Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PERMUSUHAN SALMAN KHAN DENGAN VIVEK OBEROI


    Rasanya tidak perlu diperkenalkan lagi siapa itu Salman Khan, selebriti popular dan paling berpengaruh di dalam industri Bollywood. Harus diketahui, bukan mudah bagi mana-mana pelakon baru di Bollywood untuk menempah nama atau mengekalkan populariti jika mereka bukan berasal dari keluarga selebriti kerana dunia Bollywood mempunyai banyak sisi gelap yang tersendiri. Silap percaturan, boleh memakan diri hingga membawa kepada kehancuran karier. Perkara inilah yang pernah berlaku kepada aktor Vivek Oberoi di mana namanya agak tenggelam hanya kerana permusuhannya dengan Salman Khan.

Link Shopee : https://shope.ee/99rVOZxNnl

    Pada tahun 2003, Vivek Oberoi mengadakan satu sidang media tergempar dengan mendakwa Salman Khan melakukan ugutan bunuh kepadanya menerusi panggilan telefon. Jelas Vivek Oberoi lagi, ugutan bunuh tersebut adalah berpunca daripada dirinya yang telah menjalinkan hubungan dengan aktres Aishwarya Rai. Tanpa Vivek Oberoi duga, pendedahannya itu merupakan salah satu kesilapan paling besar yang pernah dia lakukan. Namanya terus disenarai hitam oleh kebanyakan pengarah dan penerbit filem Bollywood yang enggan untuk mencari permasalahan dengan Salman Khan. Menyedari kesilapannya, Vivek Oberoi pernah berkali-kali cuba memohon maaf Salman Khan akan tetapi permohonan maafnya itu tidak dilayan sama sekali. Semuanya sudah terlambat untuk Vivek Oberoi. Dalam satu kenyataan wawancara Vivek Oberoi kepada media pada tahun 2021,

    “Industri ini enggan untuk memberikan saya tawaran lakonan. Atas sebab-sebab tertentu, mereka akan menelefon saya lalu berkata, awak, kami sayang awak. Awak hebat untuk watak ini tapi jika kami menandatangi awak, kami akan ditekan oleh banyak pihak.”

    Kisah percintaaan antara Salman Khan dengan Aishwarya Rai pernah dianggap sebagai salah satu percintaan paling romantik dalam industri Bollywood. Maklumlah kedua-dua mereka merupakan pelakon yang berjaya pada waktu tersebut. Sama kacak sama cantik, bagai pinang dibelah dua. Kisah cinta Salman Khan dan Aishwarya Rai ini bermula selepas mereka berdua digandingkan dalam filem Hum Dil De Chuke Sanam pada tahun 1999. Malah hubungan mereka direstui oleh keluarga Salman namun tidak mendapat restu daripada keluarga Aishwarya Rai atas sebab yang tidak dapat dipastikan.

    Tahun 2002, Aishwarya Rai telah membuat pengumuman kepada pihak media tentang perpisahannya dengan Salman Khan. Berdasarkan laporan media, keputusan berpisah itu diambil oleh Aishwarya Rai selepas dia dikatakan sering dikasari dan menerima bermacam-macam tuduhan daripada Salman Khan yang mempunyai perangai panas baran serta cemburu tidak bertempat. Dari sudut Salman Khan, dia bertindak agresif sedemikian susulan Aishwarya Rai yang lebih memilih untuk fokus kepada karier terlebih dahulu daripada menerima lamaran perkahwinannya. Sukar untuk individu ego tinggi seperti Salman Khan menerima hakikat dengan perkara tersebut. Apatah lagi apabila dia mengetahui Aishwarya Rai tidak lagi sesekali akan berlakon bersama dengannya.

    Sesudah meninggalkan Salman Khan, barulah Aishwarya Rai bercinta dengan Vivek Oberoi. Walau bagaimanapun, hubungan itu tidak berkekalan lama apabila mereka berdua berpisah pada tahun 2005 serta pada masa sama karier lakonan masing-masing kelihatan semakin malap. Mujur sajalah karier lakonan Aishwarya Rai menyinar semula selepas dia berkahwin dengan Abishek Bachan iaitu anak kepada aktor legenda Amitabh Bachan. Sebenarnya terdapat juga desas-desus yang mengatakan bahawa Salman Khan merupakan dalang kepada kematian aktor Sushant Singh Rajput  yang dilaporkan membunuh diri pada bulan Jun tahun 2020 akibat kemurungan. Sushant sebelum itu dipercayai tidak sehaluan dengan Sooraj Pancholi yakni aktor yang mempunyai hubungan baik dengan Salman Khan.

Link Shopee : https://shope.ee/1VS4GZtLc0

    Ingat, bukan hanya Salman Khan saja yang memiliki pengaruh besar seperti ini. Ada beberapa lagi keluarga besar nepotisme dalam industri Bollywood yang dapat menghancurkan karier seseorang pelakon itu pada sekelip mata. 

Catat Ulasan for "KISAH PERMUSUHAN SALMAN KHAN DENGAN VIVEK OBEROI"