Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

SATE BERACUN

Bandiman menunjukkan gambar anaknya

    INDONESIA – Pada 25 April 2021, seorang lelaki penghantar makanan dalam talian iaitu Bandiman (36 tahun) menunaikan solat asar di sebuah masjid yang terletak di Yogyakarta. Selesai solat, dia tiba-tiba telah didekati oleh seorang wanita cantik yang meminta bantuannya untuk menghantar sebuah bungkusan berisi sate ke alamat kediaman milik seorang lelaki bernama Tomi. Bandiman bersetuju selepas diberi upah sebanyak 30 000 ribu rupiah untuk melakukan penghantaran yang dibuat secara luar talian itu. Wanita tersebut juga sempat berpesan kepada Bandiman untuk memberitahu Tomi bahawa sate itu adalah kiriman daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Hamid.

    Setibanya Bandiman di lokasi, hanya ada isteri Tomi saja yang berada di rumah. Jadi, Isteri Tomi telah menolak untuk menerima bungkusan sate tersebut memandangkan dia tidak mengenali individu bernama Hamid seperti yang dimaksudkan Bandiman. Isteri Tomi kemudian menyerahkan semula sate berkenaan kepada Bandiman untuk dibawa pulang sebagai juadah berbuka puasa.

Suspek

    Menjelang waktu berbuka puasa, Bandiman telah memakan sate itu bersama dengan keluarganya. Namun tanpa disangka selepas memakan sate tersebut, mereka sekeluarga mula muntah. Paling teruk sekali adalah anak Bandiman yang berusia lapan tahun iaitu Naba Faiz Prasetya. Dia yang dimasukkan ke hospital kemudian disahkan meninggal dunia akibat keracunan. Hasil pemeriksaan mendapati  sate yang dimakan oleh keluarga Bandiman itu  didapati mengandungi racun potasium sianida.

    Beberapa hari selepas kejadian, pihak polis telah berjaya menahan seorang wanita yang disyaki sebagai suspek utama iaitu Nani Apriliani Nurjaman (25 tahun). Berdasarkan siasatan oleh pihak polis, Nani yang bekerja sebagai seorang pekerja salon mempunyai dendam terhadap Tomi. Mereka berdua pernah menjalinkan hubungan sebagai pasangan kekasih di mana waktu tersebut Tomi masih berstatus lelaki duda. Selepas hubungan tersebut putus di tengah jalan, Tomi telah mengahwini wanita lain sekaligus menyebabkan Nani berdendam terhadapnya. Nani didakwa membeli sate itu daripada sebuah gerai sebelum mencampurkannya dengan racun sianida. Dia sengaja melakukan urusan penghantaran sate ke alamat rumah Tomi secara luar talian adalah supaya identitinya tidak dapat untuk dijejaki. Niat Nani pada asalnya adalah untuk menjadikan Tomi sekeluarga sebagai mangsa keracunan.

    Nani dilaporkan kini berasa sangat menyesal kerana orang lain pula yang telah terkorban gara-gara perbuatan tidak berkeperimanusiaannya itu. Jika didapati bersalah, Nani bakal dijatuhkan hukuman mati atau penjara untuk seumur hidup. Sementara itu, Bandiman menyalahkan diri sendiri kerana membawa pulang sate tersebut hingga menyebabkan anaknya terkorban. 

Catat Komen for "SATE BERACUN"