KISAH BYRON DAVID SMITH : Jangan Bernafas

Filem Don't Breathe (2016)

     Pernahkah anda menonton filem thriller berjudul Don’t Breathe (2016)? Filem ini mengisahkan tiga orang sekawan yang merancang untuk merompak sebuah rumah milik seorang lelaki tua, bekas veteran tentera. Pada awalnya, mereka menyangka rompakan tersebut akan menjadi mudah kerana lelaki itu mengalami masalah buta penglihatan. Namun sangkaan mereka meleset apabila lelaki tua tersebut ternyata bukan individu biasa. Walaupun buta, dia memiliki keupayaan luar biasa untuk mengesan dan membunuh musuh yang menceroboh rumahnya. Akibatnya, ketiga-tiga perompak itu terperangkap di dalam rumah tersebut di mana mereka berdepan dua pilihan sahaja sama ada melarikan diri atau mati dibunuh.

Byron David Smith

     Walaupun kisah ini sekadar lakonan, terdapat satu kes jenayah sebenar yang sering dikaitkan dengannya iaitu kes pembunuhan yang dilakukan oleh Byron David Smith. Terdapat dakwaan yang menyatakan bahawa Don’t Breathe diinspirasikan daripada kisah Byron ini. Namun sehingga kini tiada sumber atau artikel kukuh yang dapat mengesahkan dakwaan tersebut.

     Pada tahun 2012, Byron David Smith merupakan seorang pesara kerajaan Amerika Syarikat berusia 64 tahun dan bekas jurutera keselamatan. Dia tinggal bersendirian, tidak pernah berkahwin dan tidak mempunyai anak. Kisah ini bermula pada Hari Kesyukuran apabila dua orang remaja, yang juga sepupu, Nicholas Brady (17 tahun) dan Hailey Kifer (18 tahun), memecah masuk ke rumah Byron. Tanpa pengetahuan mereka, Byron sebenarnya sudah bersedia menunggu kehadiran penceroboh.

     Sebelum kejadian tersebut, beberapa kes rompakan telah berlaku di sekitar kawasan kediaman Byron termasuk di rumahnya sendiri. Dia kehilangan pelbagai barangan berharga seperti wang tunai berjumlah kira-kira USD4000, duit syiling, pingat ketenteraan dan seusta jam peninggalan zaman Perang Dunia Kedua milik mendiang bapanya. Setelah dapat mengagak bahawa rumahnya mungkin akan dirompak lagi, Byron mula membuat persiapan rapi. Dia memarkir trak miliknya jauh dari rumah bagi menimbulkan tanggapan bahawa dia tiada di rumah. Byron turut memadamkan lampu, memasang kamera litar tertutup serta menyediakan perakam suara untuk merakam kejadian. Akhir sekali, dia menunggu di tingkat bawah rumah sambil memegang senapang.

Nicholas Brady dan Hailey Kifer

     Pada hari kejadian, Nicholas merupakan individu pertama yang memecah masuk ke dalam rumah tersebut. Dia ditembak sebanyak tiga kali dengan dua tembakan ketika berada di tangga dan satu lagi ketika terjatuh dari tangga. Mayat Nicholas kemudian diheret oleh Byron ke sebuah bilik lain. Tidak lama kemudian, Hailey yang terdengar bunyi tembakan bergegas masuk untuk mencari sepupunya. Dia turut ditembak beberapa kali yang mengenai bahagian kepala, mata dan dagu. Sepanjang kejadian itu, Byron sempat bercakap sendirian seolah-olah sedang melatih dirinya untuk memberikan keterangan kepada pihak polis. 

     Memandangkan kejadian berlaku pada Hari Kesyukuran, Byron hanya membuat laporan polis pada keesokan harinya kerana mendakwa tidak mahu mengganggu anggota polis yang sedang bercuti. Dalam perbicaraan kes tersebut, timbul perdebatan sama ada kematian Nicholas dan Hailey merupakan satu kes pembunuhan terancang atau tindakan mempertahankan diri. Byron mendakwa bahawa kedua-dua remaja itu pernah merompak rumahnya sebelum ini hingga menyebabkan dia hidup dalam ketakutan berpanjangan. Namun pada 29 April 2014, mahkamah mendapati Byron David Smith bersalah atas dua pertuduhan membunuh peringkat pertama dan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa peluang pembebasan bersyarat. Rakaman audio kejadian yang turut merekodkan jeritan Hailey ketika ditembak boleh ditonton di bawah:

    


Catat Ulasan for "KISAH BYRON DAVID SMITH : Jangan Bernafas "