Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH SATOSHI UEMATSU : Pembunuhan Kejam Beramai-ramai di Sagamihara

Satoshi Uematsu

    Pada tahun 2016, Satoshi Uematsu adalah seorang pemuda berusia 26 tahun yang tinggal di bandar Sagamihara, Wilayah Kanagawa. Bapa Satoshi bekerjaya sebagai seorang guru sekolah rendah manakala ibunya merupakan seorang kartunis. Sewaktu zaman kanak-kanaknya, Satoshi dikatakan sebagai seorang budak yang baik dan mendengar kata. Menginjak usia remaja, Satoshi mula membuat perangai dengan melakukan aktiviti kecurian serta merosakkan harta benda awam. Malah dia juga mencacah tatu pada tubuh badannya. Di Jepun, sesetengah pihak sering menggambarkan orang yang bertatu ini adalah anggota Yakuza atau ada terlibat dengan mana-mana sindiket jenayah.

    Seperkara yang harus diketahui, Satoshi tinggal bersendirian di Sagamihara sejak dari tahun 2012 selepas dia enggan untuk mengikuti ibu bapanya yang berpindah ke Tokyo atas tuntutan kerja. Tahun 2013, Satoshi telah diterima untuk bekerja di sebuah rumah kebajikan orang upaya Sagamihara iaitu Tsukui Lily Garden. Selepas tiga tahun bekerja di situ, Satoshi terpaksa untuk diberhentikan kerana sering menimbulkan masalah kepada para penghuni.

Tsukui Lily Garden

    Bulan Februari 2016, Satoshi telah dua kali pergi ke rumah Tadamori Oshima yakni seorang ahli politik terkemuka di Jepun. Kali pertama pergi, Satoshi tidak dibenarkan untuk berjumpa dengan Tadamori kerana dia tidak mempunyai sebarang temu janji rasmi. Kali kedua pergi, Satoshi telah menyerahkan sepucuk surat kepada pengawal keselamatan untuk dibaca oleh Tadamori. Surat yang lengkap dengan tandatangan berserta alamat tempat tinggal Satoshi tersebut adalah tentang niatnya yang ingin membunuh golongan kurang upaya. Perkara ini termasuklah menjadikan para penghuni di Tsukui Lily Garden sebagai sasarannya. Satoshi berniat untuk melakukan pembunuhan itu adalah kerana dia merasakan golongan kurang upaya hanyalah satu beban untuk negara yang maju seperti Jepun. Malah Satoshi juga berjanji untuk menyerah diri kepada pihak polis setelah rancangan jahatnya selesai direncanakan.

    Susulan surat Satoshi tersebut, Tadamori yang tanpa berlengah terus mengarahkan pihak polis untuk melakukan siasatan secara lebih terperinci. Pihak Tsukui Lily Garden yang turut dimaklumkan dengan perkara itu telah memasang 16 buah kamera litar tertutup sebagai langkah berjaga-jaga. Mengenai Satoshi, dia akhirnya ditangkap siasatan lanjut. Walau bagaimanapan, penangkapan Satoshi tersebut hanya selama dua minggu sebelum dia kembali dibebaskan. Pembebasan tersebut dibuat berikutan penilaian doktor yang meyakini Satoshi tidak berbahaya seperti yang telah dicanangkan.

Salah seorang mangsa

    Beberapa bulan berikutnya yakni pada awal pagi 26 Julai 2016, Satoshi menceroboh masuk Tsukui Lily Garden sebelum mengikat dua orang pekerja di dalamnya. Setelah berjaya merampas kunci, maka Satoshi pun pergi ke bilik demi bilik untuk membunuh seorang demi seorang penghuni Tsukui Lily Garden dengan cara tikaman pisau pada bahagian leher. Secara keseluruhannya, 19 orang mangsa telah mati dibunuh oleh Satoshi manakala 26 orang mangsa lagi pula cedera. Daripada 26 jumlah yang tercedera itu, seramai 13 orang daripada mereka mengalami kecederaan yang parah. Semua mangsa terdiri daripada mereka yang berusia dari 18 hingga 70 tahun. Satoshi bagaimanapun sempat untuk beredar pergi dari kejadian sebelum ketibaan pihak polis yang lengkap bersenjata. Namun kira-kira dua jam selepas kejadian, Satoshi telah pergi menyerah diri di balai polis Sagamihara. Senjata pembunuhan ditemui di dalam kereta yang Satoshi parkir di luar balai polis berkenaan.

    Berhubung dengan perbicaraan kes, Satoshi yang didapati dalam keadaan waras untuk dibicarakan telah menerima 19 pertuduhan membunuh, 24 percubaan membunuh dan beberapa lagi pertuduhan yang lain. Pihak pembelaan cuba menggunakan hujah Satoshi yang berada di bawah pengaruh ganja sewaktu kejadian berlaku. Hujah itu tidak mempengaruhi pihak juri untuk memutuskan Satoshi bersalah terhadap semua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya. Kesudahan cerita, Satoshi telah dijatuhkan hukuman mati. Cuma hingga setakat artikel ini ditulis, Satoshi masih lagi berada dalam penjara untuk menunggu hari pelaksaan hukuman matinya.

Catat Ulasan for "KISAH SATOSHI UEMATSU : Pembunuhan Kejam Beramai-ramai di Sagamihara "