Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEMATIAN JOYCE CAROL VINCENT YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN

    Pada 25 Januari 2006, mayat seorang wanita warganegara England berusia 38 tahun bernama Joyce Vincent yang sudah pun dalam keadaan tinggal tulang rangka telah ditemui dalam keadaan duduk di atas sofa ruang tamu rumah perlindungan sewanya. Joyce sebenarnya tinggal di rumah perlindungan keganasan yang disediakan oleh Metropolitan Housing Trust tersebut sejak dari bulan Februari 2003 dengan dia hanya perlu membuat bayaran separuh daripada kadar sewaan penuh sebulan. Hanya selepas bayaran sewa rumah Joyce semakin tertunggak, barulah pihak terbabit pergi melakukan pemeriksaan di rumahnya.

    Identiti Joyce telah berjaya dikenal pasti melalui rekod pergigian. Sebenarnya sewaktu penemuan mayat Joyce, televisyen di ruang tamu rumahnya itu didapati masih lagi terpasang. Bekalan bil di rumah Joyce tidak terputus kerana Joyce pada waktu sebelumnya membuat pembayaran bil secara auto debit. Selain itu, terdapat juga bungkusan hadiah krismas yang sudah dibalut untuk dihantar kepada rakan-rakan serta keluarganya.

    Mengenai bau busuk mayat Joyce, jiran-jiran di sekeliling beranggapan bau busuk tersebut adalah daripada sampah-sarap yang ada di kawasan bangunan rumah berkenaan. Cuma apa yang benar-benar mengejutkan dalam kes Joyce adalah fakta di mana dia sebenarnya telah pun mati pada bulan Disember 2003. Perkara ini bermaksud kematian Joyce di rumahnya itu langsung tidak disedari oleh sesiapa pun selama tiga tahun lamanya! Tiada sebarang unsur jenayah, jadi punca kematiannya diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Namun seperkara perlu diketahui, dia merupakan seorang pengidap penyakit asma dan ulser peptik.

    Beberapa tahun sebelum kematiannya, Joyce yang tinggal bersendirian telah menjauhkan diri daripada rakan-rakan termasuk keluarganya sendiri atas sebab peribadi. Berkemungkinan besar disebabkan itulah tiada seorang pun yang pernah melaporkan kehilangan Joyce kepada pihak berkuasa. Tiada siapa pun tahu lokasi sebenar Joyce melainkan keluarga Joyce yang telah mengupah detektif untuk mengesan tempat tinggalnya. Joyce bagaimanapun tidak pernah membalas setiap surat yang diutuskan oleh keluarganya. Rentetan daripada perkara tersebut, keluarga Joyce pada akhirnya beranggapan bahawa Joyce telah memutuskan hubungan kekeluargaan mereka. Ada spekulasi yang mendakwa bahawa Joyce hidup menyendiri berikutan mengalami kemurungan akibat menjadi mangsa keganasan oleh teman lelakinya atau sebab-sebab lain.

    Tentang latar belakang Joyce, dia pernah bekerja di sebuah syarikat firma kewangan pada tahun 2001. Walau bagaimanapun, Joyce kemudian tiba-tiba berhenti dari syarikat itu atas sebab yang tidak dapat dipastikan. Menurut penjelasan daripada seorang individu yang pernah menjadi rakan sekerja Joyce, dia mendakwa bahawa Joyce kebiasaannya akan berhenti bekerja serta sanggup berpindah rumah jika mempunyai masalah dengan mana-mana individu di tempat kerjanya.

    Kisah kematian Joyce pada akhirnya telah sampai ke pengetahuan seorang wanita dikenali sebagai Carol Morley yakni seorang pengarah filem, penulis skrip dan penerbit filem. Sesudah mendengar kisah sedih Joyce ini, maka Carol pun membuat keputusan untuk menerbitkan dokumentari Joyce yang berjudul Dreams of a Life dengan mendapatkan maklumat terperinci daripada rakan-rakan, keluarga dan salah seorang bekas teman lelaki Joyce. Ternyata dahulunya Joyce digambarkan memiliki perwatakan periang, pintar serta berbakat dalam bidang nyanyian. Paling tidak disangka, Joyce pernah bersemuka dengan beberapa individu terkenal seperti Nelson Mandela, Denzel Washington, Stevie Wonder, Anita Baker dan Betty Wright.

    Perkara apa sebenarnya yang berlaku kepada Vince hingga menyebabkan dia menjauhkan daripada semua orang di sekelilingnya kekal menjadi misteri. Berikutan saat akhir hidupnya yang terpaksa tinggal di rumah perlindungan keganasan, ramai pihak mempercayai bahawa perubahan sikap Joyce adalah disebabkan oleh teman lelakinya yang tidak diketahui identitinya. Entah apa yang dilalui Joyce, kematiannya dalam keadaan sedemikian rupa telah menimbulkan rasa simpati ramai pihak.

Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN JOYCE CAROL VINCENT YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN"