Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH BENAR FILEM AYLA : The Daughter of War

    Pada tahun 1950, negara Turki telah menghantar pasukan tentera keamanan mereka di bawah naungan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu ke negara Korea yang ketika itu sedang dilanda konflik peperangan. Salah seorang daripada anggota tentera Turki yang menyertai misi keamanan itu adalah Suleyman Dilbirligi yang berpangkat Sarjan.

    Diringkaskan ceritanya iaitu pada satu malam, skuad Suleyman tiba-tiba telah diserang oleh pihak musuh namun mereka dapat untuk bertahan. Hingga satu ketika, mereka semua terdengar bunyi sayup dari arah kawasan semak berhampiran. Sepertinya akan ada serangan daripada pihak musuh yang bakal berlaku. Namun selepas pemeriksaan dilakukan kawasan semak tersebut, Suleyman telah menemui seorang budak perempuan yang duduk bersendirian dalam keadaannya ketakutan sambil dikelilingi dengan mayat bergelimpangan. Suleyman yang berasa simpati kemudian terus pergi memeluk budak perempuan itu. Apa yang pasti, budak perempuan yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri tersebut sudah kehilangan keluarganya samada telah hilang ataupun sudah mati. Disebabkan itu, Suleyman dan anggota tentera yang lain membuat keputusan untuk membawa budak perempuan tersebut pulang ke kem bersama dengan mereka.

    Sepanjang tempoh di kem, budak perempuan itu dijaga oleh Suleyman bagai menatang minyak yang penuh. Budak perempuan tersebut telah dinamakan sebagai Ayla yang membawa maksud bulan. Bukan setakat Suleyman, anggota tentera keamanan Turki yang lain pun begitu menyayangi Ayla yang sudah dianggap seperti adik serta anak sendiri. Namun kebanyakan masa Ayla dihabiskannya untuk bersama dengan Suleyman serta Ali yang juga merupakan rakan baik kepada Suleyman. Selain itu, Ayla juga dapat untuk bertutur bahasa Turki pada masa yang sangat singkat. Lama kelamaan, hubungan antara Suleyman dan Ayla menjadi semakin rapat hingga sukar untuk dipisahkan.  

    Sudah menjadi lumrah kehidupan, setiap pertemuan ada perpisahan. Begitu jugalah dengan nasib Suleyman dan Ayla di mana Suleyman harus pulang semula ke negaranya kerana akan ada pasukan tentera keamanan Turki yang lain bakal tiba. Pada masa sama, Suleyman benar-benar berasa dalam dilema kerana dia terlalu menyayangi Ayla. Sebolehnya, Suleyman ingin membawa Ayla sekali untuk pulang ke Turki. Namun, dia tidak dibenarkan untuk berbuat sedemikian kerana ada undang-undang yang perlu dipatuhi. Sampai tiba masanya, mereka berdua pun berpisah jua dalam keadaan hati yang penuh duka lara. Ayla sebelum itu telah dimasukkan ke sekolah Ankara yakni sekolah anak yatim piatu di Korea Selatan yang diasaskan oleh tentera Turki.

    Selepas kepulangan Suleyman ke Turki, kerinduannya terhadap Ayla tidak pernah berpenghujung. Dia sentiasa mengharapkan keajaiban untuk dapat bertemu semula dengan Ayla. Puas Suleyman mencari maklumat mengenai Ayla, namun tiada apa yang dapat ditemuinya. Lagipun, Ayla tidak pernah menyebut nama sebenarnya sekaligus menimbulkan masalah serta kesukaran kepada Suleyman untuk membuat pencarian maklumat yang lebih terperinci. Pada tahun 1999, satu insiden gempa bumi telah menimpa kawasan bandar Golcuk, Turki. Susulan insiden gempa bumi tersebut, sepasukan sukarelawan keselamatan dari negara Korea Selatan tiba ke lokasi kejadian bagi memberi bantuan. Apa yang dilakukan oleh Suleyman, dia telah membeli surat khabar secara harian untuk meneliti foto anggota sukarelawan Korea Selatan itu. Dalam fikiran Suleyman, dia mengharapkan salah satu anggota sukarelawan berkenaan adalah Ayla yang datang ke Turki untuk mencarinya. Tiga tahun berikutnya iaitu sewaktu siaran langsung perlawanan bola sepak pertandingan Piala Dunia antara Korea Selatan menentang Turki, Suleyman berada di depan televisyen untuk mengamati wajah penonton di stadium dengan harapan dapat mengecam wajah Ayla. Suleyman bahkan turut merakam perlawanan tersebut supaya dia dapat meneliti rakaman secara berulang kali.

    Penantian Suleyman bagaimanapun berakhir hasil daripada bantuan sekumpulan wartawan Korea Selatan yang telah melakukan pencarian maklumat setelah mereka diberitahu mengenai Ayla daripada mulut Suleyman sendiri yakni semasa majlis upacara ulangtahun ke-60 peperangan Korea. Pengakhiran kisah, Ayla yang dikenalpasti sebagai “Kim Eunja” telah dibawa untuk bertemu semula dengan Suleyman selepas 60 tahun terpisah. Menerusi detik pertemuan yang sungguh beremosi di Seoul pada tahun 2010 itu, Ayla dan Suleyman saling berpelukan dalam keadaan menangis teresak-esak untuk kerinduan masing-masing. 

    Pada bulan Oktober 2017, terbitnya sebuah filem berjudul Alya : The Daughter of War yang diadaptasi dari kisah Suleyman dan Ayla. Filem yang mendapat rating sebanyak 8.4/10 daripada laman IMDb tersebut telah menjadi bualan hangat dan mendapat pujian penonton dari seluruh dunia. Dua bulan selepas penerbitan filem tersebut, Suleyman menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 91 tahun. 

Catat Ulasan for "KISAH BENAR FILEM AYLA : The Daughter of War"