. Mary memberitahu ibu bapanya bahawa lelaki itu adalah Emmanuel yang pernah melakukan kerja-kerja bertukang di rumah mereka. Berdasarkan lakaran wajah Emmanuel yang sedia ada, pihak polis seterusnya berjaya menangkap Brian dan Wanda pada 12 Mac 2003 susulan menerima maklumat daripada orang awam yang telah melihat pasangan suami isteri tersebut berjalan bersama Elizabeth. Sewaktu disoal siasat, Elizabeth pada mulanya dilaporkan enggan untuk mendedahkan identiti sebenar. Dalam hal sebegini, dia telah dikhuatiri mengidap penyakit Stockholm Syndrome. Faktor inilah yang boleh menjadi penjelasan utama mengapa Elizabeth tidak pernah cuba bagi melarikan diri meskipun banyak kali mempunyai peluang keemasan sedemikian. 

    Menerusi keputusan perbicaraan kes tahun 2009, Wanda yang didapati bersubahat bersama Brian untuk melakukan penculikan telah dipenjarakan selama 15 tahun. Sementara itu, Brian pula diberikan dua hukuman penjara seumur hidup. 

Elizabeth Smart

    Elizabeth terus bangkit daripada peristiwa hitam yang telah melanda dalam hidupnya. Dia kini bukan saja bergelar sebagai penulis, malah menjadi aktivis, pengulas dan wartawan tentang segala hal jenayah yang berkaitan dengan penculikan. Tahun 2017 iaitu bersamaan dengan ulang tahun ke 15 tahun penculikannya, Lifetime menyiarkan filem televisyen berjudul "I Am Elizabeth Smart" yang telah diterbitkan oleh Elizabeth sendiri.

Catat Ulasan for "KISAH PENCULIKAN ELIZABETH SMART : Diculik Nabi Palsu"