KISAH KEMATIAN SEMINA HALLIWELL YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN

Semina Halliwell hanyalah seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dari Southport, Merseyside, England. Namun kisah hidupnya telah meninggalkan kesan mendalam kepada ramai pihak terutama selepas kematiannya yang menyayat hati pada Jun 2021. Semina meninggal dunia setelah mengambil dos berlebihan ubat preskripsi milik ibunya dalam keadaan tekanan emosi yang begitu dahsyat.
Sejak kecil, Semina dipercayai menunjukkan tanda-tanda autisme. Dia bagaimanapun hanya disahkan secara rasmi menghidap autism pada Januari 2021. Beberapa bulan sebelumnya, dia telah mula menghadapi kesukaran besar setelah berpindah ke sekolah menengah. Di sekolah barunya, Semina menjadi sasaran buli dan gangguan sosial. Pada usia yang begitu muda, dia juga mula menyakiti dirinya sendiri yakni tanda jelas tekanan mental yang mendalam. Cuma apa yang lebih mengejutkan, pada awal tahun 2021, Semina mendakwa bahawa dia telah dirogol oleh seorang pelajar lelaki yang lebih tua. Dakwaan itu dibuat setelah pelajar tersebut didakwa menghantar mesej berunsur seksual melalui aplikasi Snapchat sejak musim panas sebelumnya.
Selepas membuat laporan kepada pihak polis, keadaan hidup Semina semakin teruk. Dia bukan sahaja tidak menerima perlindungan sewajarnya tetapi menjadi mangsa buli berulang kali. Tiga insiden fizikal telah dilaporkan termasuk satu kejadian di mana Semina dipukul dan diludah oleh pelajar lain. Tidak cukup dengan itu, gambarnya turut disebarkan di media sosial dengan niat untuk memperlekeh dan memalukannya. Tekanan demi tekanan ini terus menghimpit Semina sehingga dia tidak lagi percaya bahawa dunia ini tempat yang selamat.
Lebih membimbangkan, pihak polis yang menerima laporan penderaan seksual itu tidak mampu memberikan sokongan yang sesuai untuk seorang mangsa bawah umur. Semasa proses Achieving Best Evidence(ABE) iaitu satu prosedur penting untuk mendapatkan kenyataan kanak-kanak, Semina diberitahu bahawa kesnya mungkin mengambil masa sehingga dua tahun untuk diselesaikan. Dia juga dimaklumkan bahawa hanya keterangannya yang menjadi bukti utama. Bagi seorang kanak-kanak, kenyataan sedemikian amat membebankan. Ia membuatkan Semina menarik semula laporan polis tersebut kerana dia berasa bahawa proses perundangan hanya akan menambah tekanan bukan membantu.


Ibu Semina yang bernama Rachel Halliwell tidak dapat menerima kesimpulan itu. Baginya, sistem telah gagal melindungi anaknya dari awal lagi. Dia mendakwa bahawa selepas anaknya membuat laporan rogol, Semina terus terpinggir dan tidak lagi dipedulikan. Tidak ada pelan perlindungan khas, tiada rawatan trauma yang diberikan secara serius dan tidak ada usaha untuk memulihkan semangat seorang anak yang sudahpun rosak jiwanya akibat penderaan dan penghinaan.
Lebih memilukan, selepas pemergian Semina, keluarganya terus berdepan penderitaan. Video buli ke atas Semina disebarkan semula di media sosial. Ada yang meninggalkan komen sinis dan menghina tentang kematiannya. Malah kuburnya juga pernah diceroboh oleh individu tidak bertanggungjawab. Semua ini menambahkan luka yang belum pun sempat sembuh di hati keluarga yang ditinggalkan.
Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN SEMINA HALLIWELL YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN "