Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

DETIK TERAKHIR SEORANG WANITA SEBAGAI PENGANTIN

Udirley Damasceno dan Rosemere do Nascimento Silva 

    Hari perkahwinan sudah semestinya menjadi saat yang paling dinantikan oleh bakal pengantin. Lebih-lebih lagi apabila hari membahagiakan itu mempunyai unsur kejutan untuk dijadikan sebagai salah satu kenangan terindah dalam kehidupan. Namun bagaimana pula dengan keadaan jika hari perkahwinan tersebut bertukar menjadi detik paling menyedihkan yang akan menghantui bakal pengantin untuk seumur hidup?

    Pada awal bulan Disember 2016 bertempat di sebuah kawasan pedalaman luar bandar Sao Paolo Brazil, berlangsungnya majlis perkahwinan antara pasangan Udirley Damasceno (32 tahun) dan Rosemere do Nascimento Silva (32 tahun) yang dihadiri oleh kira-kira seramai 300 orang tetamu. Hari itu, Udirley yakni pengantin lelaki menunggu ketibaan Rosemere dengan penuh debaran. Selepas sekian lama susah senang bersama, mereka berdua akhirnya bakal disatukan. Apa yang Udirley tidak sedari, tunangnya itu telah pun membuat segala persiapan rapi untuk tiba di kawasan gereja dengan menaiki helikopter. Kejutan sedemikian pada hari perkahwinan sememangnya adalah impian Rosemere sejak dia dari kecil lagi. Harus diketahui, hanya ada enam daripada 300 orang yang hadir majlis perkahwinan tersebut telah mendapat tahu tentang kejutan itu.

 Nayla Cristina Neves

    Rosemere yang berasa begitu teruja menaiki helikopter dengan ditemani oleh abangnya iaitu Silvano Nascimento da Silva dan jurugambar wanita bernama Nayla Cristina Neves yang sedang hamil enam bulan. Si juruterbang pula dikenali sebagai Peterson Pinheiro. Jarak dari tempat helikopter berlepas ke lokasi majlis perkahwinan tersebut hanya sekitar 1.6 kilometer dengan anggaran memakan masa perjalanan selama 15 minit.

Rosemere bersama dengan abangnya

    Helikopter yang dinaiki Rosemere itu sepatutnya mendarat di sebuah padang bola sepak yang berhampiran dengan gereja lokasi majlis perkahwinan. Menyedari helikopter tersebut tidak mendarat pada waktu seperti yang telah dijadualkan, Carlos Eduardo Batista selaku penganjur majlis perkahwinan itu terus membuat panggilan telefon kepada pihak yang berkenaan. Carlos kemudian mendapat berita yang benar-benar mengejutkan apabila dimaklumkan Rosemere menjadi mangsa nahas helikopter. Kesemua mereka yang menaiki helikopter tersebut telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Helikopter itu dilaporkan terhempas akibat hilang kawalan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu pada waktu tersebut. Udirley yang diberitahu tentang insiden itu terus menjadi lemah longlai. Wanita yang sepatutnya menjadi teman hidupnya hingga pada hari tua kini sudah tiada. Sukar Udirley untuk menerima hakikat cara kematian Rosemere yang sangat tragis.

    Video rakaman sebelum dan sewaktu helikopter tersebut terhempas telah didedahkan oleh pihak berkuasa tempatan pada bulan Julai 2017. Jika sanggup untuk menonton detik-detik terakhir yang mencemaskan itu, klik pautan berikut : https://youtu.be/6yGoYFhTjWM

Catat Ulasan for "DETIK TERAKHIR SEORANG WANITA SEBAGAI PENGANTIN"