Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

MISTERI KEMATIAN DEBANHI ESCOBAR

    Debanhi Susana Escobar Bazaldua ialah seorang mahasiswi jurusan undang-undang berusia 18 tahun dari Nuevo Leon, Mexico. Dia menjadi tumpuan dan perhatian selepas kehilangannya pada April 2022.  Kes ini mencetuskan kemarahan besar terhadap keganasan berasaskan jantina dan kelemahan sistem keadilan di Mexico.

     Pada malam 8 April 2022, Debanhi menghadiri sebuah pesta bersama dua rakannya di kawasan General Escobedo. Menurut laporan, Debanhi ditinggalkan berseorangan selepas berlakunya perselishan faham dengan rakan-rakannya itu. Rakan-rakannya kemudian memesan teksi melalui aplikasi untuknya dan dia menaiki kereta pemandu tersebut. Namun berdasarkan kenyataan pemandu itu, Debanhi bertindak keluar dari keretanya secara sukarela selepas berlaku pula pertengkaran antara mereka. Bagi melindungi dirinya sendiri,  pemandu itu mengambil gambar Debanhi berdiri bersendirian di tepi lebuh raya pada waktu malam dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa. Gambar tersebut kemudian tersebar luas di laman media sosial.

     Selepas kehilangan Debanhi, pencarian secara besar-besaran dilakukan oleh pihak berkuasa dan sukarelawan. Selama hampir dua minggu, keluarganya dan masyarakat setempat mencari petunjuk namun tiada berita mengenainya. Hinggalah pada 21 April 2022, mayat Debanhi akhirnya ditemui di dalam sebuah tangki air bawah tanah di kawasan Motel Nueva Castilla yakni hanya beberapa meter dari tempat dia terakhir kali dilihat. Penemuan ini menimbulkan persoalan besar kerana kawasan tersebut telah diperiksa beberapa kali sebelum itu tetapi tidak berjaya menemui apa-apa. Ini mencetuskan tuduhan bahawa siasatan dijalankan secara cuai atau lebih teruk bahawa ada pihak yang cuba menyembunyikan bukti.

     Kematian Debanhi menjadi lebih mencurigakan apabila laporan autopsi menimbulkan percanggahan. Autopsi rasmi pertama menyatakan Debanhi meninggal dunia akibat hentakan kuat di kepala dan menafikan sebarang bukti penderaan seksual. Disebabkan rasa tidak puas hati, keluarga Debanhi terutama bapanya iaitu Mario Escobar telah mengupah pakar forensik bebas untuk menjalankan autopsi kedua. Hasilnya menunjukkan terdapat bukti penderaan seksual serta menyokong dakwaan bahawa Debanhi telah dibunuh. Walau bagaimanapun, autopsi ketiga yang dijalankan oleh pasukan pakar bebas kerajaan menyatakan bahawa punca kematian adalah sesak nafas kerana saluran pernafasan tersumbat dan tidak menemui bukti penderaan seksual. Percanggahan antara hasil autopsi ini menimbulkan kemarahan orang ramai serta menghakis kepercayaan terhadap integriti siasatan pihak berkuasa.


     Sejurus selepas berita kematian Debanhi tersebar, ribuan rakyat Mexico terutamanya kaum wanita turun ke jalan berdemonstrasi. Mereka menuntut keadilan bukan sahaja untuk Debanhi tetapi juga untuk ribuan wanita lain yang telah menjadi mangsa pembunuhan, keganasan seksual dan kehilangan tanpa berita. Slogan seperti “iNi Una Mas!” (Bukan Seorang Lagi!) menjadi laungan utama dalam protes sebagai simbol desakan agar kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap keganasan berasaskan jantina. Dalam negara yang merekodkan purata 10 wanita dibunuh setiap hari, kematian Debanhi telah menambah satu lagi luka dalam sejarah gelap keganasan terhadap wanita di Mexico.

     Sehingga hari ini, masih belum ada pihak yang didakwa dalam kes pembunuhan Debanhi. Walaupun siasatan dikatakan masih lagi berjalan, keluarga mangsa dan masyarakat umum semakin hilang keyakinan terhadap sistem keadilan. Mario Escobar, bapa Debanhi terus lantang bersuara menuntut kebenaran dan menyatakan kekecewaannya terhadap bagaimana kes anaknya dikendalikan sejak awal. Dia berjuang menuntut keadilan bukan sahaja untuk anak perempuannya tetapi untuk seluruh wanita yang tidak berdaya dalam sistem yang tidak berpihak kepada mereka.


1 ulasan for "MISTERI KEMATIAN DEBANHI ESCOBAR "