KISAH LINA MEDINA : Ibu Paling Termuda di Dunia

Dalam sejarah perubatan moden, tiada kisah yang lebih mengejutkan daripada kes Lina Medina iaitu seorang kanak-kanak perempuan dari Peru yang melahirkan anak pada usia lima tahun. Kejadian luar biasa ini berlaku pada tahun 1939 dan masih dianggap antara kes paling jarang dan misteri dalam dunia perubatan.
Lina Marcela Medina dilahirkan pada 23 September 1933 di sebuah perkampungan kecil bernama Ticrapo, yang terletak di Andes, Peru. Dia merupakan anak sulung daripada sembilan adik-beradik dalam sebuah keluarga miskin. Pada ketika usianya baru lima tahun, perut Lina mula membesar secara drastik. Ibu bapanya yang menyangka anak mereka menghidap ketumbuhan telah membawanya ke hospital tempatan untuk mendapatkan rawatan. Namun apa yang ditemui oleh doktor adalah sesuatu yang tidak pernah dijangka. Lina sebenarnya sedang mengandung kira-kira tujuh bulan!

Lina Medina dilahirkan pada tahun 1933 Pemeriksaan lanjut mendapati Lina mengalami satu keadaan perubatan yang sangat jarang berlaku, dikenali sebagai akil baligh pramatang (precocious puberty) iaitu keadaan di mana perubahan hormon dan ciri-ciri seksual berkembang terlalu awal daripada usia kebiasaan. Dalam kes Lina, perubahan hormon berlaku terlalu awal. Dia dilaporkan mula didatangi haid seawal usia lapan bulan selain mempunyai payudara yang berkembang pada usia empat tahun dan menunjukkan ciri-ciri seksual sekunder yang lengkap menjelang usia lima tahun. Dari sudut biologi, Lina berkemampuan untuk mengandung walaupun masih seorang kanak-kanak kecil. Walau bagaimanapun, fakta ini langsung tidak menjustifikasi kehamilannya yang jelas berpunca daripada penderaan seksual.
Pada 14 Mei 1939, Lina Medina melahirkan seorang bayi lelaki melalui pembedahan caesarean kerana struktur tubuhnya yang terlalu kecil untuk melahirkan secara normal. Bayi itu dinamakan Gerardo yakni sempena nama salah seorang doktor yang mengendalikan kesnya, Dr. Gerardo Lozada. Bayi itu dilahirkan dengan berat 2.7 kilogram dan dilaporkan sihat sepenuhnya. Dalam tempoh beberapa tahun pertama, Gerardo dibesarkan dengan kepercayaan bahawa Lina adalah kakaknya. Hanya pada usia 10 tahun, Gerardo diberitahu perkara sebenar bahawa Lina Medina adalah ibunya.

Identiti bapa kepada bayi Lina kekal misteri hingga pada hari ini. Pihak berkuasa ketika itu menahan ayah Lina sendiri sebagai suspek utama. Walau bagaimanapun, dia dibebaskan kerana tiada bukti kukuh yang mengaitkannya secara langsung. Disebabkan usia Lina yang sangat muda dan mungkin juga trauma yang mendalam, dia tidak pernah memberi sebarang maklumat tentang siapa yang menghamilkannya.
Kisah Lina menarik perhatian bukan sahaja di Peru malah di seluruh dunia. Ramai wartawan dari pelbagai negara datang untuk mendapatkan berita eksklusif tentang gadis kecil ini. Doktor yang merawat Lina dan kerajaan Peru ketika itu bagaimanapun mengambil pendekatan yang berhati-hati bagi melindungi Lina daripada perhatian media yang keterlaluan. Banyak laporan menyatakan bahawa terdapat usaha untuk membawa Lina ke Amerika Syarikat untuk dikaji secara perubatan tetapi permintaan itu ditolak. Setelah melahirkan, Lina dan keluarganya berpindah ke Lima bagi mengelakkan gangguan dan stigma masyarakat di kampung asalnya.

Apabila dewasa, Lina bekerja sebagai setiausaha di sebuah klinik yang dimiliki oleh Dr. Lozada, yang juga merupakan doktor yang pernah membantunya ketika proses kelahiran dahulu. Pada awal tahun 1970-an, Lina berkahwin dengan seorang lelaki bernama Raul Jurado dan pada tahun 1972, dia melahirkan anak kedua. Kali ini sebagai seorang wanita dewasa yang sudah bersedia secara fizikal dan mental. Anak sulungnya, Gerardo membesar sebagai seorang lelaki yang sihat dan normal. Dia meninggal dunia pada usia 40 tahun akibat penyakit sumsum tulang pada tahun 1979.

Catat Ulasan for "KISAH LINA MEDINA : Ibu Paling Termuda di Dunia"