KISAH KEMATIAN ELLEN RAE GREENBERG : Dibunuh atau Bunuh Diri?
Pada petang 26 Januari 2011, satu kejadian mengejutkan berlaku di Philadelphia, Amerika Syarikat. Ellen Rae Greenberg, seorang guru sekolah rendah berusia 27 tahun telah ditemui mati di dapur apartmennya di Venice Lofts yakni sebuah pangsapuri mewah. Mayatnya ditemui oleh tunangnya iaitu Samuel Sam Goldberg, seorang pelatih TV sukan di NBC yang ketika itu berusia 28 tahun. Pasangan ini sedang merancang perkahwinan mereka yang dijadualkan berlangsung pada Ogos 2011.
Menurut keterangan Sam kepada pihak polis, dia pulang dari gim sekitar jam 6 petang dan mendapati pintu apartmen berkunci dari dalam menggunakan kunci tambahan jenis swing lock. Dia mendakwa mengetuk pintu dan menghantar 27 mesej teks kepada Ellen dalam tempoh 22 minit dengan nada yang semakin mendesak dan marah. Apabila tiada jawapan, Sam mendapatkan bantuan penyelenggaraan bangunan untuk memecahkan kunci tersebut. Sebaik masuk, dia mendapati Ellen duduk bersandar di lantai dapur dengan sebilah pisau besar tertancap di dada. Sam pun segera menghubungi talian kecemasan 911 sambil menyatakan bahawa tunangnya telah membunuh diri.
Bedah siasat yang dijalankan kemudian mendedahkan sesuatu yang mengejutkan. Ellen mengalami 20 kesan tikaman iaitu 10 di bahagian belakang termasuk leher, 8 di dada serta perut dan 2 di kepala. Beberapa tikaman menembusi organ penting seperti jantung, paru-paru dan hati. Selain itu, terdapat lebam pada pergelangan tangan dan kaki yang berkemungkinan menunjukkan pergaduhan atau sekatan pergerakan. Pada mulanya, pemeriksa perubatan yang bernama Dr. Marlon Osbourne mengklasifikasikan kematian Ellen sebagai pembunuhan. Namun selepas berbincang dengan pihak polis yang berpegang kepada teori bunuh diri kerana keadaan apartmen berkunci, dia menukar klasifikasi itu kepada bunuh diri.
Keluarga Ellen membantah keras keputusan tersebut dengan menegaskan bahawa lokasi dan jumlah tikaman tidak masuk akal jika dilakukan sendiri. Mereka mendapatkan khidmat pakar forensik bebas termasuk Dr. Cyril Wecht dan Dr. Henry Lee yang menyatakan bahawa kecederaan tersebut lebih konsisten dengan serangan pihak ketiga berbanding bunuh diri. Tikaman di bahagian belakang dan kepala terutamanya menimbulkan persoalan besar tentang kemungkinan Ellen mampu melukakan dirinya sendiri sehingga tahap itu.
Walaupun pihak polis secara rasmi tidak pernah menamakan Sam sebagai suspek, namanya tetap menjadi tumpuan perbincangan. Beberapa faktor menimbulkan persoalan tentang peranannya dalam kes ini. Antaranya, Sam merupakan individu terakhir yang diketahui berhubung dengan Ellen, keadaan pintu apartmen yang berkunci dari dalam sehingga berpotensi menolak kemungkinan pencerobohan, nada mesej teks yang dihantarnya sebelum kematian Ellen yang menunjukkan kemarahan serta kenyataan segera mengenai bunuh diri dalam panggilan 911 walaupun kecederaan mangsa amat luar biasa. Walau bagaimanapu, sehingga kini masih tiada bukti forensik yang secara langsung mengaitkan Sam dengan pembunuhan tersebut.
Jika dilihat dari perspektif kemungkinan Sam terlibat, terdapat beberapa petunjuk yang mencurigakan. Motif mungkin berkait dengan konflik pada hari kejadian dan kecederaan di bahagian belakang serta kepala menunjukkan serangan dari sudut yang tidak dapat dilihat mangsa. Keadaan pintu berkunci juga boleh menjadi sebahagian daripada rekayasa untuk mengelakkan syak wasangka terhadap penceroboh luar. Dari sudut fisiologi, adalah hampir mustahil bagi Ellen untuk terus menyerang dirinya sendiri selepas tikaman pertama ke jantung.
Cuma jika Sam benar-benar tidak terlibat, beberapa penjelasan lain wujud walaupun ia kurang meyakinkan. Ellen mungkin mengalami gangguan mental yang serius walaupun kes bunuh diri dengan jumlah luka sebegitu amat jarang berlaku. Terdapat kemungkinan penceroboh masuk sebelum Sam pulang dan berjaya keluar sebelum pintu dikunci semula walaupun peluangnya kecil. Ketiadaan DNA selain milik Ellen boleh dijelaskan jika penyerang menggunakan sarung tangan dan mengelak meninggalkan bukti fizikal. Dalam senario ini, kenyataan Sam tentang bunuh diri mungkin reaksi panik melihat keadaan apartmen dan kecederaan.
Pada Februari 2025, kes ini mendapat perkembangan baharu apabila Dr. Marlon Osbourne membuat kenyataan bersumpah bahawa klasifikasi bunuh diri pada tahun 2011 adalah salah dan kematian Ellen sepatutnya dikategorikan sebagai bukan bunuh diri. Perubahan pendirian ini membuka peluang untuk siasatan semula yang berpotensi menilai kembali semua pihak yang mungkin terlibat termasuk Sam Goldberg.
Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN ELLEN RAE GREENBERG : Dibunuh atau Bunuh Diri? "